Cerita Sisi Lain Malaysia, Ini 5 Video Patriotik Wajib Tonton 2026
Sarat dengan kisah integriti, pengorbanan dan jiwa rakyat Malaysia yang sebenar.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Setiap kali bulan Kebangsaan tiba, media sosial kita pasti dipenuhi dengan pelbagai iklan dan filem pendek bertemakan patriotik
Namun tahun ini, banyak karya memilih untuk bercerita tentang sesuatu yang lebih dekat dengan perjalanan hidup. Bukan sekadar tentang 'kita' sebagai sebuah bangsa, tetapi juga tentang keluarga, pengorbanan, nilai kemanusiaan dan momen kecil yang sering mewarnai kehidupan seharian.
Selari dengan tema Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati, kisah-kisah yang diketengahkan tidak hanya mahu membangkitkan rasa bangga sebagai rakyat Malaysia.
Sebaliknya, setiap karya membawa mesej tersendiri. Ada yang mengingatkan kita tentang pentingnya kejujuran, ada yang mengajak kita menghargai keluarga dan ada juga yang menunjukkan bagaimana perkara kecil mampu mencerminkan nilai serta semangat masyarakat kita.
Kalau anda tengah cari tontonan yang bukan sahaja menghiburkan, tetapi turut meninggalkan kesan pada jiwa sempena Hari Kebangsaan tahun ini, berikut 5 karya yang boleh masuk dalam watchlist anda:
1. Tin Sardin – Indah Water Konsortium (IWK)
iinspirasikan daripada kisah benar keluarga anggota polis yang terkorban dalam tragedi Kampung Tawas pada 1970, Tin Sardin membawa penonton kembali ke kehidupan sebuah keluarga yang serba kekurangan.
Cerita bermula apabila seorang anak membawa pulang tin sardin yang ditemuinya di jalan untuk meraikan hari ulang tahun ibunya. Walaupun hidup dalam kesempitan, si ibu memilih untuk memulangkan barangan tersebut kerana percaya rezeki yang baik mestilah datang daripada sumber yang halal dan jujur.
Lebih menyentuh hati, keputusan itu dibuat kerana dia mahu memegang prinsip yang pernah dipesan oleh arwah suaminya. Dengan latar suasana Malaysia pada era 1970-an serta lakonan yang bersahaja, filem pendek ini mengingatkan kita bahawa nilai integriti kadangkala paling jelas terlihat ketika hidup sedang menguji kita.
2. Jangan Kau Kata – PETRONAS
Kalau anda sukakan karya yang sarat dengan visual dan bahasa puitis, Jangan Kau Kata mungkin antara yang patut ditonton.
Mengangkat puisi hasil karya Sasterawan Negara, Prof. Emeritus Dr. Muhammad Salleh, filem pendek PETRONAS ini membawa penonton menyelami kepelbagaian identiti serta warisan yang membentuk Malaysia.
Daripada songket dan wayang kulit kepada kehidupan masyarakat yang saling membantu, setiap babak memperlihatkan sisi Malaysia yang jauh lebih luas daripada apa yang sering kita lihat.
Dalam kesibukan mengejar kehidupan, karya ini mengingatkan bahawa kekayaan sesebuah negara bukan hanya diukur melalui kemajuan dan kemewahan. Sebaliknya, ia turut terletak pada nilai ihsan, empati dan cara kita melayan satu sama lain.
3. Cerita Mereka, Jiwa Malaysia – BSN
Bagi yang suka kisah inspirasi, Cerita Mereka, Jiwa Malaysia menampilkan perjalanan 69 usahawan mikro tempatan sempena Hari Kebangsaan ke-69.
Setiap seorang mempunyai cerita berbeza, tetapi semuanya berkongsi satu perkara yang sama iaitu keberanian untuk membina kehidupan melalui usaha sendiri. Daripada kraftangan kepada perniagaan kecil, filem pendek ini memperlihatkan bagaimana impian besar boleh bermula daripada sesuatu yang sederhana.
Kemunculan Datuk M. Nasir turut memberikan sentuhan nostalgia kepada penceritaan, menjadikan keseluruhan video ini terasa lebih dekat dengan jiwa rakyat Malaysia.
Pada akhirnya, ia bukan sekadar tentang perniagaan atau kejayaan. Ia tentang perjalanan orang biasa yang terus melangkah walaupun berdepan pelbagai cabaran.
4. Nadi Inspirasi Kami – CelcomDigi
Apa sebenarnya yang menjadikan Malaysia sebuah negara yang istimewa?
Persoalan itu menjadi titik mula kepada Nadi Inspirasi Kami, filem pendek CelcomDigi yang diinspirasikan daripada 34 juta kisah rakyat Malaysia.
Daripada individu yang membantu tanpa mengharapkan balasan hinggalah pertolongan yang hadir ketika paling diperlukan, karya ini mengumpulkan momen-momen kecil yang mungkin sering kita anggap biasa.
Namun, perkara kecil itulah yang sebenarnya mencerminkan sikap masyarakat kita. Ada empati. Ada rasa prihatin. Ada kesanggupan untuk membantu walaupun kepada orang yang tidak dikenali. Dan mungkin itulah antara perkara paling indah tentang Malaysia di mana kita masih mempunyai ruang untuk saling menjaga.
5. Pulang – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ)
Selepas seharian bekerja, ada satu perkara yang paling kita nantikan iaitu sampai ke rumah dengan selamat. Itulah yang cuba disampaikan menerusi Pulang, filem pendek daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Kisahnya mengikuti Dani yang pulang lewat selepas sibuk bekerja, sementara ibunya masih setia menunggu di rumah dengan hidangan makan malam.
Walaupun nampak seperti cerita keluarga yang sederhana, karya ini membawa peringatan yang cukup penting tentang keselamatan jalan raya dan kepatuhan terhadap undang-undang. Kerana akhirnya, tiada apa yang lebih penting daripada dapat kembali kepada insan tersayang.
Apa yang pasti, kebebasan bukan sekadar tentang ke mana kita boleh pergi, tetapi tentang memastikan kita selamat untuk pulang. Lima karya ini membuktikan bahawa semangat patriotisme tidak semestinya perlu ditonjolkan menerusi kibaran Jalur Gemilang atau perbarisan besar-besaran.
Kadangkala, semangat itu hadir melalui kejujuran, pengorbanan keluarga, usaha mencari rezeki, saling membantu dalam memastikan orang tersayang selamat.
Selamat menyambut Hari Kebangsaan Ke-69 & Hari Malaysia 2026!
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!

