Bunting Pelamin: Mengapa Usia Kandungan Lebih Lama Berbanding Usia Perkahwinan?
Ilmu kena ada dulu, jangan main tuduh-tuduh ya!
Ramai yang sudah sedia maklum maksud terma 'bunting pelamin' itu. Ia berlaku apabila si isteri hamil sejurus selepas berlangsungnya pernikahan.
Namun begitu, terdapat lagi segelintir daripada masyarakat yang memandang serong pada terma 'bunting pelamin' dimana mereka beranggapan pengantin perempuan ataupun pasangan suami isteri terbabit telah melakukan persetubuhan sebelum bernikah.
Sebagai masyarakat yang berwibawa dan berilmu, adalah penting bagi kita untuk faham terlebih dahulu konsep usia janin dalam kandungan sebelum menyebarkan sebarang fitnah secara serkap jarang.
Perkiraan usia kehamilan diambil daripada tarikh hari pertama haid yang baru berakhir ataupun last menstrual period (LMP)
Sebagai contoh:
Tarikh hari pertama haid (LMP) isteri :14 Januari 2018
Tarikh bernikah : 28 Januari 2018
Tarikh berjumpa doktor : 28 Februari 2018
Kiraan usia kehamilan : 14 Januari 2018 – 28 Februari 2018 = 6 minggu
Jika diambil perkiraan ini, maka usia kehamilan lebih lama daripada usia pernikahan.
Selalunya, di Klinik Keluarga Dan Pakar Wanita, mereka akan gunakan alat pengiraan seperti di atas untuk membuat pengiraan tarikh LMP, usia kehamilan, dan tarikh bersalin.
Oleh yang demikian, adalah penting bagi kita untuk mengetahui cara pengiraan usia kehamilan ini bagi mengelakkan sebarang salah faham daripada berlaku
Perlu ingat bahawa usia janin dalam kandungan BUKAN dikira dari masa terakhir ‘bersama’ tetapi dikira dari hari PERTAMA datangnya period yang terakhir.
Ini juga akan menjadi soalan pertama yang ditanya oleh pakar sakit puan, iaitu, "Bila hari pertama period terakhir?"
Dan bukan, "Bila last anda 'bersama' suami?"