seismik

Dua Pemuda Malaysia Hilang Secara Misteri Di Jakarta Dan Tak Dapat Dikesan Sejak 30 Mac

Masih lagi tidak ditemui dan tidak menerima apa-apa berita sejak 7 hari lepas.

Cover image via Berita Harian

[TERKINI] Dua pemuda "hilang" di Jakarta kini dalam tahanan polis, disyaki bawa dadah

Menurut laporan Astro Awani, Kamarol Arifin dan rakannya, Mohd Shafa yang dilaporkan hilang sejak 30 Mac lalu, telah ditemui di dalam lokap balai polis di Jakarta. Mereka telah ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes dadah.

"Kami tidak tahu mengenai anak kami ditahan, polis pun tidak maklum apa-apa kepada saya," kata ibu kepada kedua-dua pemuda itu.

Pihak keluarga mereka akan ke Jakarta esok bagi mendapatkan maklumat berhubung perkara itu. Kedua-duanya ditahan oleh pihak berkuasa Indonesia di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, Jakarta setelah polis menemui beberapa biji pil yang dipercayai adalah dadah sintetik melalui pemeriksaan badan mereka.

Perkara itu disahkan Duta Besar Malaysia di Indonesia Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim yang menyatakan kedua-dua mereka kini berada dalam tahanan polis.

Beliau berkata kedua-dua rakyat Malaysia itu dapat dikesan setelah Atase Polis DiRaja Malaysia dan Atase Imigresen di Kedutaan Besar Malaysia menjalankan siasatan mengenai kehilangan mereka.

2 APRIL, 11.00PM: Dua orang sahabat ini dilaporkan dilihat kali terakhir ketika berlepas ke Jakarta menaiki pesawat AirAsia jam 2 petang, 30 Mac lepas dari KLIA2

Kamarol (kiri) dan Shafa.

Image via Berita Harian

Dua orang sahabat ini dikenali dengan nama Kamarol Arifin Mohamad Darus, 27 dan Mohd Shafa Ahmad, 29 tahun. Masing-masing bekerja sebagai penghantar surat dan juga sebagai juruteknik.

Keluarga kepada kedua-dua pemuda ini telah melaporkan kehilangan mereka apabila mereka berdua tidak muncul di KLIA2 pada hari sepatutnya mereka pulang ke sini pada 11 malam, 2 April lalu. Mereka juga telah dilaporkan tidak mendaftar masuk ke hotel yang ditempah.

Menurut laporan, Kamarol dan Shafa telah merancang ke Jakarta bersama 6 rakan lain namun kedua-dua mereka terpaksa berlepas 2 jam lebih awal daripada kumpulan itu kerana tiket habis semasa tempahan dibuat pada Februari lalu.

Walau bagaimanapun, 6 rakan mereka itu dilaporkan gagal mengesan Kamarol dan Shafa sepanjang berada di Jakarta setelah kedua-dua mereka turut gagal mendaftar di hotel tempat mereka menginap.

"Kamarol dan rakannya amat ceria sekali sebelum berlepas ke Jakarta, mereka tidak sabar untuk menjejakkan kaki ke sana untuk menonton konsert," kata ibunya, Hamidah.

Image via SvanaPaper

Menurut kakak kepada Kamarol Ariffin, Junaina, dua sahabat itu pergi ke Jakarta untuk menonton konsert Dj Armin Van Buuren di Jakarta International Expo yang diadakan pada sebelah malam, 31 Mac lalu.

"Pada hari pertama dia tiba di Jakarta (31 Mac), dia memang sudah tidak dapat dihubungi tetapi saya tidak syak apa-apa sebab dia berdua dan enam lagi rakannya tiba di Jakarta dua jam kemudian menaiki pesawat berasingan.

"Pada 2 April lalu, saya telah menunggu ketibaannya di KLIA2 sehingga 3 pagi, 3 April dan dia masih lagi tidak muncul, ketika itu baru saya sedar yang dia dan Mohd Shafa sudah hilang," kata Junaina.

Ibu kepada Kamarol berkata, sebelum ini anak lelakinya itu tidak pernah gagal memaklumkan keluarga di mana dia berada. Oleh sebab itu, Hamidah amat risau sekiranya sesuatu perkara yang buruk telah berlaku kepada anaknya.

“Sepatutnya anak saya dan kawannya balik dari Jakarta pada Ahad malam tapi tak balik-balik, ini yang membuatkan hati risau, mana tahu mereka ditimpa kesusahan sebab tak pernah berlaku macam ni,” katanya.

“Laporan sudah dibuat dan jika mereka tidak dapat dikesan juga, kami bercadang ke Jakarta bagi mencari mereka berdua,” kata Junaina lagi.

Darwina (kiri) dan Junaina.

Image via BERNAMA

Menurut kakak kepada Shafa, Darwina, beliau memberitahu bahawa laporan polis telah pun dibuat pada tengah hari 3 April di KLIA2. Ahli keluarga mangsa juga sudah memaklumkan perkara ini kepada Jabatan Imigresen di lapangan terbang dan juga Wisma Putra di Putrajaya.

Sementara itu, imigresen telah sahkan kepada keluarga mereka berdua bahawa mereka sudah pun tiba di Jakarta dan melepasi imigresen di sana.

"Saya turut menghubungi Golden Boutique Hotel di sana tetapi diberitahu mereka tidak mendaftar masuk walaupun sudah membuat pembayaran,” kata Darwina.

Kedua-dua mangsa juga tidak ditemui di tempat yang dijanjikan di hadapan lokasi konsert itu. Malah, rakan-rakan mangsa hanya menyedari kehilangan mangsa selepas Junaina memberitahu mereka pada 2 April.

Junaina berkata ahli keluarganya telah pun berbincang untuk memikirkan rancangan seterusnya untuk mencari kedua-dua mangsa yang hilang.

"Kami bercadang untuk ke sana minggu depan dan akan membuat laporan polis di sana supaya dapat mencari adik saya dan rakannya.

"Sesiapa saja yang ada nampak adik saya dan Mohd Shafa, mengenali atau nampak muka mereka di Jakarta, sila beritahu saya. Takut kalau mereka dirompak, tiada duit untuk pulang, pinjamkan telefon bimbit untuk hubungi kami di sini," ujar Junaina.

Dalam laporan terbaru, pasport Kamarol dikesan digunakan di CIQ Johor Bahru semalam. Namun begitu, identiti individu yang menggunakan pasport tersebut masih kekal misteri.

Manakala Shafa pula masih tidak memberi sebarang petunjuk sehingga kini.

“Petang semalam pihak kedutaan memaklumkan pasport Kamarol digunakan di CIQ Johor Bahru. Kami sekeluarga lega seketika kerana memikirkan Kamarol sudah balik tetapi sehingga hari ini, dia tidak muncul-muncul.

“Apa yang peliknya, hanya pasport Kamarol sahaja dikesan, status Shafa sehingga kini tidak diketahui. Apa yang paling membingungkan kami, kedua-duanya hilang tanpa sebarang berita,” kata Junaina.

LIKE Facebook dan follow Twitter SAYS SEISMIK dan temui segala cerita mesti kongsi sekarang!

Sebelum ini juga terdapat kes seorang pemuda terkandas di Ecuador selama hampir dua bulan. BACA SINI:

You may be interested in: