Bandai Namco Music Live Sasar Pasaran ACG Asia Tenggara, Puji Tenaga Luar Biasa Peminat Malaysia
Nijigen Expo 2026 berlangsung meriah dengan kehadiran para peminat anime dalam kalangan rakyat Malaysia.
Cover image via Nijigen ExpoFollow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Gergasi hiburan Jepun, Bandai Namco Music Live, menzahirkan komitmen tinggi untuk meluaskan pengaruh mereka di rantau Asia Tenggara, dengan meletakkan Malaysia sebagai hab pertumbuhan pasaran ACG yang berpotensi besar
Dalam satu temu bual eksklusif sempena Nijigen Expo 2026, wakil syarikat berkongsi keterujaan mereka terhadap lonjakan tenaga peminat tempatan yang disifatkan semakin berkembang dalam setiap siri penjelajahan. Pihak syarikat kini merancang untuk menjalin kerjasama lebih erat dengan rakan strategik tempatan bagi memacu industri muzik anime ke tahap yang lebih tinggi.
Salah satu cabaran utama dalam industri muzik anime di luar negara adalah kecenderungan peminat yang hanya mengingati lagu tema pembuka (opening) atau penutup (ending) tanpa mengenali penyanyi sebenar.
Melalui persembahan secara langsung di konvensyen antarabangsa seperti Nijigen Expo, Bandai Namco Music Live mahu merapatkan jurang tersebut. Platform ini memberi peluang kepada peminat untuk mengenali identiti, menghargai bakat, serta menerokai karya-karya lain artis kegemaran mereka secara lebih dekat.


Eksperimen pentas Raychell dan Innowashi
Kehadiran Bandai Namco Music Live di Nijigen Expo 2026 turut menyaksikan satu eksperimen berani apabila membawakan dua artis, Raychell dan Innowashi. Kedua-dua artis ini tidak mempunyai sebarang lagu tema anime tegar, sebaliknya memperjuangkan muzik arus perdana.
Langkah ini merupakan satu ujian pasaran (trial) bagi melihat sejauh mana penerimaan komuniti peminat anime tempatan terhadap kepelbagaian genre muzik Jepun, sekali gus membina jambatan yang menghubungkan mereka dengan industri muzik yang lebih luas.
Wakil syarikat turut mengagumi corak sorakan peminat Malaysia yang unik. Berbeza dengan tanggapan awal yang melihat mereka sebagai golongan pemalu, peminat tempatan terbukti mampu mencetuskan suasana konsert yang sangat bertenaga sebaik sahaja artis mula beraksi di atas pentas.
Bagi mengekalkan momentum luar biasa ini, Bandai Namco Music Live komited untuk memunculkan diri secara konsisten melalui siri temu bual dan acara masa hadapan. Malah, wakil syarikat turut memberi bayangan bakal kembali semula ke Malaysia pada bulan September ini bagi merancang lebih banyak projek dan kolaborasi menarik.


Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!


