Belasungkawa Tun Dr Siti Hasmah, Perjalanan Perintis Doktor Wanita Kebanggaan Malaysia
Allahyarham Tun Dr Siti Hasmah meninggal dunia pada umur 100 tahun pada 28 September 2026.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali meninggal dunia pada usia 100 tahun di Institut Jantung Negara (IJN) di Kuala Lumpur semalam, 28 September
Sebelum berkahwin dengan Perdana Menteri Malaysia yang paling lama berkhidmat dan memegang jawatan sebanyak dua penggal, Tun Dr Mahathir Mohamad, Dr Siti Hasmah telah pun mengukir pelbagai pencapaian yang membanggakan, termasuk menjadi antara doktor wanita terawal di Tanah Melayu, baik sebelum mahupun selepas era pemerintahan British.
Dilahirkan pada tahun 1926 di Kampung Jawa, Klang, Selangor, beliau merupakan anak keenam daripada 10 adik-beradik.
Bapanya, Hj Mohd Ali, merupakan seorang pegawai kerajaan manakala ibunya, Hajah Siti Khatijah bt Ahmad, seorang suri rumah, menurut Yayasan Kepimpinan Perdana (Perdana Leadership Foundation), sebuah pertubuhan bukan berasaskan keuntungan yang mana Tun Dr Mahathir merupakan presiden kehormatnya.
Sebelum melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi, Dr Siti Hasmah mendapat pendidikan di Methodist Girls' School di Kuala Lumpur, St Mary's School, dan kemudiannya Pudu English School.
Selepas Perang Dunia Kedua, beliau melanjutkan pelajaran di King Edward VII College of Medicine di Singapura dengan bantuan biasiswa, dan menjadi satu-satunya pelajar wanita Melayu dalam kohort tersebut.
Di kolej itulah beliau bertemu dengan Dr Mahathir, yang turut memulakan pengajian pada tahun yang sama.

Pada tahun 1955, Dr Siti Hasmah menamatkan pengajian dan memulakan latihan perubatan (housemanship) di Hospital Besar Kuala Lumpur
Setahun kemudian, Dr Siti Hasmah dan Dr Mahathir mendirikan rumah tangga. Beliau kemudian berpindah ke Kedah bersama Dr Mahathir dan berkhidmat sebagai pegawai perubatan di Hospital Besar Alor Setar. Pasangan itu dikurniakan tujuh orang cahaya mata, tiga perempuan dan empat lelaki.
Pada tahun 1965, sebelum mencecah usia 40 tahun, beliau menjadi wanita pertama yang dilantik sebagai pegawai perubatan di Jabatan Kesihatan Ibu dan Anak di Kedah. Pada tahun 1974, beliau menjadi wanita pertama di negeri itu yang dilantik sebagai Pegawai Kesihatan Ibu dan Anak Negeri.
Beliau diiktiraf kerana berjaya mengurangkan kadar kematian bayi di Kedah secara drastik, daripada 75 kematian bagi setiap 1,000 kelahiran kepada hanya enam kes sepanjang tempoh perkhidmatannya, lapor FMT.
Sebagai antara doktor wanita Melayu yang terawal, beliau merintis jalan baharu dan memberikan impak yang signifikan pada masa peluang untuk wanita masih terhad.

Peranan beliau sebagai doktor melangkaui skop wad hospital dan bilik konsultasi
Beliau memegang peranan kepimpinan dalam mempromosikan pelbagai kempen kesihatan, termasuk kesihatan ibu, perkembangan kanak-kanak, dan kesedaran mengenai penyalahgunaan dadah.
Berikut ialah senarai jawatan yang pernah disandang oleh beliau sepanjang tempoh perkhidmatannya, menurut Yayasan Kepimpinan Perdana:
- Presiden Persatuan Pandu Puteri Malaysia
- Pengerusi Persatuan Perancangan Keluarga Kedah
- Presiden Yayasan Persatuan Perubatan Malaysia
- Presiden Persatuan Pemulihan Kanak-kanak Kurang Upaya
- Naib Presiden Persekutuan Persatuan Perancangan Keluarga Malaysia
- Penaung Persatuan Kesihatan Ibu dan Neonat Malaysia
- Penaung Persatuan Pediatrik Malaysia
- Presiden Kelab Kebajikan Isteri-isteri Menteri dan Timbalan Menteri
Pada tahun 1985, beliau diundang oleh First Lady Amerika Syarikat ketika itu, Nancy Reagan, untuk menghadiri First Ladies' Conference mengenai Penyalahgunaan Dadah di Washington, DC. Dua tahun kemudian, beliau mewakili Malaysia di Persidangan Antarabangsa mengenai Penyalahgunaan Dadah dan Pemerdagangan Haram di Vienna.
Usaha beliau dalam saranan kesihatan awam dan bidang perubatan turut membolehkan beliau menerima ijazah kehormat daripada beberapa institusi luar negara, termasuk University of Indiana (AS), University of Victoria (Kanada), Royal College of Physicians di Dublin (Ireland) dan University of Edinburgh (Scotland).
Di peringkat tempatan, beliau juga menerima ijazah kehormat daripada Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Malaya, Universiti Sains Malaysia dan beberapa institusi lain.
Dr. Siti Hasmah bersara daripada perkhidmatan kerajaan pada tahun 1979 dan kemudian berkhidmat sebagai pensyarah di Fakulti Pergigian Universiti Malaya sehingga tahun 1981, iaitu tahun suaminya dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia yang keempat.

Dr Siti Hasmah juga merupakan satu-satunya isteri perdana menteri yang dikurniakan gelaran Tun
Beliau sentiasa mendampingi Dr Mahathir mengharungi jatuh bangun kerjaya politik suaminya, daripada perselisihan faham awal dengan Tunku Abdul Rahman sehinggalah tempoh 22 tahun beliau memegang jawatan perdana menteri, serta kembalinya beliau ke jawatan itu pada usia 92 tahun.
Walaupun tidak meminati bidang politik, beliau melakukan pelbagai pengorbanan demi Dr Mahathir, terutamanya semasa penggal kedua suaminya sebagai perdana menteri.
Pada tahun 2019, lawatan Dr Mahathir ke London dan Vienna menimbulkan kebimbangan beliau memandangkan suhu di bandar-bandar tersebut menjunam ke paras -5°C dan -6°C. Sebagai seorang doktor yang amat memahami suaminya, beliau tahu bahawa cuaca sejuk boleh memburukkan lagi masalah resdung dan menyebabkan hidung tersumbat.
Sepanjang lawatan itu, beliau menjaga kebajikan suaminya dengan menyediakan ubat titis hidung serta mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan sebarang penyakit yang boleh menjejaskan paru-paru suaminya yang berada dalam keadaan kurang baik, perkara ini dikongsikan beliau dalam satu temu bual bersama The Malaysian Reserve pada tahun tersebut.
Beliau juga bimbang memandangkan Dr Mahathir perlu kerap berucap sepanjang lawatan itu, sekali gus menambah kerisauannya terhadap tahap kesihatan suaminya.
Memandangkan Dr Mahathir mengalami sedikit masalah pendengaran, Dr Siti Hasmah sentiasa khuatir suaminya mungkin tersalah cakap, beliau memberikan contoh perdebatan di Oxford Union yang berlangsung semasa lawatan itu.
"Suami saya tidak dapat mendengar apa yang mereka katakan. Soalan diajukan kepadanya, namun beliau tidak dapat menangkap soalan itu dengan tepat akibat masalah pendengarannya, lalu memberikan jawapan yang salah. Itu tidak bagus. Jika saya berada dekat dengannya, pasti saya sudah menegurnya," kata beliau.
"Kadangkala, saya berangan-angan seandainya saya dan beliau masing-masing memakai alat pendengaran (earpiece). Saya boleh berkomunikasi dan berkata, 'Tidak, awak salah'. Saya sentiasa bimbang beliau mungkin tersalah cakap," tambah beliau sambil ketawa kecil.

Dr Siti Hasmah tidak pernah berhenti belajar dan mengembangkan diri
Beliau kembali bermain biola ketika berusia 80-an, setelah meninggalkannya sejak zaman muda dan kerap membuat persembahan di acara-acara awam.
Beliau malah pernah membuat persembahan bersama bintang-bintang ternama seperti Datuk Seri Siti Nurhaliza, Datuk M Nasir, dan Datuk Jamal Abdillah.
Selain muzik, beliau juga menulis dua buah memoir, My Name Is Hasmah dan Speaking of Mass Destruction, yang memberikan gambaran jujur serta mendalam mengenai perjalanan hidupnya.
Daripada seorang doktor perintis hinggalah menjadi isteri kepada seorang Perdana Menteri, kehidupan Dr Siti Hasmah mencerminkan daya ketahanan, sifat belas kasihan, kerendahan hati dan kemajuan nilai-nilai yang akan terus memberi inspirasi kepada negara pada masa kini dan masa hadapan.

Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



Cover image via