AMFF 2026 Bakal Himpunkan 80 Vendor, Bawa Festival Budaya Ke Taman Tasik Titiwangsa
Festival ini dijadualkan berlangsung selama enam hari bermula 11 hingga 16 September 2026 di Taman Tasik Titiwangsa.
Cover image via Anjung MalaysiakuFollow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Anjung Malaysiaku Foodie Fiesta (AMFF) 2026 kembali untuk edisi kedua dengan skala yang lebih besar menerusi gabungan Festival Budaya Malaysia 2026
Acara bertemakan 'Kita Malaysia: Seni, Budaya & Citarasa' ini bakal menghimpunkan pelbagai aktiviti berteraskan gastronomi, seni, budaya, muzik, kecantikan, gaya hidup, serta kecergasan bersempena sambutan Hari Malaysia.
Penganjur merangkap Pengarah Urusan Raydiate, Rayme Zainal berkata, sepanjang enam hari penganjuran, AMFF 20266 dilihat mampu memberi limpahan ekonomi kepada peniaga tempatan selain pemain industri pelancongan menerusi peningkatan kehadiran pelawat domestik dan antarabangsa.
"Festival ini turut mendapat kerjasama beberapa rakan strategik termasuk SimplySiti, Anytime Fitness dan SimplyFit Zumba Malaysia Day yang akan memperkukuhkan elemen kecantikan, kesihatan dan kecergasan.
"Antara tarikan utama ialah penganjuran Malam Kita Malaysia pada 15 September yang menampilkan mini konsert khas bersempena Ambang Hari Malaysia, menggabungkan elemen muzik, seni dan budaya dalam satu persembahan.
"Sambutan Hari Malaysia pada 16 September pula akan diteruskan menerusi program SimplyFit Zumba Malaysia Day bersama pelbagai aktiviti kecergasan, keluarga dan komuniti," katanya.

AMFF 2026 bakal berlangsung selama enam hari bermula 11 hingga 16 September 2026 di Taman Tasik Titiwangsa
AMFF 2026 akan kembali untuk edisi kedua dengan skala lebih besar menerusi Festival Budaya Malaysia 2026 yang berlangsung dari 11 hingga 16 September ini di Taman Tasik Titiwangsa bersempena sambutan Hari Malaysia.
Tahun lalu, AMFF 2025 berlangsung di pekarangan parkir Stadium Nasional Bukit Jalil dengan kehadiran lebih 10,000 pengunjung selain kemunculan khas, Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza di acara Fun Run dan podcast.
Rayme menambah, lebih 80 vendor daripada pelbagai segmen perniagaan bakal memeriahkan AMFF 2026 sebagai usaha syarikat untuk menjadikan festival itu sebagai platform yang akan menghubungkan makanan dengan budaya dan gaya hidup rakyat Malaysia.
Menurutnya, festival berkenaan bukan sekadar lot niaga dipamerkan kepada pengunjung namun bertujuan menghidupkan budaya melalui pengalaman yang lebih dekat dengan masyarakat,
"Tahun ini kami mahu membawa pengalaman itu lebih jauh di mana makanan, seni, muzik, gaya hidup dan komuniti menjadi satu identiti bersama dengan semangat 'Kita Malaysia' sempena Festival Budaya Malaysia dan Hari Malaysia," katanya.

Sementara itu, selepas Taman Tasik Titiwangsa, kemeriahan AMFF 2026 akan diteruskan ke MAEPS, Serdang dari 9 hingga 11 Oktober 2026 sempena Mysihat Expo 2026.
Edisi di MAEPS akan turut memberi tumpuan kepada gabungan gastronomi, kesihatan, kesejahteraan, kecergasan, gaya hidup dan hiburan melalui kerjasama dengan beberapa rakan strategik termasuk Moonman Event bagi HUNTR Games Kuala Lumpur 2026 serta Event Lab di bawah Malaysia Strategic Development Institute (MSDI) menerusi FRAGMANIA.
Kerjasama strategik itu dijangka mewujudkan ekosistem yang menghimpunkan kira-kira 600 vendor merangkumi sektor makanan, kesihatan dan kesejahteraan, sukan, kecergasan, hiburan serta komuniti dalam satu destinasi.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!


