Daripada Impian Ke UCL Hingga Jadi Analis PNB, Ini Kisah Inspirasi Adiba Azman
Pernah rasa lost di UCL dan bekerja sambilan sebagai pelayan poké bowl di London, Adiba Azman kini kembali berbakti sebagai Analis Ekuiti di PNB

Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
"Kalau kamu rajin berusaha, pasti akan ada peluang yang terbuka untuk kamu sambung pelajaran, sehinggalah ke luar negara."
Pesan ringkas daripada seorang ibu ini menjadi azimat buat Adiba binti Mohamed Azman sejak kecil lagi.
Berasal dari Kuala Lumpur, gadis berusia 24 tahun ini sentiasa memasang impian besar untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara walaupun pada ketika itu, Adiba sendiri tidak pasti bagaimana caranya.
Bersempena dengan Ulang Tahun Ke-30 Program Biasiswa Permodalan Nasional Berhad (PNB), kisah Adiba membuktikan bahawa tiada impian yang terlalu besar jika disertakan dengan keberanian untuk melangkah keluar dari zon selesa.
Daripada impian menjadi realiti hasil biasiswa PNB

Peluang emas tiba apabila Adiba terpilih menerima Biasiswa PNB bagi intake tahun 2020.
Penajaan ini bukan sahaja memberi bantuan kewangan untuk Adiba melanjutkan pengajian dalam bidang Ekonomi di University College London (UCL), malah menjadi pemangkin keyakinan buat dirinya.
"Biasiswa ini bukan sekadar menaja pendidikan saya, tetapi ia memberi saya keyakinan untuk bermimpi lebih besar daripada apa yang saya bayangkan," kongsi Adiba.
Bukan sekadar mengejar ijazah, Adiba pernah menjadi guru sukarelawan buat kanak-kanak imigran di London

Menuntut ilmu di salah sebuah universiti terkemuka dunia sememangnya sebuah pencapaian membanggakan. Walau bagaimanapun, pengalaman di luar bilik kuliah yang paling banyak membentuk peribadi Adiba.
Setibanya di London, Adiba akui berdepan rasa sunyi dan terasing di kota asing.
Tidak mahu sekadar mendiamkan diri, Adiba memilih untuk berbakti kepada masyarakat. Selama hampir dua tahun, Adiba pernah menjadi guru sukarelawan Bahasa Inggeris bagi kanak-kanak imigran di London.
"Ia bermula sebagai cara untuk saya mengurangkan rasa sunyi di kota asing. Namun, ia bertukar menjadi antara pengalaman paling bermakna sepanjang di universiti!
Pengalaman ini memberi saya rasa tujuan, membuatkan saya rasa seperti sebahagian daripada komuniti di sana, dan memberi saya peluang untuk mengenali penduduk tempatan dari pelbagai latar belakang."
Sepanjang tempoh belajarnya, Adiba turut mengambil pelbagai peluang pekerjaan sampingan lain seperti tutor matematik, pembantu penyelidik di universiti, intern pengurusan risiko, serta bekerja sebagai pelayan sambilan di beberapa buah restoran!
Walaupun tanpa gelaran jawatan yang megah, setiap pengalaman itu mengajar nilai kerendahan hati dan membawanya mengenali pelbagai lapisan masyarakat.
"Saya belajar untuk percaya pada diri"

Membina kehidupan baharu di tempat orang bukannya mudah. Adiba akui pernah berada di fasa tertekan dan berasa kerdil apabila dikelilingi oleh rakan-rakan kuliah yang sangat bijak.
"Saya ingat lagi saya pernah duduk dalam dewan kuliah dan rasa macam saya seorang yang tak faham serta ketinggalan. Orang di sekeliling saya pula nampak macam jauh lebih cepat memahami apa yang diajar."
Namun, Adiba tidak membiarkan rasa ragu-ragu menguasai diri. Beliau mula bertindak rasional dengan rajin bertanya kepada pensyarah, belajar daripada rakan-rakan, dan menyelesaikan masalah secara berperingkat.
Daripada pengalaman itu, Adiba mempelajari satu perkara penting iaitu keyakinan bukannya bermaksud kita sentiasa tahu semua jawapan, tetapi percaya bahawa kita akan sentiasa menemui jalan keluar walaupun dalam ketidakpastian.
Kembali menyumbang semula untuk PNB dan rakyat Malaysia

Selepas menamatkan pengajiannya pada tahun 2025, Adiba mengambil keputusan untuk kembali ke tanah air dan berkhidmat bersama PNB sebagai Analis Ekuiti di Jabatan Penyelidikan Pelaburan.

Bagi Adiba, keputusannya untuk kembali ke PNB adalah satu perjalanan yang lengkap untuk menyumbang semula kepada PNB dan masyarakat.
Beliau berpeluang menyumbang tenaga dalam organisasi yang memainkan peranan penting mencipta nilai jangka panjang untuk rakyat Malaysia.
"Do things that scare you!" – Mesej Adiba buat anak muda Malaysia

Apabila diminta memberikan nasihat kepada generasi muda yang mahu mengejar impian, Adiba menekankan kepentingan mencabar diri sendiri:
"Lakukan perkara yang menakutkan anda. Selalunya, peluang yang paling membantu kita berkembang adalah peluang yang membuatkan kita rasa sedikit cemas atau tidak selesa.
Namun saya percaya, setiap kali kita berjaya menghadapi sesuatu yang sukar, kita sebenarnya sedang menanam sedikit lagi keyakinan dalam diri kita.
Lama-kelamaan, keyakinan itu akan berkembang menjadi 'superpower' tersendiri, iaitu satu kepercayaan mendalam bahawa, walau apa pun cabaran yang mendatang, kita sentiasa mampu mencapai lebih daripada apa yang kita sangkakan."
Kisah Adiba Azman adalah bukti nyata bagaimana pelaburan dalam pendidikan bukan sahaja mampu mengubah kehidupan seorang individu, malah memberi impak positif kembali kepada masyarakat dan negara.
Menjangkau usia tiga dekad penubuhannya tahun ini, Program Biasiswa PNB telah berjalan jauh sejak bermula dengan hanya 10 pelajar perintis pada tahun 1996.
Kini, dengan lebih 6,500 penerima biasiswa merentas pelbagai bidang pengajian, PNB terus membuktikan tiada pelaburan yang lebih bernilai selain membina modal insan demi kesejahteraan rakyat Malaysia.
Selamat Ulang Tahun Ke-30 Program Biasiswa PNB!
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!

