Cikgu Hafizu Guna AI Kekalkan Warisan Temiar, Raih Anugerah RISE Educator Award

Usaha Cikgu Muhammad Hafizu menggabungkan AI, STEM dan warisan Temiar dalam pembelajaran melayakkan dirinya sebagai penerima RISE Educator Award 2026.

Enlarge text
Cover Image

Follow kami di WhatsApp ChannelsTelegramInstagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.

Artikel ini ditaja oleh Taylor's College

Teknologi dan warisan mungkin kedengaran seperti dua perkara yang bertentangan

Namun, bagi seorang guru di Kelantan, kedua-duanya boleh digunakan bersama untuk membantu murid belajar dan pada masa sama mengenali identiti sendiri.

Cikgu Muhammad Hafizu Aiman Jusoh dari SK Pulat, Kelantan dinobatkan sebagai penerima RISE Educator Award 2026 atas usaha beliau memperkasa pendidikan murid Orang Asli Temiar menerusi pendekatan yang menggabungkan teknologi dan budaya.

Beliau menerima RM5,000, manakala SK Pulat turut menerima geran RM50,000 untuk pembangunan inisiatif sekolah.

Pendidikan dalam komuniti yang sedang berubah

Cikgu Hafizu berdepan cabaran yang bukan sekadar berkaitan pembelajaran di dalam kelas.

Komuniti Orang Asli Temiar di Pos Pulat kini melalui perubahan besar susulan penempatan semula berkaitan projek Empangan Nenggiri.

Dalam keadaan tersebut, beliau mahu memastikan murid tetap mempunyai ruang untuk belajar, membina kemahiran dan mengejar impian tanpa kehilangan hubungan dengan warisan mereka.

Menerusi Rumah Belajar Tanpa Loceng, beliau memperkenalkan pembelajaran kendiri yang memberi lebih kebebasan kepada murid untuk meneroka ilmu.

Pendekatan itu turut menggabungkan AI, STEM dan kemahiran digital dengan bahasa serta budaya Temiar.

Antara projek yang dibangunkan termasuk Kampung AI dan Digital, Kamus Digital Temiar serta AI Storybook Mathematics.

Murid juga diberi peluang meneroka teknologi seperti pencetakan 3D menerusi aktiviti pembelajaran secara hands-on.

Usaha tersebut bukan sahaja memberi pengalaman baharu kepada murid, malah membantu mereka menyertai aktiviti catur dan STEM di peringkat daerah.

Inisiatif pembelajaran SK Pulat turut pernah diketengahkan di Kerian EduTech 2026 dan dikongsi dalam program pendidikan di Thailand.

"Pendidikan mesti terus berjalan dan peluang mesti terus dibuka" – Cikgu Hafizu

Bagi Cikgu Hafizu, perubahan yang berlaku kepada komuniti tidak sepatutnya mengubah peluang yang dimiliki anak-anak mereka.

"Pendidikan mesti terus berjalan dan peluang mesti terus dibuka." ujar Cikgu Hafizu.

Beliau menyifatkan pengiktirafan yang diterima sebagai penghargaan kepada murid-murid, keluarga dan komuniti yang terus percaya bahawa pembelajaran boleh diteruskan walaupun berdepan cabaran.

Cikgu Hafizu dipilih daripada lima finalis RISE Educator Award 2026.

Empat lagi finalis ialah Dr Zul Faizuddin Osman dari SK Sungai Rual, Kelantan; Cikgu Mohamad Safuan Rozak dari SK Desa Jaya, Pahang; Cikgu Teh Zhen Kiat dari SJK(C) Sungai Buloh, Selangor; dan Cikgu Veronica Francis dari SMK St. Bernadette's Convent, Perak.

Setiap finalis menerima RM1,000, manakala sekolah masing-masing menerima RM10,000 untuk menyokong pembangunan pembelajaran.

Cikgu Veronica turut mencipta sejarah sebagai finalis wanita pertama sejak anugerah tersebut diperkenalkan.

RISE Educator Award merupakan inisiatif Taylor's College yang diperkenalkan pada 2021 bagi mengiktiraf guru yang membawa impak kepada murid, sekolah dan komuniti.

Menurut Josephine Tan, Pengarah Kampus Taylor's College, usaha Cikgu Hafizu menonjol kerana beliau bukan sahaja menggunakan teknologi untuk menyokong pembelajaran, tetapi turut menjadikannya sebagai cara untuk memelihara bahasa dan warisan Temiar.

Katanya, pendekatan kelima-lima finalis RISE Educator Award 2026 menunjukkan bagaimana guru boleh memainkan peranan lebih luas dalam memenuhi keperluan murid dan komuniti masing-masing.

Daripada kisah Cikgu Hafizu, jelas bahawa teknologi tidak semestinya menjauhkan generasi muda daripada akar budaya mereka.

Sebaliknya, jika digunakan dengan cara yang betul, AI juga boleh menjadi salah satu cara untuk memastikan warisan terus dikenali oleh generasi akan datang.

Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!

Image via SAYS Seismik
Read more trending stories on SAYS