Dua Rakyat Malaysia Guna Alasan Pergi Umrah Untuk 'Join' ISIS
Bayangkan, ibadah umrah pun mereka boleh permainkan demi "jihad" bersama ISIS.
Polis mengesan dua individu yang disyaki menggunakan alasan hendak mengerjakan ibadah umrah sebelum menyertai kumpulan militan ISIS menerusi agensi umrah
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata mereka menggunakan agensi umrah bertujuan memudahkan pergerakan serta mengaburi pihak berkuasa.
"Setakat ini kami kesan dua kes yang mana mereka gunakan alasan untuk mengerjakan umrah tetapi hakikatnya untuk menyertai IS. Mereka ini pergi bukan untuk tujuan agama dan berjihad pun. Bayangkan, ibadah umrah pun mereka boleh permainkan," katanya.
Persoalannya, adakah agensi umrah itu ada apa-apa kaitan dengan penglibatan mereka dalam ISIS?
Khalid seterusnya berkata, polis setakat ini percaya agensi umrah berkenaan tidak mempunyai kaitan dengan penglibatan individu terbabit dalam IS. Menurutnya, perkara itu perlu diatasi secara holistik termasuk melalui aspek perundangan.
Beliau berkata polis mengenal pasti lebih 50 rakyat Malaysia yang berada di Syria menyertai IS manakala lebih 70 lagi ditahan termasuk mereka yang cuba meninggalkan negara ini dan yang telah kembali semula ke tanah air.
Timbalan Menteri Luar, Datuk Hamzah Zainuddin baru-baru ini mendedahkan terdapat individu yang merancang menyertai IS melalui ibadah umrah, dan maklumat itu diperoleh hasil perkongsian maklumat dengan negara-negara tertentu termasuk anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).
Sehubungan dengan itu, Malaysia akan bekerjasama dengan Interpol bagi mengesan bakal pengganas yang menggunakan agensi umrah dan berkemungkinan menggunakan laluan transit lain untuk ke Syria
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata ada dalam kalangan mereka menggunakan agensi umrah sebagai alasan untuk sampai ke Jeddah dan Madinah sebagai transit ke negara ketiga.
"Kita akan lihat dari segi 'manifests', tiket mereka itu tidak akan sampai ke Jeddah atau Madinah sahaja. Dalam 'manifests' itu dia mungkin akan pergi ke tempat lain kerana ada di kalangan bakal pengganas ini dia pergi ke negara yang ketiga, pergi ke Istanbul umpamanya lepas itu habis...kita tak tahu."
"Tetapi kita bekerjasama dengan Interpol dan maklumat ini kita peroleh sama ada selepas dia pergi ke Istanbul itu naik kenderaan darat atau menggunakan kenderaan lain untuk ke destinasi yang mereka sendiri tahu," katanya.
Selain itu, kerjasama juga akan dijalankan dengan agensi umrah bagi memantau jadual penerbangan setiap individu yang mengikuti perjalanan agensi umrah berkenaan
Ditanya sama ada agensi umrah berkenaan mempunyai kaitan dengan penglibatan individu terbabit dalam IS, beliau berkata: "Saya tidak yakin begitu kerana keutamaan mereka (agensi umrah) lain, bukan mahu melibatkan diri. Jangan tuduh mereka... kasihan."
Katanya, beliau percaya bilangan rakyat tempatan terlibat dengan kumpulan militan IS di Syria dan Iraq lebih ramai berbanding jumlah yang direkodkan ketika ini iaitu 61 orang.