Betul Ke Sapu Muka Lepas Salam Itu Bidaah? Ini Jawapan Ustaz Azhar Idrus
Semoga penjelasan ini membantu.
Cover image via Ustaz Azhar IdrusFollow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Amalan menyapu muka sebaik sahaja memberi salam selepas solat sering menjadi perdebatan, malah ada yang mendakwa ia adalah amalan bidaah
Namun, menurut pendakwah terkenal, Ustaz Azhar Idrus (UAI), dakwaan tersebut tidak tepat kerana isu itu sebenarnya melibatkan khilaf ulama, bukannya perkara yang disepakati haram atau sesat.
Menerusi video di TikTok, beliau menjelaskan hadis yang menjadi sandaran amalan menyapu wajah selepas berdoa atau selesai solat dikategorikan sebagai hadis dhaif (lemah), bukannya hadis palsu (maudhu'). Atas sebab itu, ramai ulama hadis dan fuqaha menerima penggunaannya dalam bab fadhail al-a'mal, zikir dan doa.

Ini bermaksud, mereka yang memilih untuk menyapu muka selepas salam tidak boleh dihukum melakukan bidaah, manakala mereka yang tidak mengamalkannya juga tidak dianggap melakukan kesalahan. Kedua-dua amalan tersebut diterima dalam ruang lingkup perbezaan pandangan ulama.
Menurut Waktu Solat Malaysia, penulis dan penyelidik, Zaki Sapuan Al-Hafidz turut menjelaskan bahawa sapu muka dilakukan selepas solat selesai, bukan ketika sedang menunaikan solat. Justeru, ia tidak menjejaskan rukun atau membatalkan ibadah tersebut
Beliau turut menyatakan amalan itu mempunyai sandaran dalam kitab-kitab ulama Mazhab Syafi'i, antaranya al-Adhkar karya Imam al-Nawawi dan Nata'ij al-Afkar oleh Ibnu Hajar al-'Asqalani, yang merekodkan riwayat berkaitan amalan menyapu wajah selepas berdoa.
كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا قَضَى صَلَاتَهُ مَسَحَ جَبْهَتَهُ بِيَدِهِ الْيُمْنَى، ثُمَّ يَقُولُ: بِسْمِ اللَّهِ الَّذِي لَا إِلَهَ إِلَّا هُوَ الرَّحْمَنُ الرَّحِيمُ، اللَّهُمَّ أَذْهِبْ عَنِّي الْغَمَّ وَالْحَزَنَ
Maksudnya: "Adalah Rasulullah SAW apabila telah selesai menunaikan solatnya baginda menyapu akan dahinya dengan tangannya yang kanan kemudian mengucapkan : Dengan nama Allah yang tiada tuhan melainkan Dia yang maha pemurah maha pengasih. Ya Allah hilangkan daripada aku akan keluh kesah dan kesedihan." (Riwayat al-Tabarani & Ibn al-Sunni)
Menurut UAI lagi, sikap terlalu mudah melabel sesuatu amalan sebagai bidaah tanpa memahami perbezaan pandangan ulama hanya akan menimbulkan perpecahan dalam kalangan umat Islam.
Beliau mengingatkan bahawa selama sesuatu amalan mempunyai sandaran daripada ulama muktabar serta tidak bercanggah dengan syariat, masyarakat seharusnya menghormati perbezaan tersebut dan tidak tergesa-gesa menghukum orang lain.

Gambar janaan AI.
Hakikatnya, isu sapu muka selepas salam bukanlah soal benar atau salah secara mutlak, sebaliknya termasuk dalam perkara khilaf yang telah lama dibahaskan oleh para ulama.
Dalam perkara seperti ini, sikap saling menghormati perbezaan pandangan dan mengelakkan budaya mudah membidaahkan orang lain adalah lebih utama demi memelihara keharmonian serta kesatuan umat Islam. Wallahu a'lam.
Lihat video di bawah:
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!


