seismik

“Kami Ni Nak Kejar KPI Sajakah?” - Pakar Jawab Tuduhan NGO Terhadap Kes ‘Dentist’ Palsu

Yang salah tetap salah.

Cover image via SAYS via NST

Kecoh baru-baru ini mengenai seorang graduan Kolej Vokasional yang dipenjara selama 6 hari kerana gagal membayar denda RM70,000 selepas mengaku bersalah menjalankan perusahaan pergigian tanpa lesen, Januari lalu

Nur Farahanis Ezatty Adli, 20, didakwa menyediakan klinik pergigian swasta tanpa didaftarkan mengikut Seksyen 27 Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 (Akta 586) di Bakti Homestay, Jalan Bukit Katil, 25 Januari lalu.

Bagaimanapun, beliau telah dibebaskan Jumaat lepas setelah Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dan Persatuan Penggiat Ekonomi Malaysia (PPEM) memutuskan untuk mengutip derma bagi membayar denda tersebut selepas membaca mengenai kes Nur Farahanis di media.

Image via NST

Ketua aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan sewaktu dihubungi NST sebelum ini berkata, Nur Farahanis atau lebih dikenali sebagai Nara merupakan seorang gadis bijak yang hanya membantu memperbetulkan pendakap gigi rakan-rakan berdasarkan video yang dipelajarinya di YouTube

"Kami rasa kami perlu bantu dia dan kami juga percaya kami ada beberapa alasan baik untuk membantunya.

"Saya tidak mengatakan denda yang dikenakan terhadapnya adalah tidak adil. Kami rasa kami perlu membantu seseorang yang mahu keluar daripada kemiskinan dan cabaran kehidupan", katanya.

Tambahnya lagi, Nur Farahanis tidak mahu mengaku bersalah tetapi dia berbuat demikian kerana menyangka denda yang dikenakan akan lebih rendah.

Setelah dibebaskan, Nara telah memuat naik sebuah video di laman sosial yang mengatakan dia berterima kasih terhadap mereka yang cuba menjatuhkannya. Dia kini lebih dikenali, berjaya dan kaya katanya.

Namun, ternyata video tersebut telah menaikkan kemarahan netizen. Netizen menganggap dia tidak perlu dibebaskan dan sepatutnya belajar dari kesilapan dan bukan bermegah-megah.

Image via Zaim Abdul Aziz

Video tersebut telah dimuat naik olehnya di Instagram. Dalam post tersebut, pada ruang caption, dia mengucapkan terima kasih kepada ramai pihak termasuk Timbalan Menteri Kesihatan Malaysia, Dato' Seri Dr. Hilmi Bin Haji Yahaya,

Ucapan terima kasih terhadap Timbalan Menteri Kesihatan Malaysia tersebut telah diragui dan orang ramai mula mempertikaikan mengapa Dato' Seri Dr. Hilmi terlibat sama.

Namun, Pejabat Timbalan Menteri Kesihatan menidakkan dakwaan tersebut melalui satu kenyataan akhbar.

Selain itu, sebuah video berdurasi 14 minit 8 saat yang menunjukkan seorang wakil NGO bercerita panjang lebar mengenai kes tersebut juga tersebar luas di media sosial

Dalam video tersebut, seorang lelaki yang dipercayai dari pihak NGO, Team Dragon telah menempelak para doktor dan pihak-pihak yang dikatakan cuba menjatuhkan Nur Farahanis. 

Video diambil selepas sahaja Nur Farahanis dibebaskan di penjara Sg Udang, Melaka.

Satu gagasan yang dianggotai oleh anggota perubatan bertauliah yang cukup dikenali di Facebook iaitu Medical Mythbusters Malaysia telah membuat satu post di laman itu agi menjawab tuduhan tersebut

TUJUAN AKTA 586? KAMI INI NAK MENGEJAR KPI SAHAJAKAH?

Heboh baru-baru ini apabila sebuah persatuan NGO membantu seorang wanita membayar denda yang di jatuhkan atas hukuman akta 586 (Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta).

Majoriti kami pengamal kesihatan terkejut dengan tindakan tersebut, rata-rata sedih apabila usaha kami untuk terus memberi perkhidmatan yang sempurna dan melindungi nyawa dan kesihatan masyarakat tiba-tiba dianggap tidak penting. Tambah menyedihkan apabila mengatakan tujuan penguatkuasaan akta berkaitan dengan kesihatan adalah semata-mata untuk mengejar KPI. Semacam kementerian kami ini ada kuota, berapa banyak kes yang kami perlu cari untuk di dakwa setiap tahun.

Kita perlu tahu tujuan asal akta 586 dikuat kuasakan. Tatkala, negara kita membuka pintu untuk klinik-klinik dan hospital swasta beroperasi di negara ini, kita melihat premis-premis ini muncul dengan begitu banyak sekali ibarat cendawan tumbuh selepas hujan. Maka Akta 586 ini dikuatkuasakan supaya masyarakat Malaysia dilindungi daripada kegiatan kesihatan dan perubatan haram.

Bayangkan kalau akta ini tidak ada. Satu hari ketika anda sedang berjalan, tiba-tiba anda sakit perut. Anda ternampak ada sebuah hospital dalam deretan kedai-kedai. Tidak anda ketahui, hospital tersebut tidak pun berdaftar. Anda berjumpa seseorang yang mengaku sebagai doktor. Terus dia katakan anda ada appendicitis. Tanpa sebarang pemeriksaan, setelah mendapatkan berpuluh ribu dari anda, anda terus di usung ke dewan pembedahan yang tidak ubah kelihatan seperti filem-filem seram yang anda lihat di pawagam. Malang tidak berbau, anda mati di atas meja pembedahan. Keluarga anda hendak melakukan siasatan untuk menuntut bela atas kematian anda. Tetapi doktor palsu itu lebih licik, dia terus lari ke luar negara dengan duit yang telah diperolehi. Tinggallah anda di liang lahad dan keluarga anda yang meratap pemergian anda.

facebook.com

Cerita tersebut mungkin keterlaluan. Namun kejadian ini tidak mustahil jika penguatkuasaan akta 586 tiada. Lebih daripada sekadar menghukum pesalah. Akta ini menetapkan bagaimana sesebuah fasiliti perubatan boleh ditubuhkan. Apa yang perlu ada, berapa keluasannya. Juga siapa yang boleh mengendalikannya, apa kelulusan yang mereka perlu ada. Tujuan akta ini adalah untuk MELINDUNGI KESIHATAN dan NYAWA rakyat Malaysia. Aktiviti perawatan bukanlah benda yang boleh dibuat main. Perkara ini melibatkan nyawa.

Malah penguatkuasaan akta 586 ini bukanlah perkara yang baru. Carian di internet sahaja telah memperlihatkan berpuluh-puluh kes yang telah diheret ke mahkhamah, didakwa dan dihukum. Melalui akta ini lah, kementerian kesihatan dapat menghalang daripada perkhidmatan ozon dari semakin berluasa, mendakwa klinik kecantikan haram, menghentikan operasi doktor-doktor dan doktor-doktor palsu daripada terus beroperasi. Bayangkan berapa nyawa yang dapat diselamatkan dengan akta ini sahaja. Malah denda 300 ribu ringgit dan hukuman penjara 6 tahun itu kelihatan sikit nilai berbanding berjuta-juta nyawa yang dipertaruhkan.

Penguatkuasaan akta ini perlu dihormati. Akta inilah harapan kita agar nyawa rakyat Malaysia terus dilindungi. Kalau pun kita ingin membantu tertuduh sekiranya denda diluar kemampuannya. Bantulah melalui proses guaman, ‘Appeal against quantum’. Saya percaya sekiranya tertuduh telah insaf, dia berhak diberikan peluang kedua. Namun, kesalahan tetap kesalahan janganlah kita menghantar satu mesej kepada masyarakat Malaysia seolah-olah kita tidak pernah serius melindungi nyawa.

Menghormati Kedaulatan Undang-undang
Dr Mohamad Fadli Khairie, MPH
Doktor Kesihatan Awam
Medical Mythbusters Malaysia

facebook.com

LIKE Facebook dan follow Twitter SAYS SEISMIK dan temui segala cerita mesti kongsi sekarang!

Sebelum perkara lebih buruk berlaku, lebih baik kita bendung awal-awal:

You may be interested in: