FINAS Berusaha Dapatkan Hak Karya P. Ramlee Untuk Tujuan Pemeliharaan

Sebahagian besar filem dan lagu P. Ramlee telah disimpan oleh Arkib Negara Malaysia sebagai rekod warisan negara.

Cover ImageCover image via Astro Awani & IMDb

Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.

Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) masih meneruskan rundingan dengan pemegang hak karya Allahyarham Tan Sri P. Ramlee bagi mendapatkan salinan karya seniman agung itu untuk tujuan pemeliharaan

Menurut laporan Kosmo!, Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, pihaknya telah menghubungi beberapa pemegang hak termasuk Shaw Brothers di Singapura yang memberikan maklum balas kepada FINAS pada bulan lalu.

"Rundingan ini masih diteruskan kerana antaranya juga ada permintaan daripada pemegang hak tersebut, kita juga baru terima maklum balas daripada Shaw Brothers, pejabat mereka di Singapura," katanya.

SAYS.com

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching

Image via Berita Harian

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Jamaludin Yahya (PN-Pasir Salak) yang ingin mengetahui sama ada kementerian telah menjalankan audit menyeluruh bagi mengenal pasti hak berkaitan karya P. Ramlee yang masih dimiliki pihak tertentu, termasuk jumlah bahan asal filem yang perlu segera direstorasi.

Menurut Teo, sekiranya FINAS berjaya memperoleh salinan karya berkenaan, pihaknya akan melakukan usaha terbaik bagi memastikan bahan tersebut dipelihara dengan baik.

Dalam pada itu, Teo berkata kerajaan ketika ini masih belum memiliki hak cipta ke atas filem P. Ramlee, namun karya seniman berkenaan tidak diabaikan dari aspek pemeliharaan

Katanya, sebahagian besar filem dan lagu P. Ramlee telah disimpan oleh Arkib Negara Malaysia sebagai rekod warisan negara.

Walau bagaimanapun, status pemilikan hak perlu diteliti bagi setiap karya berdasarkan rekod penerbitan, perjanjian dan dokumen berkaitan.

Kebanyakan filem P. Ramlee yang diterbitkan antara 1948 hingga 1964 dihasilkan oleh Malay Film Productions, studio milik Shaw Brothers di Singapura.

SAYS.com
Image via IMDb

Sementara itu, sebanyak 18 filem lagi dihasilkan di bawah Merdeka Film Productions di Kuala Lumpur antara 1964 hingga 1972.

"Sehubungan dengan itu, kementerian melalui FINAS akan terus meneliti mekanisme terbaik bagi memperoleh dan memanfaatkan karya beliau sebagai aset warisan negara termasuk melalui pemerolehan hak, pengurusan bersama atau bentuk kerjasama yang bersesuaian dengan pemegang hak," katanya.

Teo berkata, penelitian berkenaan turut mengambil kira aspek undang-undang, rundingan dengan pemilik hak, kepentingan waris serta kemampuan kewangan kerajaan

Langkah itu bagi memastikan sebarang tindakan berkaitan karya P. Ramlee dapat dilaksanakan secara sah, teratur dan adil kepada semua pihak.

Mengenai cadangan mewujudkan arkib digital P. Ramlee, Teo berkata FINAS sememangnya mempunyai usaha untuk mendigitalkan semua bahan yang berada dalam simpanannya.

"Jadi saya akan semak sama ada Finas dengan Arkib Negara Malaysia ada kerjasama untuk kita sama-sama mendigitalisasi semua karya Tan Sri P. Ramlee," katanya.

Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!

Image via SAYS Seismik
Read more trending stories on SAYS

You may be interested in: