Boleh Ke Umat Islam Berpakaian Serba Hitam Hadiri Kematian Atau Ziarah Kubur? Ini Hukumnya
Pakaian hitam sering dilambangkan sebagai kesedihan.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Pakaian berwarna hitam selalu menjadi pilihan apabila seseorang menghadiri kematian atau acara pengebumian
Menurut laporan Sinar Harian, barangkali warna itu sering dianggap sebagai melambangkan kedukaan, kesedihan, kematian dan seumpamanya jika dibandingkan dengan warna-warna lain.
Walau bagaimanapun, warna hitam juga sering kali digunakan oleh orang bukan Islam ketika menghadiri upacara seperti itu.
Jadi, apakah hukum memakai pakaian hitam ketika menghadiri pengebumian atau kematian?
Ini penjelasan daripada Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan:
Jelas pejabat mufti itu, sejarah pakaian hitam ketika pengebumian dimulakan oleh Ratu Victoria pada tahun 1861 saat kemangkatan suaminya, Prince Albert.
Pakaian itu dikenakan sebagai tanda kesedihan dan Ratu Victoria memakainya sehinggalah ke akhir usianya iaitu pada 1901.
"Sejak itu, mengenakan pakaian hitam ketika pemakaman menjadi terkenal dalam kalangan masyarakat Eropah," katanya.
Namun begitu, jelas pejabat mufti lagi, Imam As-Suyuti dalam kitabnya, Al-Awail ila Musamarah al-Awail menyatakan, ketika Marwan Al-Umawi membunuh Ibrahim Ibnu Muhammad Al-Imam, masyarakat Abasiyah mula memakai pakaian hitam sebagai tanda kesedihan.
"Kemudian pakaian itu menjadi pakaian kebiasaan mereka. Pada zaman Bani Umayyah, mereka akan memakai pakaian putih ketika kemangkatan raja mereka bagi membezakannya dengan Bani Abasiyah yang memakai pakaian berwarna hitam," tulisnya.
Justeru, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menjelaskan, berpakaian hitam ketika pengebumian tidak menjadi pakaian keagamaan yang khusus untuk mana-mana agama.
Memakai warna-warna tertentu berbeza-beza mengikut kepada uruf setempat. Jadi, ia tidak termasuk dalam larangan menyerupai agama lain.
Hukum memakai pakaian warna hitam ketika majlis pengebumian adalah harus
Menurut Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan lagi, terdapat sebahagian ulama Mazhab Syafie menyatakan bahawa mengkhususkan warna tertentu seperti hitam atau warna-warna lain ketika berlaku kematian termasuk dalam bentuk ratapan yang dilarang oleh Islam.
Namun begitu, sekiranya pakaian hitam itu dipakai oleh wanita yang kematian suami, maka ia dibenarkan.
"Bahkan, warna hitam adalah yang lebih baik bagi wanita yang sedang dalam idah atau ihdad (berkabung) kerana dalam tempoh tersebut, mereka dilarang untuk memakai pakaian yang mempunyai ciri-ciri perhiasan," katanya.
Ia sebagaimana dijelaskan oleh Imam An-Nawawi:
"Jika warna tersebut bukan digunakan untuk berhias melainkan digunakan kerana ditimpa musibah atau mengelakkan baju daripada kotor seperti warna hitam atau biru gelap, maka wanita (yang berada dalam tempoh berkabung) boleh memakainya, bahkan warna itu ialah warna yang terbaik ketika sedang berkabung.
"Oleh itu, hukum memakai pakaian warna hitam ketika majlis pengebumian adalah harus," katanya.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!