Bunyi Ketukan Di Alor Setar, Polis Nasihat & Minta Orang Ramai Jangan Panik
Terdapat penduduk mendakwa terdengar bunyi ketukan kuat pada pintu atau pagar rumah masing-masing pada waktu malam.
Cover image via Kosmo!Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Polis sedang menyiasat dakwaan bunyi ketukan kuat yang didakwa berlaku di beberapa rumah di kawasan Langgar, Alor Setar, Kedah selepas perkara itu tular di media sosial
Menurut laporan Kosmo!, Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Syed Basri Syed Ali berkata, polis sudah mengetahui dakwaan berkenaan namun setakat ini belum menerima laporan rasmi daripada penduduk terlibat.
"Sehingga kini, pihak polis belum menerima sebarang laporan polis rasmi daripada mana-mana pihak. Pihak polis juga masih menjalankan siasatan bagi mengetahui punca kejadian," katanya.
Menurut beliau, terdapat penduduk mendakwa terdengar bunyi ketukan kuat pada pintu atau pagar rumah masing-masing pada waktu malam.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan
"Orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak membuka pintu atau pagar sesuka hati apabila terdengar ketukan, khususnya sekiranya identiti individu di luar rumah tidak dapat dikenal pasti.
"Sekiranya terdapat aktiviti mencurigakan atau kelibat individu tidak dikenali, orang ramai diminta supaya tidak mengambil tindakan sendiri, sebaliknya mengutamakan keselamatan diri dan keluarga serta segera menghubungi balai polis berhampiran," ujarnya.
Polis turut meningkatkan rondaan dan pemantauan di sekitar Langgar serta kawasan berhampiran bagi memastikan keselamatan penduduk terjamin.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu polis dalam siasatan.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!


