Gardenia Bakal Buka Kilang Di Sarawak – “Tak Payah Dah Seludup Roti Lepas Ini”
Kilang itu dijangka menghasilkan sekitar 6,000 roti sehari apabila ia mula beroperasi.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Orang Sarawak bakal dapat menikmati roti Gardenia tanpa perlu 'seludup' dari Semenanjung Malaysia
Perkara itu bakal dapat direalisasikan apabila jenama itu akan membuka kilang pengeluaran pertamanya di negeri tersebut.
Menerusi laporan The Borneo Post, Kim Teck Cheong (KTC) Consolidated Berhad dan Sanjung Etika Sdn Bhd telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) pada Isnin, 13 Julai, untuk menubuhkan Gardenia Bakeries (Sarawak) Sdn Bhd.
Kilang yang bernilai RM30 juta itu akan dibina di Taman Perindustrian Samarahan dan dijangka memulakan pengeluaran pada tahun 2027 dan membuka sehingga 500 peluang pekerjaan apabila operasi berkembang.

Timbalan Perdana Menteri Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berkata negeri itu mengalu-alukan projek berkenaan
"Kami sangat berterima kasih atas peluang ini kerana dengan kilang yang dibina di sini, rakyat Sarawak akhirnya dapat menikmati roti Gardenia segar tanpa perlu membeli semuanya di KLIA sebelum terbang pulang," katanya.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif KTC, Datuk Dexter Lau menyifatkan projek itu sebagai satu peristiwa penting, kerana ia menandakan kali pertama roti Gardenia akan dihasilkan di Sarawak dan bukannya dihantar dari Semenanjung Malaysia. Kilang itu dijangka menghasilkan sekitar 6,000 roti sehari apabila ia mula beroperasi.
Walau bagaimanapun, Lau berkata hanya kira-kira separuh daripada jumlah itu akan dikeluarkan untuk dijual pada mulanya kerana syarikat itu memastikan barisan pengeluaran berjalan lancar. Sebaik sahaja operasi stabil sepenuhnya, pengeluaran harian dijangka meningkat kepada antara 10,000 dan 20,000 roti.
Beliau menambah bahawa kemudahan itu akan menggunakan teknologi terkini dan mengutamakan bahan-bahan yang diperoleh secara tempatan.

Roti akan dijual melalui pasar raya dan peruncit sedia ada di seluruh Kuching, Sibu, Bintulu, Miri dan daerah lain di negeri ini
"Kami tidak berhasrat untuk bersaing dengan peruncit Sarawak. Sebaliknya, kami ingin melengkapi mereka dengan membantu meningkatkan jualan, keuntungan dan trafik pelanggan mereka dalam kategori roti," tambah Lau.
Lau berkata roti Gardenia yang dibuat di Sarawak akan dijual pada harga yang sama dengan produk yang telah dijual di Sabah, menjadikannya lebih berpatutan daripada bekalan import yang kini terdapat di negeri ini.
Beliau menambah bahawa syarikat itu sedang merancang Gardenia Edisi Sarawak, yang menampilkan pembungkusan diinspirasikan oleh bendera Sarawak di samping produk eksklusif yang dibuat khas untuk negeri ini.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



Cover image via