Bawa Bakso Dari Indonesia, Individu Dakwa Diminta Bayar RM100 Di KLIA Kepada Pegawai Kastam
Tidak berdiam diri, dia kemudian membuat laporan rasmi berhubung kejadian tersebut.
Cover image via ThreadsFollow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Seorang pengguna Threads mendakwa menjadi mangsa cubaan meminta rasuah selepas diminta membayar RM100 bagi melepaskan makanan yang dibawanya dari Indonesia sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA)
Menerusi hantaran yang tular di laman Threads, pengguna dikenali sebagai @Brayenngabriel mendakwa insiden itu berlaku ketika dia pulang bersendirian dari Indonesia dengan membawa beberapa bungkusan bakso di dalam bagasi.
Menurutnya, bagasi tersebut tidak menimbulkan sebarang masalah ketika pemeriksaan di Indonesia. Namun sebaik tiba di Malaysia, dia ditahan di kaunter pemeriksaan kastam sebelum dimaklumkan bakso yang dibawanya tidak dibenarkan masuk dan perlu disita.

Apa yang lebih mengejutkan, dia mendakwa seorang individu yang dipercayai pegawai kastam menawarkan untuk 'membantu' melepaskan makanan tersebut dengan bayaran RM100.
Difahamkan, dia memaklumkan tidak membawa wang tunai, namun diberitahu pembayaran hanya boleh dibuat secara tunai. Selepas menghubungi ibunya, mereka cuba merayu supaya jumlah itu dikurangkan, namun didakwa dimaklumkan RM100 merupakan kadar minimum.
Pengguna Threads itu turut mendakwa sempat membuat rakaman skrin ketika pembayaran dibuat menggunakan kod QR sebelum meninggalkan kawasan berkenaan
Tidak berdiam diri, dia kemudian membuat laporan rasmi berhubung kejadian tersebut.

Menurutnya lagi, selepas isu itu tular, dia menerima mesej peribadi (DM) daripada seorang individu yang didakwa mempunyai kaitan dengan kes berkenaan.
Individu tersebut dikatakan memohon agar hantaran di Threads dipadamkan selain menawarkan untuk memulangkan semula wang RM100 yang telah dibayar, sambil memohon maaf dan berharap isu itu tidak diperbesarkan.
Setakat ini, belum ada sebarang kenyataan rasmi daripada pihak Jabatan Kastam Diraja Malaysia berhubung dakwaan yang tular itu.
Lihat posting di sini:
View on Threads
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!


