Anak Memilih Makanan, Normal Atau Bahaya? Untuk Ibu Bapa, Kenali Punca & Tanda Amaran Ini

Difahamkan, antara 25 hingga 66 peratus kanak-kanak kecil mengalami masalah memilih makanan.

Enlarge text

Follow kami di WhatsApp ChannelsTelegramInstagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.

"Kenapa anak aku makan itu je?"

Persoalan seperti ini sering menjadi kebimbangan ibu bapa apabila anak mula menolak makanan tertentu, termasuk hidangan yang sebelum ini menjadi kegemaran mereka.

Ada masanya anak berselera menikmati ayam, namun keesokan harinya enggan menyentuhnya. Begitu juga dengan sayur-sayuran yang mungkin terus ditolak sebaik sahaja dihidangkan di dalam pinggan.

Walau bagaimanapun, menurut laporan Sinar Plus, Pakar Perunding Pediatrik di Pusat Perubatan Ara Damansara, Dr Sheena Davahran, tabiat memilih makanan merupakan perkara yang lazim berlaku dalam kalangan kanak-kanak dan kebiasaannya sebahagian daripada perkembangan normal.

SAYS.com

Gambar sekadar hiasan.

Image via Pusat Pakar Psikologi Jiwadamai

Malah, dianggarkan antara 25 hingga 66 peratus kanak-kanak kecil mengalami masalah memilih makanan.

"Tabiat memilih makanan biasanya merupakan sebahagian daripada perkembangan normal kanak-kanak dan tidak semestinya menunjukkan terdapat masalah terhadap pemakanan mereka," ujar Dr Sheena.

Menurutnya, makanan menjadi salah satu cara untuk anak menunjukkan keinginan dan mendapatkan kawalan terhadap perkara yang berlaku di sekeliling

"Sebab itu, jangan terkejut jika anak yang sebelum ini makan hampir semua makanan tiba-tiba menolak hidangan kegemarannya.

"Dalam kebanyakan keadaan, ia bukan petanda masalah pemakanan. Apabila semakin membesar, terutama selepas memasuki alam prasekolah dan sekolah rendah, anak biasanya semakin terbuka untuk mencuba makanan berbeza,"
ujarnya lagi.

Kalau anak gemar nuget dan kentang goreng, ibu bapa tidak perlu panik

SAYS.com

Gambar sekadar hiasan.

Image via Sirap Limau

Dalam pada itu, Dr Sheena berkata ibu bapa tidak perlu terlalu bimbang sekiranya anak lebih gemar makanan seperti nuget, kentang goreng atau makanan diproses.

"Makanan sebegini lazimnya mempunyai rasa, tekstur dan kandungan tenaga yang lebih mudah diterima oleh kanak-kanak.

"Namun, tidak bermakna ia perlu dilarang sepenuhnya. Larangan terlalu ketat boleh menyebabkan anak semakin tertarik terhadap makanan tersebut.

"Sebaliknya, kawal pengambilannya secara sederhana dan cuba sediakan alternatif lebih berkhasiat,"
nasihatnya lagi.

Sebagai alternatif, ibu bapa boleh menyediakan nuget ayam sendiri di rumah menggunakan bahan yang lebih berkhasiat. Kentang pula boleh dipotong dan dibakar berbanding digoreng.

Sekiranya anak mula kurang berminat terhadap ayam atau ikan, ibu bapa boleh memperkenalkan sumber protein lain seperti telur, tauhu dan kekacang.

Selain bahan yang digunakan, bentuk dan cara penyediaan makanan juga boleh dipelbagaikan.

Perubahan kecil dari segi tekstur, bentuk atau rupa hidangan mungkin membantu menarik minat anak untuk mencuba makanan berkenaan.

Pada masa sama, ibu bapa tidak digalakkan memaksa anak untuk menghabiskan makanan. Sebaliknya, terus tawarkan pelbagai jenis makanan dan berikan mereka masa untuk membiasakan diri dengan rasa serta tekstur baharu.

Tabiat pemakanan anak turut dipengaruhi persekitaran

Menurut Dr Sheena, anak-anak banyak belajar melalui pemerhatian terhadap orang di sekeliling mereka.

Oleh itu, waktu makan bersama keluarga boleh dimanfaatkan sebagai salah satu cara untuk membentuk tabiat pemakanan yang lebih baik.

Apabila ibu bapa menikmati makanan yang sama, anak juga berkemungkinan lebih terdorong untuk mencubanya. Penggunaan telefon atau tablet ketika waktu makan pula sebaiknya dielakkan kerana skrin boleh mengalih perhatian anak daripada makanan serta pengalaman menikmati hidangan.

"Anak makan sedikit pada satu-satu waktu tidak semestinya bermakna mereka kekurangan zat. Sebaliknya, lihat pengambilan makanan secara keseluruhan sepanjang hari. Snek berkhasiat seperti buah-buahan dan roti juga boleh ditawarkan antara waktu makan," ulas pakar itu lagi.

Perhatikan tanda-tanda yang memerlukan pemeriksaan doktor

Walaupun tabiat memilih makanan lazim berlaku dalam kalangan kanak-kanak, ibu bapa perlu mendapatkan nasihat doktor sekiranya keadaan tersebut mula menjejaskan tumbesaran dan perkembangan anak.

Antara tanda amaran yang perlu diberi perhatian termasuk berat badan yang tidak bertambah dengan baik, tanda kekurangan zat seperti anemia, kerap tercekik, mengalami loya atau muntah ketika makan serta hanya mengambil beberapa jenis makanan untuk tempoh yang panjang.

SAYS.com

Gambar sekadar hiasan.

Image via PrimaKuImage via

Keadaan tersebut mungkin berkaitan dengan masalah deria, keengganan terhadap makanan atau gangguan pemakanan yang memerlukan penilaian lanjut.

Justeru, ibu bapa disarankan untuk tidak menunggu sehingga masalah menjadi lebih serius sebelum mendapatkan pemeriksaan.

Pemantauan serta pemeriksaan berkala dengan doktor penting bagi memastikan keperluan pemakanan, tumbesaran dan perkembangan anak berada pada tahap yang baik.

Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!

Image via SAYS Seismik
Read more trending stories on SAYS

You may be interested in: