“Biar Testosteron Rendah, Janji Adab Tinggi” – Ojen Aiwahhh Kecewa Jojo Label Kunafa Makanan ‘Sampah’
Kontroversi tercetus selepas Jojo melabelkan kunafa sebagai makanan 'sampah' dalam sebuah audio siar (podcast) baru-baru ini.
Cover image via @ojennaiwahhh_ (Instagram)Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Dunia media sosial dikejutkan dengan perang mulut antara usahawan Kunafa Aiwahhh, Ojen Aiwahhh dan atlet Muay Thai negara, Johan Ghazali atau lebih dikenali sebagai Jojo
Kontroversi tercetus selepas Jojo melabelkan kunafa sebagai makanan 'sampah' dalam sebuah audio siar (podcast) baru-baru ini.
Biarpun Jojo memberikan kenyataan secara umum, tindakan netizen yang mengaitkan jenama Kunafa Aiwahhh serta mesej langsung (DM) sinis daripada atlet tersebut kepada Ojen telah mengeruhkan keadaan.
Ojen, atau nama sebenarnya Zayn Rosli, meluahkan rasa terkilan kerana gelaran 'sampah' disifatkan sebagai satu penghinaan terhadap rezeki dan usaha peniaga makanan.

"Kalau tak suka sekalipun, janganlah sampai melabel makanan sebagai sampah. Ia bukan sahaja kegemaran ramai, malah sumber rezeki buat saya dan kakitangan. Dalam Islam sendiri kita diajar untuk tidak mencela makanan," tegas Ojen.
Beliau menyifatkan kenyataan Jojo sebagai 'umpan kemarahan' (ragebait) yang tidak sepatutnya berlaku, lebih-lebih lagi ketika umat Islam sedang menyambut hari-hari kebesaran seperti Hari Arafah dan Aidiladha.
Pertahankan adab berbanding ego
Perbalahan di platform Thread semakin panas apabila Jojo didakwa menyindir perwatakan lembut Ojen dengan mengaitkannya dengan tahap hormon testosteron yang rendah. Jojo turut memuat naik poster rekaan sinis yang memperlihatkan dirinya akan bertarung Muay Thai menentang usahawan tersebut.
Membalas sindiran tersebut, Ojen menegaskan bahawa nilai seorang manusia terletak pada adab, bukannya tahap hormon atau kekuatan fizikal semata-mata.
"Biarlah testosteron rendah sekalipun, asalkan adab dengan makanan di tahap tertinggi. Kita orang Melayu kaya dengan adab. Kalau mahu dipandang tinggi, tinggikan adab, bukannya ego," katanya lagi.

Ojen turut mendedahkan rasa terkilan kerana beliau sebenarnya penyokong kuat sukan Muay Thai tempatan. Sebelum ini, beliau pernah menaja lima pejuang Muay Thai, termasuk Kabilan Jelevan yang bernaung di bawah gim milik keluarga Jojo, Rentap Muay Thai.
Selain sukan, Ojen juga aktif menyokong industri kreatif menerusi penajaan filem aksi Tarung: Unforgiven. Tambahnya, Jojo sebelum ini pernah mengakui meminati dan menjamah kunafa miliknya, namun pelawaan tajaan ditolak kerana tidak selari dengan imej atlet tersebut.
Ojen berharap agar semangat empati dan sokongan positif dapat dipupuk sesama penggiat industri dan atlet, bukannya menjatuhkan antara satu sama lain demi meraih perhatian di media sosial.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!


