Ganjaran RM20,000 Ditawarkan Buat Pemberi Maklumat Kes Bunuh Zayn Rayyan
Inisiatif daripada pihak MCPF Selangor itu adalah usaha membantu PDRM menyelesaikan kes pembunuhan Zayn Rayyan.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Selangor menawarkan ganjaran sebanyak RM20,000 kepada pihak yang membantu polis sehingga suspek membunuh kanak-kanak autism, Zayn Rayyan ditangkap
Menurut Harian Metro, Timbalan Pengerusi MCPF Selangor Datuk Seri A Thaiveegan berkata, pemberian ganjaran itu akan dibuat melalui Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Selangor.
"MCPF Negeri Selangor bersedia menawarkan ganjaran sebanyak RM20,000 kepada sesiapa yang boleh membantu memberikan maklumat kepada Polis Selangor untuk menangkap suspek dan berjaya dituduh dengan jayanya.
"Ini adalah inisiatif pihak MCPF Selangor dalam usaha membantu PDRM menyelesaikan kes pembunuhan Zayn Rayyan.
"Kenyataan ini sudah dipersetujui oleh Pengerusi MCPF Selangor, Tan Sri Dr Jeffrey Cheah," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam hari ini.
Beliau yang juga bekas Ketua Polis Pulau Pinang menghadiri sidang media berkenaan yang dipengerusikan oleh Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan.
Mengulas mengenai perkembangan kes pembunuhan kanak-kanak autism itu, Hussein memberitahu, pihaknya tidak jumpa sesuatu yang kukuh menjurus ke arah individu terbabit
"Itu kesulitan yang dialami oleh pihak polis. Dengan kata lain kita tidak jumpa satu keterangan fizikal atau keterangan verbal yang nampak yang boleh menjurus ke arah satu individu yang melakukan perbuatan ini.
"Walaupun kita sudah cuba dan macam-macam usaha dilakukan... dari awal Disember sehingga kini, dua bulan lebih kita berada di tempat itu menyiasat dan juga tempat lain yang difikirkan wajar.
"Kita juga menggunakan bantuan teknikal, tetapi kita masih belum jumpa suatu yang menjurus ke arah penangkapan individu itu, tapi polis masih meneruskan usaha," katanya.
Setakat ini, Polis Kontinjen Selangor terutamanya Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) dibantu pasukan-pasukan Bukit Aman melakukan pemeriksaan membabitkan 1,613 unit rumah.
"Polis sudah memeriksa 5,786 individu, kenderaan diperiksa sebanyak 216 buah, tangkapan dibuat ke atas 17 individu, 243 kenyataan sudah diambil.
"Rakaman dari 15 kamera litar tertutup (CCTV) diperiksa, barang kes dipungut di tempat kejadian dan pelbagai tempat sebanyak 168 item.
"Sebanyak 262 sampel asid deoksiribonukleik (DNA) dari individu, manakala pemeriksaan forensik ke atas 42 rumah," katanya.
Katanya, polis juga menggunakan khidmat lapan anjing pengesan unit K9 sebanyak enam kali, malah khidmat pihak bomba begitu juga jabatan perhutanan serta jabatan parit dan saliran turut digunakan.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!