Abdul Latif Romly Raih Emas Kelima Di Glasgow 2026, Misi Kontinjen Malaysia Sah Tercapai!
Walaupun gagal memecahkan rekod dunia miliknya akibat keadaan hujan dan cuaca sejuk di Stadium Scotstoun, Abdul Latif tetap berpuas hati kerana misi lebih besar berjaya disempurnakan.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Malaysia akhirnya berjaya mencapai sasaran lima pingat emas di Sukan Komanwel Glasgow 2026, dan individu yang melengkapkan misi itu tidak lain tidak bukan ialah jaguh olahraga para negara, Datuk Abdul Latif Romly

Menurut laporan Sinar Harian, atlet berusia 29 tahun itu menghadiahkan emas menerusi acara lompat jauh T20 lelaki selepas melakukan lompatan sejauh 7.17 meter pada percubaan ketiga. Catatan tersebut kekal sebagai yang terbaik sehingga tamat saingan.
Lebih membanggakan, Malaysia turut meraih satu lagi pingat dalam acara sama apabila Eljoe Gotuoh membawa pulang gangsa dengan lompatan sejauh 6.51 meter, manakala atlet Kanada, Noah Vucsics meraih perak.
Kejayaan Abdul Latif bukan sahaja memastikan Malaysia mencapai sasaran lima emas, malah mencipta sejarah kerana acara lompat jauh T20 lelaki dipertandingkan buat kali pertama di temasya Sukan Komanwel

Sebelum itu, empat pingat emas negara disumbangkan oleh barisan atlet angkat berat iaitu Mohamad Aniq Kasdan (60kg), Muhamad Aznil Bidin (65kg), Muhammad Erry Hidayat (79kg) dan Muhammad Hafizuddin Roslin (88kg).
Hafizuddin turut mencipta rekod baharu temasya menerusi jumlah angkatan keseluruhan 345kg pada penampilan sulungnya.
Walaupun gagal memecahkan rekod dunia miliknya akibat keadaan hujan dan cuaca sejuk di Stadium Scotstoun, Abdul Latif tetap berpuas hati kerana misi lebih besar berjaya disempurnakan.
"Saya memang mahu pecahkan rekod dunia, tetapi cuaca tidak mengizinkan. Yang penting, saya dapat hadiahkan emas untuk Malaysia," katanya.
Dengan kejayaan itu, Abdul Latif sekali lagi membuktikan dirinya antara atlet para terbaik dunia, selain memastikan kontinjen negara menutup kempen Glasgow 2026 dengan sasaran lima pingat emas berjaya direalisasikan.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



Cover image via