Gabung Seni Warisan & Moden, Koleksi EMYALY x Noraniza Idris Pikat Peminat Fesyen Batik
Koleksi EMYALY x Noraniza Idris angkat keindahan fesyen kontemporari berasaskan batik Terengganu.
Cover image via @emyaly (Instagram)Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Kecintaan Ratu Irama Malaysia, Noraniza Idris pada warisan Melayu baik seni muzik mahupun busana tidak pernah pudar
Enggan modenisasi 'menelan' khazanah zaman-berzaman kali ini beliau berkolaborasi bersama jenama tempatan, EMYALY bagi mengetengahkan pesona batik Terengganu menerusi koleksi fesyen kontemporari.
Menerusi paduan EMYALY x Noraniza Idris, gabungan elemen tradisional dan moden diterjemahkan dalam empat rekaan eksklusif yang mengangkat tema Warisan, Seni dan Kemewahan.
Tidak hanya memfokuskan busana wanita, koleksi berkenaan turut memberi peluang kepada para jejaka tampil segak dan bergaya dalam persalinan motif batik berinspirasikan pakaian warisan Melayu yang diberi nafas baharu.
Antara rekaan diperkenalkan ialah Salam Kaut, busana klasik dengan sentuhan batik asli serta perincian poket hadapan ditawarkan pada harga RM489.

Turut melengkapkan koleksi ialah Sinara iaitu baju motif batik berpotongan moden dengan konsep klasik, longgar dan baggy pada harga RM280 hingga RM320 mengikut saiz.
Bagi penggemar gaya santai tetapi elegan, Dikir Puteri pula tampil dengan padanan baju dan seluar palazzo pada harga RM480.
Sementelah itu, Hati Kama merupakan kardigan batik versatil yang boleh dimiliki pada harga RM299.
Menariknya, EMYALY memberi penekanan terhadap penggunaan batik asli buatan tangan, khususnya batik Terengganu yang terkenal dengan kehalusan seni, kekayaan motif serta mutu pengerjaannya.
Setiap helaian batik membawa nilai seni dan warisan tersendiri, sekali gus menjadikannya lebih daripada sekadar pakaian
Bagi EMYALY, "Batik bukan sekadar corak. Batik ialah craftsmanship. Batik ialah warisan. Batik ialah jiwa," katanya.
EMYALY yang diasaskan oleh anak jati Terengganu, Emy Mohd. Ali turut menzahirkan komitmen untuk terus memartabatkan seni batik tempatan menerusi rekaan lebih segar, eksklusif dan relevan dengan gaya hidup masa kini.
"EMYALY tidak mengejar trend. Kami mengangkat warisan.
"Kami tidak sekadar mereka busana untuk musim ini, tetapi mencipta karya yang diharapkan terus dihargai jauh melampaui sebuah musim dan generasi," tambahnya.
Berteraskan falsafah Where Heritage Becomes Couture, EMYALY mahu mempersembahkan keindahan batik dalam bentuk yang lebih moden tanpa menghilangkan identiti dan keaslian warisannya.
Terdahulu, Majlis Pelancaran Koleksi Kolaborasi Emyaly x Noraniza Idris telah disempurnakan Che Puan Hezeita Mohd Hafidz.


Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!


