Rahsia Jadi Soleh & Solehah, Ini 4 Amalan Mak Ayah Boleh Biasakan Ketika Anak Sedang Tidur
Insya-Allah, kalau buat setiap hari mesti akan nampak perubahannya.
Dalam dunia ini, tiada ibu ayah yang tidak mahu dikurniakan anak yang soleh dan solehah
Pendidikan agama serta penerapan akidah perlu dilaksanakan dengan sempurna oleh setiap ibu ayah agar anak-anak membesar menjadi manusia berguna.
Menurut Imam al-Ghazali: “Anak-anak adalah amanah atas ibu bapa. Jika sudah terbiasa dengan perkara kebaikan, anak itu akan membesar dalam kebaikan dan biasa dengannya".
Selain mendidik anak-anak, apa lagi yang ibu ayah boleh usahakan supaya mereka sentiasa mendengar kata dan menjadi anak penyejuk hati?
Kali ini, kami akan kongsikan empat amalan yang ibu ayah boleh lakukan ketika anak sedang tidur. Jom lihat perkongsian di bawah:
1. Wirid Ya Latif
Setiap malam apabila anak sedang tidur, ibu atau ayah hendaklah wiridkan Ya Latif (Yang Maha Melembutkan) ke ubun-ubun kepala anak sebanyak mungkin atau seeloknya 100 kali.
Wirid ini juga berkesan membentuk peribadi anak-anak serta menangani kerenah mereka terutamanya mengurangkan masalah kedegilan dan panas baran. Malah, ia juga membuatkan anak mudah menerima apa yang diajar oleh gurunya.
2. Baca surah Al-Fatihah dan Al-Insyirah
Ketika anak sedang nyenyak tidur, ibu dan ayah digalakkan membaca surah Al-Fatihah satu kali dan Al-Insyirah satu kali. Dalam masa yang sama, berbisiklah di telinga dengan lembut dan perlahan-lahan sambil menyeru nama penuhnya.
3. Bisikan berbentuk nasihat, pujian dan kasih sayang
Tahukah anda, sebenarnya anak-anak lebih mudah mendengar kata apabila kita bercakap secara lembut dan bukan menggunakan kekerasan terhadap mereka? Semasa mereka sedang lena tidur, kalau boleh bisiklah di telinga mereka dengan nasihat dan pujian penuh kasih sayang.
Sesungguhnya, percakapan kita itu sangat berkesan kepada jiwa dan roh mereka. Sambil bisik tu, usaplah tangan atau rambut mereka agar anak berada dalam keadaan separuh sedar.
4. Sapu air lebihan wuduk pada anak
Ayah dan ibu juga hendaklah selalu menyapu air lebihan wuduk yang ada, contohnya air yang masih basah di tangan ke muka dan ubun-ubun anak. Sambil sapu itu, bacalah selawat untuk melembutkan hati mereka.