Apabila Pemuzik Buta Caliph Buskers Bangkit Dari Kutipan RM50 Sehari Ke Pentas #AJL29
Penglihatan yang tidak sempurna langsung tidak menghalang Caliph Buskers untuk menggegarkan industri hiburan tanah air.
Anugerah Juara Lagu Ke-29, #AJL29 telah berlangsung dengan gilang-gemilang di Stadium Putra Bukit Jalil semalam, menampilkan 12 artis yang bertanding bagi merebut gelaran Juara Lagu
Pastinya, persembahan yang paling mencuri tumpuan adalah dari gandingan Mojo bersama penghibur jalanan, Caliph Buskers yang mendendangkan lagu Romancinta. Kenapa mereka begitu mendapat perhatian?
Ini kerana, Caliph Buskers yang terdiri daripada lima ahli iaitu Azmi (penyanyi), Nirwan (gitaris), Zaki (gitaris), Fendy (pemain cajon) dan Rubiana (pemain shaker) semuanya dilahirkan dengan cacat penglihatan
Untuk makluman, Caliph Buskers merupakan penghibur jalanan di kawasan SOGO dan juga Avenue K. Atas tuntutan #AJL29, mereka bagaimanapun terpaksa berehat daripada ber'busking' selama dua hari.
Kebiasaannya, mereka hanya meraih pendapatan sekitar RM50 hingga RM60 sepanjang 3 jam membuat persembahan setiap hari kecuali Jumaat. Antara sebab mengapa mereka hanya membuat persembahan selama 3 jam ialah ingin berkongsi rezeki dengan buskers yang lain.
Lima hari sebelum pentas #AJL29 berlangsung, penyanyi Caliph Buskers, Azmi mengalami sakit tekak yang sangat teruk sehingga memaksanya untuk berehat selama seminggu. Peluang untuk membuat persembahan di #AJL29 tampak tipis pada mulanya.
Walaupun bagaimanapun, itu langsung tidak merentap semangat mereka. Caliph Buskers tampil memberi persembahan yang benar-benar ikhlas datang dari hati, pada masa yang sama berjaya menambat hati seluruh rakyat Malaysia.
Lihat saja pada reaksi penonton selepas persembahan mereka. Semua orang berdiri dan memberi tepukan yang paling gemuruh atas tanda sokongan serta menunjukkan rasa kagum terhadap Caliph Buskers.
Sejurus persembahan mereka tamat, nama Caliph Buskers terus melonjak naik di laman sosial. Dalam masa beberapa minit sahaja, nama mereka terpampang di tempat kedua 'Malaysia Trends' di Twitter.
Laman Facebook Caliph Buskers juga mula dibanjiri dengan pujian demi pujian dari orang ramai. Masing-masing meluahkan keterujaan dan rasa bangga, serta memberi penghormatan kepada kumpulan ini.
Selebriti tempatan turut tidak melepaskan peluang memberi pujian kepada Caliph Buskers di Twitter sambil menganggap, mereka benar-benar berhak menerima 'standing ovation' daripada penonton
MOJO's performance made me cry and gave me goosebumps! Well done Mojo and Caliph Buskers! Was a standing ovation! Syukur Alhamdulillah :)
— Lisa Surihani (@LisaSurihani) January 18, 2015
Caliph buskers is the best example of when God takes some,He gvs a lot more. Tears down my eyes. Proud to hv thm sing at my wedding #AJL29
— Alif Satar (@AlifSatar_) January 18, 2015
MOJO and Caliph Buskers best performance! Alhamdulillah!!! Well done with the votes people... #AJL29
— Leya :D (@sharifahaLEYA) January 18, 2015
#AJL29 is cray cray cray and they definitely deserve a standing ovation. congrats mojo n caliph buskers
— intan ladyana (@intanladyana) January 18, 2015
Lebih menarik, sebelum #AJL29 berlangsung, laman Facebook Caliph Buskers hanya mengumpul sebanyak 1,400++ 'Likes'. Sebaik persembahan tamat, laman mereka terus mendapat 5,627 'Likes' pada jam 11.05 malam...
... kemudian meningkat kepada 7,693 'Likes' dalam masa 20 minit sahaja!
Sebelum artikel ini diterbitkan pula, laman Facebook Caliph Buskers berjaya mengumpul sebanyak hampir 46,000 'Likes'. Hebat!
Caliph Buskers memang aktif di laman sosial termasuk di YouTube. Sehingga kini, sebanyak lebih 30 video persembahan mereka telah dimuat naik.
Lihat semuanya di sini.
Di akhir acara, persembahan memukau Caliph Buskers telah melayakkan mereka untuk merangkul anugerah Persembahan Terbaik, sekali gus membawa pulang wang tunai sebanyak RM12,000!
Hasil tinjauan SAYS mendapati lagu Romancinta dendangan Caliph Buskers di pentas #AJL29 telah ditemui di beberapa laman web termasuk sendspace.com untuk dimuat turun
Siapa sangka, "artis" yang menggantikan tempat penyanyi Mojo, Aweera untuk membuat persembahan di salah satu anugerah paling berprestij di Malaysia merupakan sebuah kumpulan pemuzik jalanan yang cacat penglihatan
Persoalannya, dimanakah Aweera? Menurut Edry, Aweera terpaksa digugurkan atas sebab masalah yang sering ditimbulkan. Aweera juga didakwa mahu membuat persembahan bersama kumpulannya sendiri dan bukan Mojo.
Komposer dan ketua kumpulan Mojo, Edry Abdul Halim berkata, keputusan itu dibuat selepas Aweera atau nama sebenarnya, Nasharul Aweera Norhissham yang sebelum ini sudah bernaung di bawah syarikat rakaman lain memberikan syarat dia mahu menyanyi bersama kumpulan sendiri dan bukan Mojo.
“Sebagai komposer lagu Romancinta yang dipertandingkan dan anggota kumpulan Mojo sudah tentu saya tidak akan membenarkan perkara itu berlaku dan akhirnya saya membuat keputusan untuk menggugurkan Aweera."
“Pada saya ini saja jalan terbaik, kerana sepanjang rancangan ini berlangsung banyak sangat masalah ditimbulkan Aweera. Tambahan pula saya sudah banyak mengalah, jadi saya membuat keputusan tempatnya akan digantikan penyanyi lain,” kata Edry.
Namun begitu, Aweera kemudian tampil dan berkata dakwaan yang dikeluarkan Edry itu adalah fitnah semata-mata. Beliau sebenarnya tidak bersetuju dengan cadangan Edry yang memintanya untuk berduet bersama penyanyi Indonesia.
"Saya terkilan apabila dia (Edry) menuduh saya disingkirkan daripada Mojo kerana menimbulkan masalah kepada kumpulan itu, kalau saya bermasalah daripada awal lagi saya tidak mahu bagi kerjasama. Perkara sebenar adalah saya yang menarik diri. Dia meminta saya untuk berduet dengan penyanyi baru mereka (Mojo) iaitu penyanyi dari Indonesia pada malam AJL 29 nanti dan cadangan itu saya tidak setuju sama sekali," kata Aweera.
Tambah Aweera, Edry meminta dia hanya menyanyikan bahagian korus sahaja, manakala penyanyi baharu kumpulan itu akan menyanyikan bahagian verse. Malah, perjanjian yang dibuat juga tidak adil bagi dirinya apabila ditawarkan akan berkongsi hadiah dengan penyanyi tersebut jika mereka menang.
"Dia suruh saya nyanyi bahagian yang susah dan penyanyi baru itu bahagian verse sahaja. Itu tidak adil, ini bukan persembahan majlis makan malam. Perjanjian pula tidak adil jika kami menang, saya akan berkongsi (wang kemenangan) dengan penyanyi itu. Oleh itu saya tarik diri depan semua krew produksi TV3," tambahnya lagi.
Apa-apa pun, pertelingkahan tersebut telah membuka jalan rezeki buat Caliph Buskers. Bak kata Edry di dalam kapsyen gambarnya, "Satu pintu tertutup, banyak pintu lain terbuka. Syukur dapat ketemu insan-insan istimewa yang cukup berbakat."
Ternyata, peluang untuk beraksi di pentas #AJL29 merupakan detik paling bersejarah buat Caliph Buskers. Malah, dalam karier seseorang artis sekali pun, bertanding dalam Anugerah Juara Lagu boleh dianggap sebagai sesuatu yang amat besar bagi mereka.
Tahniah diucapkan kepada Caliph Buskers. Anda telah membuktikan bahawa walaupun dengan penglihatan tidak sempurna, anda masih mampu menjadi yang "paling sempurna" di mata orang ramai. Semoga terus sukses di masa hadapan.