Apa Itu Kahwin Mutaah? Kenapa Ia Dilarang Di Dalam Islam?
Amalan kahwin mutaah menunjukkan percanggahan dari sudut mencapai maksud perkahwinan dalam Islam.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Kebelakangan ini, topik 'Kahwin Mutaah' hebat diperkatakan di media sosial dalam kalangan penganut agama Islam. Namun, mungkin ramai juga di antara kita tidak begitu faham apakah yang dimaksudkan dengan Kahwin Mutaah.
Berdasarkan artikel yang dikeluarkan oleh Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, kahwin mutaah merupakan amalan yang dianjurkan dalam ajaran Syiah. Ini bertentangan dengan fahaman Ahli Sunnah wal Jamaah yang sama sekali melarang berkahwin mutaah.
Larangan ini adalah berdasarkan dalil hadis ahad, jumhur sahabat dan ijmak ulama. Amalan kahwin mutaah menunjukkan percanggahan dari sudut mencapai maksud perkahwinan dalam Islam.
Konsep Kahwin Mutaah
Konsep pernikahan kahwin mutaah amat lah berbeza dengan konsep pernikahan dalam Islam. Perkahwinan ini berlaku apabila seorang perempuan menikahkan dirinya dengan seorang lelaki dengan mahar yang tertentu dalam tempoh yang ditentukan (sebagai contoh seminggu atau sebulan) dan akad perkahwinan ini merangkumi segala syarat sah dalam perkahwinan.
Dalam Islam, lafaz akad akan dibuat oleh lelaki (pengantin) tetapi berbeza pula dalam kahwin mutaah yang mana lafaznya ialah seorang perempuan itu berkata kepada seorang lelaki setelah dipersetujui kadar mahar dan tempoh perkahwinan:
“Aku nikahkan diriku denganmu dengan mahar sebanyak (disebut dalam akad) sehingga tempoh (seperti yang dipersetujui dan mesti secara tepat).”
Lalu lelaki itu hanya perlu menjawab dengan segera:
“Saya terima”
Dalam ajaran Syiah Imamiyah, antara perkara yang dianggap perkara asas ialah menghalalkan kahwin mutaah
Kiitab-kitab rujukan muktabar Syiah mendakwa antara kelebihan berkahwin mutaah adalah:
“Tidak ada lelaki yang yang berkahwin mutaah kemudian dia mandi, melainkan Allah SWT mencipta bagi setiap titisan yang menitis daripadanya tujuh puluh orang malaikat. Malaikat-malaikat tersebut akan beristighfar untuknya sehingga hari kiamat dan akan melaknat orang yang menjauhkan dirinya dari mutaah hingga hari kiamat.”
Sayyid Husain al-Musawi pula menukilkan daripada al-Kasyani meriwayatkan hadis Nabi SAW yang palsu tentang besarnya ganjaran kahwin mutaah:
"Sesiapa yang berkahwin mutaah sekali, maka darjatnya seperti darjat Sayidina Husin RA. Sesiapa yang berkahwin mutaah dua kali, maka darjatnya seumpama darjat Sayidina Hasan RA. Sesiapa yang berkahwin mutaah tiga kali, darjatnya seumpama darjat Sayidina Ali RA dan sesiapa yang bermutaah empat kali maka darjatnya seumpama darjatku.
Larangan Kahwin Mutaah dalam Islam
Islam melarang kahwin mutaah berdasarkan dalil Hadits Ahad iaitu:
أنَّ رَسولَ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عليه وَسَلَّمَ نَهَى عَنِ المُتْعَةِ، وَقالَ: أَلَا إنَّهَا حَرَامٌ مِن يَومِكُمْ هذا إلى يَومِ القِيَامَةِ، وَمَن كانَ أَعْطَى شيئًا فلا يَأْخُذْهُ
Maksudnya: Sesungguhnya Rasulullah SAW melarang untuk kahwin mutaah. Baginda bersabda: "Ketahuilah bahawa sejak hari ini kahwin mutaah itu hukumnya haram sampai kiamat nanti. Jadi, sesiapa yang pernah memberikan sesuatu, maka janganlah dia ambil kembali.
Oleh yang demikian, perkahwinan mutaah adalah dilarang di dalam Islam kerana ia merupakan amalan yang menyeleweng. Konsep perkahwinan ini diibaratkan hanyalah untuk memuaskan hawa nafsu syahwat dalam jangka masa yang sementara. Ianya tidak ubah seperti perbuatan zina.
Berdasarkan penerangan di atas, kahwin mutaah ini menunjukkan percanggahan untuk mendapatkan zuriat atau mencapai maksud daripada perkahwinan yang di anjurkan Islam.
Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!