Beregu Campuran Negara, Tang Jie-Ee Wei Rangkul Gelaran Olahragawan & Olahragawati Kebangsaan
Gandingan Tang Jie-Ee Wei melakar sejarah menjadi beregu campuran pertama negara bergelar juara dunia, menamatkan penantian 48 tahun negara.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Kejuaraan dunia yang dirangkul pasangan beregu campuran negara, Chen Tang Jie dan Toh Ee Wei membolehkan mereka diangkat sebagai Olahragawan dan Olahragawati Kebangsaan 2025
Menerusi laporan Harian Metro, kedua-dua atlet tersebut telah dinobatkan penganugerahan berkenaan dalam Majlis Anugerah Sukan Negara (ASN) 2025 yang dijalankan hari ini.
Tang Jie berjaya mengetepikan saingan hebat atlet wushu, Si Shin Peng; atlet pencak silat, Khairi Abib Azhar; pemain tenpin boling, Rafiq Ismail serta atlet bina badan, Abdul Aziz Ahmad untuk gelaran Olahragawan Kebangsaan.
Sementara itu, Ee Wei mengetepikan cabaran atlet wushu, Tan Cheong Min dan Pang Pui Yee selain Emma Firyana Saroji serta Natasha Mohamed Roslan bagi kategori Olahragawati Kebangsaan.
Ee Wei turut melakar sejarah tersendiri apabila menjadi pemain beregu wanita dalam acara beregu campuran bergelar Olahragawati Kebangsaan dan kali pertama sukan badminton mengungguli kedua-dua anugerah utama ASN.

Pemenang kategori utama menerima trofi, sijil penghargaan serta hadiah wang tunai RM20,000
Selain kategori individu, ASN edisi 2025 turut mempertandingkan kategori pasukan kebangsaan dan jurulatih terbaik.
Pasukan sepak takraw negara berjaya merangkul Anugerah Pasukan Lelaki Kebangsaan susulan kejayaan menamatkan penantian emas selama 34 tahun di temasya Sukan Sea Thailand 2025, menewaskan skuad tenpin boling dan beregu badminton negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik.
Kejayaan itu menyaksikan jurulatih sepak takraw negara, Ahmad Jais Baharun merangkul gelaran Jurulatih Kebangsaan 2025, menewaskan Rosman Razak (badminton) dan Mohd Fauzi Khalid (silat).
Bagi kategori atlet para negara, jaguh para berbasikal, Muhammad Yusof Hafizi Shaharuddin dinobatkan sebagai Olahragawan Paralimpik Kebangsaan manakala Olahragawati Paralimpik Kebangsaan dimenangi Lim Carmen menewaskan Jariah Zakaria (para boling padang) dan K Parameswary (para memanah).
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



Cover image via