Gagal Datang Mahkamah, Ikat Jamin Kes Pemandu Mabuk Dinaikkan Dari RM3,000 Ke RM30,000
Tertuduh yang bekerja sebagai penari mengaku tidak bersalah dalam pertuduhan terbabit.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Seorang lelaki yang dituduh memandu secara mabuk telah dikenakan kenaikan ikat jamin oleh Mahkamah Majistret Batu Pahat hari ini, daripada RM3,000 kepada RM30,000
Menerusi laporan Harian Metro, ianya susulan tertuduh, Tan Bing Lee, 44, gagal hadir untuk prosiding sebutan kes terhadapnya sebanyak enam kali.
Selain itu, tertuduh turut dikenakan waran tangkap sebanyak dua kali berikutan kegagalannya mengemukakan alasan tidak muncul di mahkamah pada hari sebutan kes.
Majistret Mustaqim Sukarno membuat keputusan itu terhadap tertuduh yang didakwa mengikut Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Tertuduh, Tan Bing Lee.
Image via Alias Abd RaniPihak pendakwaan pada asalnya tidak menawarkan ikat jamin memandangkan tertuduh kerap tidak hadir setiap kali sebutan kes
"Sebelum ini mahkamah benarkan ikat jamin RM3,000. Tujuh kali prosiding tapi kamu hanya datang sekali. Kemudiannya mahkamah terpaksa keluarkan waran tangkap dua kali terhadap kamu.
"Mahkamah mendapati kamu seolah-olah memandang ringan terhadap ikat jamin dikenakan sebelum ini. Kamu juga gagal memberi alasan kenapa tidak hadir setiap kali prosiding kes kamu.
"Jadi, mahkamah memutuskan ikat jamin dinaikkan kepada RM30,000 dengan dua penjamin," katanya.
Tertuduh bekerja sebagai penari mengaku tidak bersalah memandu kenderaan jenis Proton Wira dalam keadaan mabuk
Perbuatan itu dilaporkan dilakukan di Jalan Taman Kota, Yong Peng, di sini, pada jam 1.15 pagi, 11 Mei 2025.
Seksyen 45A (1) memperuntukkan hukuman denda maksimum sehingga RM30,000 dan penjara sehingga dua tahun serta hilang kelayakan lesen memandu.
Bagaimanapun, tertuduh gagal membayar ikat jamin terbaru itu sebelum dibawa ke Pusat Koreksional Muar untuk tahanan sementara.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Shahzleen Ibrahim manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah menetapkan 23 Oktober ini untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen dan lantikan peguam tertuduh.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



Cover image via