Kes Letupan Gas Helium Di Kedah Ragut Satu Nyawa, Dua Lagi Dilaporkan Tercedera
Difahamkan, kejadian berlaku di satu ekspo di Sungai Petani, Kedah.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Satu kejadian letupan tong gas helium telah berlaku semalam di tapak ekspo berdekatan Dataran Jam Besar di Sungai Petani, Kedah
Insiden ini telah meragut seorang nyawa lelaki berusia 42 tahun manakala dua lagi mangsa berumur 15 tahun dan 46 tahun tercedera.
Menurut laporan dari Harian Metro, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Petani, Siti Norafiza Mohd Noh mengatakan mereka telah menerima panggilan mengenai kejadian itu pada jam 7:52 malam semalam.
Beliau bersama-sama lapan anggota BBP Sungai Petani dibantu Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Mohd Badrul Hisham Hassan tiba di lokasi selepas menerima panggilan mengenai letupan tong gas helium.

Punca disyaki dari satu unit tong gas helium untuk mengisi belon kanak-kanak
Tong gas helium yang meletup itu digunakan untuk mengisi belon kanak-kanak untuk perniagaan.
Petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengesahkan lelaki berusia 42 tahun itu telah meninggal dunia.

"Komander Operasi melaporkan tiba di lokasi jam 8.05 malam dan letupan membabitkan satu unit tong gas helium yang digunakan untuk mengisi belon kanak-kanak bertujuan untuk perniagaan.
"Dua mangsa iaitu remaja lelaki berusia 15 tahun dan seorang lelaki berusia 46 tahun cedera, manakala seorang lelaki berusia 42 tahun pula disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di lokasi kejadian, " katanya.
Mangsa kejadian juga telah diserahkan kepada pihak KKM dan mangsa meninggal dunia diserahkan pihak polis.

Manakala itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda ACP Hanyan Ramlan mengatakan polis telah menahan dua lelaki untuk membantu siasatan berhubung insiden letupan tong gas helium ini.
"Polis sedang menjalankan siasatan di tempat kejadian, maka kami minta semua peniaga hentikan dahulu perniagaan.
"Apabila dah selesai, polis akan serah balik kepada penganjur untuk teruskan acara ini," katanya.
Polis percaya terdapat lagi pengunjung lain yang mengalami kecederaan, tetapi mungkin ia ringan dan menyebabkan mereka meninggalkan tempat kejadian.
Ibu bapa atau peniaga dinasihatkan untuk berhati-hati dengan tong gas untuk belon kerana ada yang mempunyai gas hidrogen yang sangat sensitif terhadap alat atau bahan yang membakar.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



Cover image via