seismik

“Awak Sembur, Saya Saman!” - Seorang Lelaki Dakwa Asap ‘Fogging’ Punca Pokok Bunganya Mati

Kalau tak nak fogging nanti kena denggi macam mana?

Cover image via Hello Sehat

Apabila berlaku wabak demam denggi di sesebuah kawasan, pihak berwajib akan mengarahkan petugas untuk membuat semburan asap atau yang biasa kita panggil sebagai fogging

Dan sebagai seorang rakyat yang prihatin serta bimbang akan keselamatan diri dan orang lain, sudah pasti kita akan cuba untuk memberikan kerjasama kepada petugas-petugas ini.

Tapi, lain pula yang terjadi apabila seorang lelaki bertindak memarahi petugas yang bertanggungjawab membuat semburan asap di kawasan perumahan tempat beliau tinggal. Malah, beliau turut memberi amaran akan menyaman pihak terbabit sekiranya semburan tetap dilakukan.

Tindakan beliau ini adalah berpunca daripada salah faham beliau tentang semburan asap sebelum ini yang dikatakan telah menyebabkan pokok-pokok bunga yang ditanamnya mati.

Ikuti perkongsian penuh dari Mat Yoe berkenaan pengalaman beliau ini:

Image via Flickr

"Awak sembur rumah saya, saya saman awak!"

Pemilik rumah telah menghalang saya dan anggota saya dari menjalankan aktiviti fogging di luar kawasan rumah beliau.

Dakwanya, semburan yang kami lakukan sebelum ini telah menyebabkan tanaman beliau mati. Beliau juga tidak mahu sedikit asap pun terkena tanaman beliau.

Semburan yang pihak kami lakukan pada petang itu adalah jenis asap (oil-based) dan sememangnya kami tidak berdaya untuk menahan angin daripada menyebarkan semburan asap tersebut ke merata tempat walaupun pihak kami menutup nozzle dalam jarak 50 meter dari rumah beliau.

Walaupun diberikan penerangan, lelaki tersebut tetap berkeras untuk menyaman pihak kami dan tidak membenarkan anggota saya melintasi kawasan rumah beliau.

Seperti yang anda semua lihat, tanaman beliau berada di kaki lima dan juga rezab jalan yang mana tanah tersebut adalah hak milik pihak berkuasa tempatan.

Image via imgur.com

Membina binaan kekal dan juga meletakkan halangan di hadapan rumah seperti di dalam gambar adalah menyalahi undang-undang mengikut Akta Perumahan, Akta Jalan, Parit dan juga Bangunan. Seksyen 46(1) (a) AJPB 1974 (Akta133).

Binaan ini boleh diambil tindakan oleh Majlis Perbandaran dan juga Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal merangkumi denda dan juga tindakan merobohkan semua binaan terbabit.

Pihak Kementerian Kesihatan Malaysia juga berkuasa untuk memusnahkan semua tanaman ini mengikut APSPP 1975 yang mana boleh diklasifikasikan sebagai tanaman yang boleh membiak serta memberikan perlindungan kepada serangga pembawa penyakit.

Jika mahu, saya boleh mensabitkan kesalahan tuan rumah dengan undang-undang jenayah iaitu:

1. Menghalang tugas penjawat awam - Seksyen 186, kanun keseksaan (penjara 2 tahun, denda RM10 ribu ringgit atau kedua-duanya sekali).

2. Mengeluarkan kata-kata yang tidak sopan - Seksyen 14, Akta 326 (penjara 7 hari, denda RM100).

3. Ugutan jenayah - Seksyen 56, kanun keseksaan (penjara sehingga 7 tahun atau denda RM10 ribu ringgit).

Image via OSH The Journey

Diharapkan kita semua tidak mementingkan diri sendiri kerana buruk kesannya kepada orang lain khususnya masyarakat setempat.

Fogging yang pihak kami lakukan ini adala bertujuan untuk membunuh nyamuk dewasa dan kami sebolehnya mahu seluruh premis dalam radius 20 meter dari rumah kes dibuat semburan selengkapnya di dalam dan juga diluar premis.

Jangan hanya kerana anda, semburan lengkap tidak dapat dilakukan dan ada nyawa yang akan terkorban.

Tanpa mengambil kira ugutan tersebut, semburan tetap dapat dilakukan di luar kawasan rumah beliau. Fogging tamat sepenuhnya tanpa ada sebarang perkara tidak diingini berlaku.

LIKE Facebook dan follow Twitter SAYS SEISMIK dan temui segala cerita mesti kongsi sekarang!

Ada pengalaman demam denggi? Apa yang anda minum untuk kurangkan sakit tu?

You may be interested in: