Bermula Modal RM250, Larenme Kini Urus Jenama Syed Saddiq & Empat Lagi Bakat Tempatan

Nama Larenme diambil daripada gabungan nama Melayu yang diberikan sentuhan sebutan Perancis.

Enlarge text

Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.

Bermula hanya dengan modal keyakinan, akaun syarikat milik seorang sahabat dan bayaran RM250 bagi setiap transaksi, Larenme PR & Media kini berjaya berkembang menjadi sebuah agensi media dengan lebih 15 kakitangan selepas dua tahun beroperasi

Kisah di sebalik penubuhan agensi milik Pengarah Eksekutif, Asyraf Khalid, dan Ketua Pegawai Eksekutif, Nazrin Kamal, itu dikongsikan pada majlis ulang tahun kedua Larenme yang berlangsung di Kuala Lumpur Golf & Country Club (KLGCC) baru-baru ini.

Majlis berkenaan turut menyaksikan pengenalan lima bakat utama yang kini diwakili Larenme bagi urusan kerjasama jenama, endorsmen dan kolaborasi komersial iaitu Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq, serta pencipta kandungan SpaceDollah, Dzulfaqar, Papa Ayie dan Boss James.

Idea penubuhan Larenme bermula apabila Asyraf kerap menghubungkan syarikat kenalan dengan pempengaruh dan selebriti tempatan. Memandangkan beliau belum mempunyai syarikat berdaftar pada waktu itu, Asyraf meminta izin untuk menggunakan akaun syarikat sahabat baiknya, Nazrin, dengan menawarkan bayaran RM250 bagi setiap transaksi yang masuk. Kerjasama awal itu akhirnya berkembang menjadi perbincangan pemegangan saham syarikat secara sama rata (50/50).

Nazrin berkongsi bahawa mesyuarat pertama mereka berlangsung secara unik di cigar lounge The Majestic Hotel Kuala Lumpur. Beliau menyifatkan gandingan mereka sangat serasi di mana Asyraf bertindak sebagai pemikir strategi manakala beliau menumpukan kepada aspek pelaksanaan operasi.

SAYS.com
Image via @larenme.prmedia (Instagram)

Ditubuhkan secara rasmi sebagai Larenme Sdn Bhd pada tahun 2024 dengan hanya empat pekerja

Nama Larenme diambil daripada gabungan nama Melayu yang diberikan sentuhan sebutan Perancis. Agensi ini kini menyediakan pelbagai perkhidmatan merangkumi liputan media, kempen media sosial, podcast, pengurusan acara, serta pengurusan kerjasama jenama untuk pelbagai klien merangkumi syarikat multinasional, GLC, korporat dan PKS.

Klien pertama mereka, MommyHana, kekal bersama Larenme sehingga kini. Antara pencapaian utama agensi ini termasuk penganjuran konsert KRU untuk kira-kira 3,000 ejen Prudential BSN Takaful pada Januari lalu. Larenme turut menjalin kerjasama strategik bersama Nuffnang, Commerce.Asia, Mantayay dan Enrichment. Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Pengasas Commerce.Asia merangkap Pengerusi MDEC, Ganesh Kumar Bangah.

Bagi Asyraf, perkembangan Larenme memberi makna peribadi yang besar selepas sekian lama sering dikenali menerusi individu di sekelilingnya seperti 'anak Dato' K', 'bapak Arif' atau 'suami Tya'. Beliau mahu Larenme menjadi platform untuk membuka pintu peluang dan mengetengahkan bakat-bakat lain dalam industri tempatan.

SAYS.com

Pengarah Eksekutif, Asyraf Khalid dan Ketua Pegawai Eksekutif, Nazrin Kamal

Image via @larenme.prmedia (Instagram)

Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!

Image via SAYS Seismik
Read more trending stories on SAYS

You may be interested in: