seismik

8,000 Premis Perniagaan Tidak Lagi Gunakan Beg Plastik Mulai 1 Oktober Ini

Antara yang menyertai inisiatif itu adalah 99 Speedmart, AEON dan 7-Eleven.

Cover image via Sinar Harian & Harian Metro

Follow kami di WhatsApp ChannelsTelegramInstagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.

Sebanyak 20 pasar raya besar, pasar raya, kedai serbaneka, kedai rangkaian farmasi, kesihatan dan kecantikan akan menghentikan penggunaan beg plastik sepenuhnya di 8,000 premis perniagaan mereka bermula 1 Oktober ini

Menurut laporan Sinar Harian, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, antara yang menyertai inisiatif itu adalah 99 Speedmart, Aeon, 7-Eleven, TF Value Mart dan Guardian.

"Ada yang sudah melaksanakan inisiatif ini, tetapi pada hari ini mereka menandatangani Akujanji untuk berikrar melaksanakannya secara besar-besaran mulai minggu depan. Sekiranya pelanggan tidak membawa beg sendiri, mereka boleh membeli beg kitar semula di kedai itu," katanya.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming

Image via BERNAMA

Difahamkan, beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan kempen 'Tiada Beg Plastik Sekali Guna' pada Khamis, 26 September.

Menurutnya, menerusi pelaksanaan inisiatif itu, penggunaan 200 juta beg plastik setahun dijangka dapat dikurangkan.

Ini sekali gus dapat mengurangkan jumlah sisa yang perlu dilupuskan serta membantu memanjangkan jangka hayat tapak pelupusan sedia ada.

Kerajaan terpaksa menanggung kos pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam yang tinggi iaitu sebanyak RM2 bilion setahun dan sedang berusaha mengurangkan pergantungan ke atas tapak pelupusan

"Pada masa ini, Malaysia mempunyai 114 tapak pelupusan tidak sanitari dan 22 tapak pelupusan sanitari. Pembukaan dan naik taraf tapak pelupusan memerlukan kos yang sangat tinggi," katanya.

Sementara itu, Hari Cuci Malaysia yang akan dilaksanakan di seluruh negara pada 28 September ini bakal tersenarai dalam Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai program gotong-royong paling besar dalam sejarah.

"Lebih 50,000 orang dari seluruh negara dijangka hadir, termasuk penyertaan 156 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan saya harap seluruh rakyat Malaysia dapat bersama-sama dalam program itu,"
katanya.

Majlis pelancaran akan dirasmikan oleh beliau bersama-sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa di Pasar Seni, Kuala Lumpur bersempena World Cleanup Day 2024.

Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!

Image via SAYS Seismik

You may be interested in: