seismik

[FAKTA] 1 Daripada 5 Kanak-Kanak Di Selangor Alami Malnutrisi Atau Pertumbuhan Terbantut

Difahamkan, perkara ini terjadi kerana sikap ibu bapa yang acuh tak acuh sahaja tentang tumbesaran anak-anak.

Cover image via Detik bali & Berita Harian

Follow kami di WhatsApp ChannelsTelegramInstagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.

Setiap kanak-kanak yang lahir mempunyai graf standard untuk mengukur tumbesaran mereka seperti berat, ketinggian, daya pemikiran, kebolehan dan lain-lain

Oleh itu, graf tersebut memberikan gambaran sama ada kanak-kanak membesar dengan baik atau sebaliknya.

Menerusi laporan Berita Harian, tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2022 melaporkan anggaran penduduk bantut bawah usia lima tahun adalah 498,327 orang atau 21.2 peratus bersamaan satu dalam lima kanak-kanak mengalami masalah ketinggian.

Malah menerusi data yang dikeluarkan itu, negeri Selangor telah mencatatkan populasi kanak-kanak terbantut paling tinggi berbanding negeri lain iaitu seramai 110,480 budak dan ia diikuti oleh Sabah dan Labuan dengan 69,627, Johor seramai 48,725 manakala Kedah mencatat 41,168.

Sikap acuh tak acuh ibu bapa menjadi punca utama kanak-kanak terbantut

Kenapa terjadinya kes kanak-kanak bantut, tidak mencapai ketinggian yang sepatutnya?

Perkara ini secara tidak langsung menimbulkan kebimbangan apabila terjadinya kanak-kanak bantut dan menerusi kajian dilakukan menunjukkan sikap tidak acuh ibu bapa menjadi punca utama kepada masalah tersebut.

Menurut pakar Perunding Pediatrik Endokrinologi, Pusat Perubatan Universiti Malaya, Prof Madya Dr Azriyanti Anuar Zaini, sebahagian besarnya ia berpunca keyakinan ibu bapa bahawa anak mereka akan tinggi kelak, selain menganggap isu ketinggian bukan satu masalah kritikal berikutan fizikal mereka sendiri rendah.

Isu ketinggian tidak dianggap sebagai satu masalah yang kritikal sebab ibu bapa juga rendah

Selain itu, masalah ketinggian ini juga tidak dianggap sebagai sesuatu yang kritikal dan perlu dibimbangkan memandangkan ibu bapa juga rendah.

"Sikap 'tidak apa, saya sendiri bukan tinggi sangat' membuatkan ramai tidak sedar perkembangan anak mereka tidak selari dengan usia hinggakan Hasil Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2022 mendedahkan kelaziman yang jauh lebih tinggi, berbanding kajian pada 2015 dan 2019.

"Kita mahu generasi masa hadapan lebih tinggi dari sekarang dan bukan semakin pendek.

"Ketinggian melambangkan status kesihatan seseorang, seterusnya status kesihatan negara secara umum," ujarnya.

Image via Detik bali

Penduduk yang mempunyai masalah bantut kerana tidak mempunyai kemudahan kesihatan yang baik seperti makanan dan persekitaran

Mengulas lanjut, Dr Azriyanti berkata, penduduk negara yang mengalami bantut dianggap tidak mempunyai kemudahan kesihatan yang baik, makanan tidak sihat dan persekitaran tidak memberangsangkan, sekali gus menjejaskan imej Malaysia sebagai negara sedang pesat membangun.

"Peningkatan prevalen kebantutan semakin merisaukan berbanding data 2019 dan 2015, membuktikan isu ini memang masalah serius.

"Seperti dilaporkan, data NHMS 2022 menunjukkan satu dalam lima kanak-kanak bawah usia lima tahun mengalami kebantutan.

"Peningkatan kadar bantut ini jelas menunjukkan isu ini walaupun sudah dimaklumkan dalam data negara, masih belum ditangani secara menyeluruh," katanya lagi.

Kekurangan nutrisi makanan punca kanak-kanak menjadi bantut

“Kebanyakan masalah terbantut dalam kalangan kanak-kanak, terutama bawah umur lima tahun disebabkan oleh kekurangan nutrisi dan zat.“Isu ini juga sangat berkait rapat dengan masalah tingkah laku dalam kalangan kanak-kanak ini seperti ‘isu picky eater’ atau masalah autisme," katanya.

Ibu bapa juga perlu pandai dalam menangani masalah pemakanan tak sihat serta tingkah laku anak terhadap pemakanan.

“Tidak dinafikan keadaan ibu bapa yang bekerja sepenuh masa antara faktor kanak-kanak tidak mendapat nutrisi sebaiknya, tetapi ramai juga kanak-kanak yang ibu bapa tidak bekerja mengalami masalah sama.

“Isu lebih penting di sini ialah pemahaman ibu bapa terhadap jenis makanan yang sesuai untuk diberikan kepada kanak-kanak sedang membesar," jelasnya lagi.

Ujarnya di dalam kajian Prof Grasgruber pada 2020 sehingga 2022 menunjukkan penduduk negara yang mengamalkan pemakanan yang banyak protein contohnya, ayam, daging serta ikan mempunyai ketinggian yang lebih berbanding mereka yang mengambil pemakanan ruji seperti beras dan gandum.

Jika di negara ini, makanan yang dimakan kanak-kanak lebih cenderung kepada nasi serta mi berbanding dengan sumber protein dari haiwan.

Bukan hanya itu pengambilan susu juga dilihat kurang berdasarkan laporan NHMS 2017 yang mencatat sebanyak 75%.

Antara faktor lain kepada masalah bantut adalah:

  • Tidak mempunyai tidur yang cukup antara sembilan hingga 11 jam sehari (bergantung kepada usia). Perkara ini adalah untuk memastikan hormon tumbesaran mereka dapat disalurkan dengan menyeluruh kepada badan semasa tidur.
  • Aktiviti senaman bergraviti yang kurang seperti melompat, berlari, berjalan dan juga badminton di mana ia dapat memberi stimulasi serta rangsangan di bahagian tulang.

Boleh beri kesan kepada emosi dan psikologi

Masalah bantut dialami kanak-kanak turut memberi cabaran kepada mereka, ujar pakar berkenaan masalah ini juga boleh memberi kesan kepada emosi serta psikologi mereka.

"Isu buli, tekanan rakan sebaya, perasan rendah diri boleh mendatangkan masalah psikologi seperti kemurungan serta bantut dalam kalangan dewasa boleh menyebabkan masalah memandu, melahirkan anak serta sukar mendapat pekerjaan.

“Jadi, ibu bapa perlu segera membawa anak berjumpa doktor jika anak terlalu pendek dibandingkan dengan adik beradik (pada umur sama) dan rakan sekolah.

“Sekiranya tidak pasti, jumpa doktor pakar seperti pakar pediatrik atau pediatrik endokrinologi kerana walaupun ibu bapa rendah, anak tidak semestinya terbantut. Buang sikap tidak mengapa dan lebih prihatin dengan masalah tumbesaran anak-anak,”
 katanya.

Ibu bapa perlu buang sikap acuh tak acuh terhadap perkara yang berkaitan masa depan anak-anak ya.

Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita ‘mesti kongsi’ sekarang!

Image via SAYS Seismik

Baca lagi artikel menarik di SAYS Seismik:

You may be interested in: