ECRL Rekrut Bekas Kru Kabin Penerbangan, Bawa Hospitaliti Malaysia Dalam Tren
Perkhidmatan kereta api itu dijadualkan mula beroperasi pada 12 Disember.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang dinanti-nantikan bakal membawakan sentuhan layanan mesra dalam perkhidmatan kereta apinya, dengan bekas kru kabin syarikat penerbangan turut menganggotai tenaga kerja bagi memastikan penumpang menerima perkhidmatan berkualiti sepanjang perjalanan
Menerusi laporan Bernama, ECRL dijadualkan memulakan operasi pada 12 Disember, menghubungkan Gombak di Selangor dengan Kota Bharu di Kelantan dalam tempoh hanya empat jam.
Perkhidmatan rel baharu ini dijangka menawarkan cara yang lebih pantas dan selesa bagi penduduk pantai timur yang bekerja di Lembah Klang untuk pulang ke kampung halaman.
Perjalanan tersebut biasanya mengambil masa sekitar tujuh hingga lapan jam jika menggunakan kereta.


ECRL akan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan bagi menjadikan perjalanan jarak jauh lebih selesa untuk para penumpang
Dalam satu lawatan media baru-baru ini, ECRL telah mempamerkan sebahagian daripada kemudahan yang disediakan di dalam tren.
Gerabak kelas ekonomi menampilkan susunan tempat duduk two-plus-three, manakala kelas perniagaan menawarkan susunan two-plus-two. Setiap tempat duduk turut dilengkapi dengan kemudahan pengecasan, termasuk port USB, USB-C dan soket kuasa tiga pin.
Para penumpang juga akan mendapat akses WiFi sepanjang perjalanan, sementara tren ini dijangka bergerak pada kelajuan antara 150 km/j hingga 160 km/j.


Selain kemudahan di dalam tren, ECRL turut menitikberatkan perkhidmatan penumpang, dengan ramai kru yang diambil daripada industri penerbangan
Menurut Malay Mail, salah seorang daripadanya ialah H Thinagaran, yang menyatakan bahawa peralihan ini terasa tidak asing baginya, memandangkan banyak tugas yang dilakukan, daripada menghidangkan makanan hingga menyediakan minuman, adalah serupa dengan tugasan dalam penerbangan.
Sebagai antara kru terawal yang berkhidmat di ECRL, beliau turut meluahkan rasa bangga kerana dapat membantu menetapkan piawaian perkhidmatan bagi perkhidmatan kereta api baharu ini.
"Bagi saya, ia umpama kembali menempuh pengalaman yang sama, dengan seragam dan perkhidmatan yang diberikan, boleh dikatakan ini adalah satu bentuk layanan mesra Malaysia," ujarnya.
Bagi menyerlahkan lagi sentuhan Malaysia, seragam kru tersebut turut menampilkan corak yang diinspirasikan daripada songket serta motif bunga-bungaan batik.

Tambang sehala bagi ECRL bermula daripada RM60 untuk perjalanan antara Gombak dan Kuantan
Penumpang yang menuju ke Kuala Terengganu akan dikenakan tambang sebanyak RM95, manakala perjalanan sehingga ke Kota Bharu pula berharga RM125.
Setakat ini, tiket masih belum mula dijual kepada orang ramai.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



Cover image via