Abdul El-Sayed Cipta Sejarah, Jadi Senator Muslim Pertama Di AS

Bekas pegawai kesihatan awam itu menjadikan isu kos sara hidup dan usaha membendung pengaruh syarikat korporat dalam politik sebagai antara fokus utama kempennya.

Cover ImageCover image via Sinar Harian & Berita Harian SG

Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.

Calon Parti Demokrat, Abdul El-Sayed mencipta sejarah apabila berjaya memenangi kerusi Senat Amerika Syarikat (AS) dengan memperoleh 52.3 peratus undi pada Rabu

Kemenangan itu sekali gus menjadikannya individu Muslim pertama yang dipilih ke kerusi berkenaan, selain membantu Demokrat mengekalkan kedudukan penting dalam dewan yang sebelum ini didominasi Parti Republikan (GOP).

Kejayaan El-Sayed, 42, dalam persaingan sengit itu turut mencerminkan pengaruh sayap progresif dalam Parti Demokrat, selain menggagalkan usaha GOP merampas kerusi yang ditinggalkan Senator Demokrat, Gary Peters.

SAYS.com
Image via Sinar Harian

Bekas pegawai kesihatan awam itu menjadikan isu kos sara hidup dan usaha membendung pengaruh syarikat korporat dalam politik sebagai antara fokus utama kempennya.

Beliau turut memperjuangkan dasar Medicare for All, iaitu sistem penjagaan kesihatan sejagat yang dibiayai kerajaan dan menjadi antara agenda utama golongan progresif dalam parti berkenaan.

Dalam pertandingan itu, El-Sayed menewaskan pencabarnya, Mike Rogers, 63, yang hanya memperoleh 45.7 peratus undi

Rogers, bekas anggota Kongres dan ejen Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI), sebelum ini menerima sokongan kuat Presiden Donald Trump serta kepimpinan tertinggi Republikan.

Sepanjang kempen, Rogers turut cuba mengaitkan El-Sayed dengan ekstremisme Islam menerusi dakwaan bahawa beliau mempunyai hubungan dengan Gerakan Ikhwanul Muslimin.

Bagaimanapun, El-Sayed menafikan tuduhan berkenaan yang setakat ini tidak disertakan bukti jelas. Parti Demokrat pula menyifatkan serangan tersebut sebagai berasaskan stereotaip Islamofobia.

Selain itu, pendirian El-Sayed yang menentang bantuan ketenteraan AS kepada Israel serta menyifatkan kempen pengeboman di Genting Gaza sebagai genosid turut menjadi isu dalam kempen berkenaan.

SAYS.com
Image via Berita Harian SG

Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!

Image via SAYS Seismik
Read more trending stories on SAYS