"Dia Bukan Tahu Apa Pun. Betulkan Hidup Dia Dulu" - Peringatan Dira Buat Fathia Latiff
"Tak payah sibuk hal kerajaan" - Dira Abu Zahar
Rasanya sudah ramai perasan sejak akhir-akhir ini, Fathia Latif kelihatan sering meluahkan pandangannya terhadap isu politik Malaysia di laman Twitter
Melalui siri tweet yang dimuatnaiknya, Fathia seolah-olah meluahkan rasa ketidakpuasan hatinya sebagai seorang rakyat terhadap isu ekonomi dan politik yang sedang berlaku di negara ini.
Seperti biasa, sesetengah netizen bersetuju dengan pendapatnya dan sesetengah lagi tidak. Ramai juga yang mengecam Fathia Latiff berdasarkan tweet-tweet yang dikeluarkannya.
Dan baru-baru ini, sewaktu Perhimpunan Agung UMNO 2017, (PAU2017) pelakon tanah air Dira Abu Zahar melalui ucapannya telah menyelar tindakan Fathia Latiff
Dira atau nama sebenarnya Khaidhirah Abu Zahar berkata, pemerhatian dan ulasan Fathia melalui media sosial selama ini disifatkan sia-sia semata-mata.
Dalam laporan Astro Awani, Exco Puteri UMNO Tangga Batu itu juga berkata, kerajaan tidak pernah meminggirkan kebajikan rakyat melalui pelbagai bantuan yang diberikan selama ini.
Video ucapan Dira itu juga telah tersebar luas di laman Facebook sejak dimuatnaik semalam oleh Metafora TV
Ini adalah antara kenyataan yang dikeluarkan Dira sewaktu ucapannya.
"Kenapa hendak percaya kepada dakyah-dakyah ringan seperti Fathia Latiff. Tidak perlu. Dia bukan tahu apa pun. Kalau betul hendak cerita pasal rakyat turun padang macam Puteri UMNO.
"Setakat pegang telefon bimbit dan tekan-tekan dia boleh duduk diam-diam. Betulkan hidup dia dulu, betulkan lakonan dia dulu, tidak payah sibuk hal kerajaan."
Selepas video itu viral, Fathia nampaknya memberi jawapan balas di Twitter.
Dia mengatakan dia mempunyai hak untuk berkata tentang sesuatu.
Namun, di Twitter, Tun Dr Mahathir Mohamad ada mengeluarkan tweet yang mengatakan beliau sangat kagum dengan keberanian Fathia Latiff
Fathia membalas pujian tersebut dengan mengatakan dia lebih kagum dengan Tun Mahathir dan sedih dengan sesetengah orang yang tidak menghargai jasanya.