seismik

“Apa Itu Doa?” - Pemandu Grab Yang Disangka Orang Jahat, Beri Tazkirah ‘Deep’ Tentang Doa

Kita sebagai manusia kadang-kadang terus menghukum tanpa memahami sesuatu perkara itu terlebih dahulu.

Cover image via Malaysian Talk

Setiap manusia yang Allah SWT cipta sentiasa akan diberi musibah, ujian atau masalah hidup di dunia yang sementara ini

Oleh itu apabila kita menghadapi sebarang musibah atau ujian, kita diharuskan untuk berdoa agar sentiasa diberikan kekuatan dan kesabaran dalam mengharungi pancaroba hidup ini.

Doa itu sahaja merupakan satu ibadah. Dalam hadis riwayat Al-Turmudzî diterangkan: "Barangsiapa dibukakan pintu doa untuknya, bererti telah dibukakan pula untuknya segala pintu rahmat. Dan tidak dimohonkan kepada Allah, yang lebih disukai-Nya selain daripada dimohonkan 'afiyah. Doa itu memberi manfaat terhadap yang telah diturunkan dan yang belum diturunkan. Dan tak ada yang dapat menangkis ketetapan Tuhan, kecuali Doa. Sebab itu berdoa kamu sekalian." (HR. Al-Turmudzî).


Seorang pengguna Twitter @faiqah_nasuha telah berkongsikan satu thread menceritakan tentang perbualannya dengan seorang pemandu Grab tentang doa

Image via Fortune

Perkongsian yang mendapat lebih 16 ribu retweets itu benar-benar menginsafi kita sebagai manusia yang kadang-kadang terus menghukum tanpa memahami sesuatu perkara itu terlebih dahulu.

Baca perkongsian tersebut di bawah:

Naik grab seorang-seorang malam-malam, cuak dah bila tengok driver lelaki, tapi acah kental masuk kereta, tengok dia pakai hoodie diam je takuuut tapi end up...

Dia diam je kejap. So kita pun diam lah kan. Tak lama lepas itu dia bersuara, "Abang nak bagi adik satu soalan, boleh? Kalau adik dapat jawab, abang belanja Grab adik ini, kalau tak, takpe, adik takkan rugi kalau salah. Nak try?" Aku cam "Errr, apa soalannya?"

Dia pun tanya, "Okay soalannya, apa itu doa?" Diam kejap aku hahaha. Macam-macam aku jawab, doa itu senjata mukmin, dia balas, "Tapi non-muslim pun berdoa?". 

Aku pun ye gak eh aku pun cakap lah, doa itu satu pengharapan dari manusia, nak mohon sesuatu kepada Penciptanya secara umumnya.

Lepas itu dia jawab, "Jawapan adik tak salah, cuma kurang tepat." Aku cam errrr.. alang alang dah nak sampai tempat yang ditujukan, aku tanya la dia, apa jawapannya? Dia jawab...

"Adik, bagi abang, doa itu adalah pandangan Allah pada kita. Allah sentiasa tahu apa yang akan kita hadapi contohnya adik ditimpa ujian, Allah tahu je semua itu sebab Allah kan Maha Mengetahui, tapi kenapa Dia still berfirman banyak kali dalam Al-Quran suruh kita doa?"

"Sebab, saat kita berdoa itu, saat itu lah kita paling dekat dengan Dia. Saat itu Dia pandang kita je. Dia pandang kita betul-betul. Hanya kita dengan Dia je. Haa macam itu. Sebab itu, kalau resah, kalau ditimpa masalah, secara fitrahnya pun manusia akan berdoa."

"Bukan untuk dimakbulkan sebenarnya, tapi untuk didengari. Adik, adik ingat tau, manusia memang suka menghukum. Apapun masalah kita, apapun yang kita hadapi, manusia takkan pernah faham. Manusia sekarang bersifat menghukum. Sedangkan Allah pun tak judge kita macam itu."

"Dia still dengar doa kita, Dia still bagi kita peluang bernafas, peluang hidup, beri rezeki dalam pelbagai bentuk, walau hakikatnya Dia yang paling tahu apa dosa yang kita dah buat, tapi Dia tak hukum kita terus seperti manusia menghukum kita."

"Jadi adik, abang nak pesan kat sini, apapun yang adik hadapi, doa. Doa dan terus berdoa. Dia yang paling memahami. Dia yang takkan pernah judge adik, akan terima taubat adik, akan sentiasa maafkan adik. Dia, hanya Dia."

Aku masa itu macam ya Allah, macam tepat je Engkau hantarkan abang ini untuk beri aku nasihat, beri aku semangat balik time-time aku rasa aku seorang je kat dunia ini. Huhu. Sebak weh dengar suara lembut abang itu tadi.

Dia siap cakap, "Ha, adik rugi sebab jawab salah, tak dapat lah abang belanja Grab hari ini, tapi adik tetap tak rugi satu benda." Aku terus jawab, "Ya, saya dapat ilmu. Saya dapat nasihat. Yang sangat bermanfaat. Lagi untung dari duit Grab ini. Terima kasih."

Abang itu senyum je pastu angguk. Sampai itu aku cakap terima kasih kat dia, dia bagi salam kat aku. Lembutnya suara dia. Mula-mula naik Grab itu tadi seram sebab yalah seorang-seorang kan naik Grab malam-malam ini, driver lelaki pulak itu. Tapi tadi, Allahu...

Alhamdulillah, terima kasih ya Allah, banyak pengajaran yang aku dapat dan yang boleh aku share pada semua yang baca ini jugak.

1. Allah tak pernah berkira dengan kita. Apapun khilaf yang pernah kita buat, Dia tak putus menerima kita di saat kita memerlukan Dia.

2. Manusia memang sifatnya menghukum. Tapi Allah tak. Jadi apapun ujian kita, doa kepadaNya. Mengadu kat Dia. Luahkan kat Dia. Manusia, ada yang benar-benar ikhlas mendengar, memahami dan sudi untuk bantu kita.

Tapi manusia ada juga yang mendengar tapi menghukum, mendengar tetapi tidak memahami, kadang itu tak dengar pun.

Siapa kita nak sedih kalau jadi macam itu, sebab manusia memang pelbagai ragam, pelbagai hati budi. Kita pun sama.

Tapi Allah tak. Dia sudi, sudi dengar semuanya. Jadi, teruskanlah berdoa. Bergantung harap padaNya, nescaya hidup kita akan dipermudahkan, dunia akhirat inshaaAllah.

LIKE Facebook dan follow Twitter SAYS SEISMIK dan temui segala cerita mesti kongsi sekarang!

Alang-alang ingin berdoa, baca tips berdoa yang mujarab ini!

Lagi artikel menarik di SAYS Seismik:

You may be interested in: