725 Pelajar Hatimurni Diraikan Dalam Majlis Bacaan Al-Quran 30 Juzuk Sempena Nuzul Quran 2026
Majlis yang penuh keberkatan itu turut dihadiri kira-kira 1,500 ahli keluarga.
Cover image via HatimurniFollow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Institusi pendidikan Al-Quran, Hatimurni, berjaya menghimpunkan seramai 725 pelajar dalam satu majlis gilang-gemilang, Majlis Bacaan Al-Quran 30 Juzuk dan Hari Apresiasi Peningkatan Al-Quran serta Hafazan, yang diadakan bersempena sambutan Nuzul Al-Quran tahun ini
Majlis yang penuh keberkatan itu turut dihadiri kira-kira 1,500 ahli keluarga, sekali gus menjadi simbol sokongan padu ibu bapa terhadap pengukuhan pendidikan kerohanian anak-anak mereka.
Majlis tersebut telah dirasmikan oleh Ustaz Syed Fahmi Akmal Bin Syed Isa, wakil daripada Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI). Dalam ucapannya, beliau memuji usaha konsisten Hatimurni dalam melahirkan generasi celik Al-Quran yang mampu mengimbangi tuntutan dunia dan akhirat.
Selain meraikan peningkatan tahap bacaan dan hafazan, program ini turut menyaksikan bacaan Al-Quran 30 juzuk secara berjemaah, yang bertujuan menyemai rasa cinta yang mendalam terhadap wahyu Allah SWT dalam sanubari para pelajar.


Benteng akidah di era digital buat generasi muda
Pengasas Hatimurni, Ustazah Siti Khadijah Mohni, menegaskan bahawa peranan Hatimurni melangkaui sekadar mengajar mengaji. Ia berfungsi sebagai rakan strategik kepada ibu bapa dalam membina perisai akidah dan akhlak yang kukuh buat generasi muda.
"Pendidikan Al-Quran adalah asas penting untuk membina kefahaman agama yang jelas. Dalam era digital hari ini, anak-anak sangat mudah terdedah kepada pengaruh luar yang boleh menggugat cara berfikir dan akidah mereka. Di sinilah peranan Al-Quran sebagai panduan utama," ujar beliau.
Menariknya, majlis ini turut memberikan tumpuan kepada pelajar antarabangsa mereka. Satu slot bacaan doa selamat khusus telah diadakan buat para pelajar Hatimurni Online yang berada di Emiriah Arab Bersatu (UAE), memohon agar mereka sentiasa berada dalam perlindungan dan rahmat Allah SWT meskipun berada jauh di perantauan.
Dengan penganjuran majlis seumpama ini, Hatimurni terus komited bukan sahaja untuk melahirkan 'Al-Hafiz', malah generasi yang menghayati dan mengamalkan nilai-nilai murni Al-Quran dalam kehidupan seharian.


Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!


