Air Pasang Besar Selama 5 Hari Di Pelabuhan Klang Dijangka Bermula Sabtu Ini

Paras air laut di Stesen Pelabuhan Klang diramalkan mencecah hingga 5.2 meter.

Cover ImageCover image via NSTP & NSTP/FAIZ ANUAR

Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.

Fenomena air pasang besar yang dijangka berlaku lima hari bermula Sabtu ini di sekitar kawasan daerah Klang

Menerusi pengumuman yang disiarkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Klang, fenomena itu dijangka berlaku 7 hingga 11 November ini di mana paras air laut di Stesen Pelabuhan Klang diramalkan mencecah hingga 5.2 meter. Difahamkan, bacaan tertinggi berkenaan dijangka dicatatkan jam 5.02 pagi Ahad, menjadikan ia berada dalam kategori paras amaran.

Berdasarkan petunjuk paras air di Pelabuhan Klang, bacaan antara 5.0 hingga 5.3 meter dikategorikan sebagai paras amaran, manakala 5.4 hingga 5.5 meter sebagai paras bahaya.

Paras air laut dijangka mencecah 5.1 meter pada jam 4.23 pagi Sabtu, sebelum meningkat kepada 5.2 meter pada jam 5.02 pagi Ahad. Bacaan kemudian diramalkan mencapai 5.1 meter pada jam 5.37 pagi Isnin dan jam 6.08 pagi Selasa, sebelum mencatatkan 5.0 meter pada jam 6.37 pagi Rabu.

Sementara itu, bacaan air pasang sebelah petang dijangka antara 4.0 hingga 4.8 meter sepanjang tempoh berkenaan, dengan waktu ramalan antara jam 4.53 petang Sabtu hingga 7.02 malam Rabu.

SAYS.com

Gambar sekadar hiasan.

Image via Berita Harian

Ramalan cuaca turut menunjukkan ribut petir dijangka berlaku di beberapa tempat

Ia dijangka berlaku pada sebelah petang Sabtu dan Ahad, diikuti hujan di beberapa tempat pada waktu malam.

Pada Isnin hingga Rabu, ribut petir diramalkan berlaku di kebanyakan tempat pada sebelah petang, manakala hujan dijangka melanda kebanyakan tempat pada waktu malam.

Orang ramai diminta membuat persediaan dan sentiasa peka terhadap keadaan persekitaran sepanjang fenomena air pasang besar itu.

Mereka turut boleh menghubungi talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Bencana Daerah Klang di 03-3382 9292 sekiranya berlaku kecemasan.

Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!

Image via SAYS Seismik
Read more trending stories on SAYS