Hanya Dengan RM2 Je, Anda Pasti Kenyang Menikmati Makanan Di 7 Gerai Ini
RM2 je dah dapat makan benda-benda macam ni. Bestnya!
Sebut saja pasal makanan, perut terus jadi lapar. Betul tak? Tetapi zaman sekarang ni, memang agak susah nak cari tempat makan yang best, murah dan sedap!
Buat yang kaki makan tu, paling tidak mesti seminggu sekali buat food hunting dengan kawan-kawan kan? Yelah kalau dah hari-hari asyik bekerja, hujung minggu mestilah nak meluangkan masa memenuhkan perut dengan makanan-makanan sedap. Ye tak?
Tetapi dekat mana kita boleh dapatkan makanan yang sedap dan murah? Mari kami senaraikan 7 gerai dan kedai makan yang menjual makanan tidak lebih RM2. Wah *best*nyaaaa!
1. Kedai Kak Na, Nibong Tebal, Pulau Pinang
Boleh dikatakan hampir semua makan yang dijual di sini hanyalah dengan harga RM1. Kalau anda datang ke sini, pelbagai jenis makanan menarik dihidangkan. Paling popular adalah laksa dan ais kacang yang sememangnya menjadi perhatian orang ramai ketika berkunjung ke sini.
Walaupun harganya sangat murah, namun makanan tersebut dihidangkan seperti biasa, tanpa bahan-bahannya dikurangkan.
Mazlina Md Hashim, pemilik kedai tersebut berkata terdapat pelanggan yang memesan dua atau tiga mangkuk makanan untuk memenuhi selera mereka. Yelah, kalau dah murah mestilah bertambah! Kebanyakan pelanggannya terdiri daripada golongan pelajar dan Kedai Kak Na dibuka dari tengah hari hingga 3 petang kecuali hari Selasa.
Dan apa yang menggembirakan pelanggan di sini, Ais Kacangnya bersaiz besar dan penuh dengan bahan-bahan. Memang sedap!
Lokasi: Kampung Sungai Buaya, Taman Rekreasi Bukit Panchor Nibong Tebal, Penang.
Waktu beroperasi: Dibuka tengahari hingga 3 petang. Tutup pada Selasa.
2. Warung Seringgit, Kluang, Johor
Warung Seringgit Kluang atau nama penuhnya Warung Seringgit 1 Malaysia, Kluang juga antara warung yang terkenal di Kluang yang menghidangkan makanan-makanan enak dengan harga RM1.
Pelbagai masakan kampung dijual yang pastinya membuka selera pengunjung yang singgah ke warung ini antaranya Nasi Lemak, Nasi Goreng, Mee Goreng, Mee Kari dan banyak lagi. Ya semua makanan ini anda boleh dapatkan dengan harga RM1 sahaja!
Kata pengunjung yang pernah ke sini, rasa Nasi Lemaknya memang mengancam. Orang-orang Kluang dah cuba ke belum?
Lokasi: Seberang jalan depan AEON BIG Kluang, Johor.
Waktu beroperasi: 3.00 pm - 7.00 pm.
3. Salam Sajian Seringgit, Kota Tinggi, Johor
Kalau tadi di Kluang, ini pula di Kota Tinggi. Wahh, seronok betul duduk di Johor ni ya, banyak pula gerai makan yang murah-murah. Di sini juadah disediakan mengikut waktu makan. Makanan yang disediakan sewaktu pagi adalah berlainan dengan makanan yang disediakan pada tengahari.
Bukan setakat mi goreng, nasi lemak dijual dengan RM1, malah seekor ikan dan ayam goreng juga dijual dengan harga RM1. Serius memang murah!
Selain itu, buat mereka yang gemarkan keropok lekor, mungkin ini akan menjadi tempat yang paling sering anda kunjungi kerana satu mangkuk keropok lekor juga dijual RM1. Senang kata apa yang ada di sini, semuanya berharga RM1 lah! Gerai ini juga menghidangkan menu istimewa pada setiap hari Khamis dan yang paling penting air disediakan percuma!
Lokasi: Terminal Bas Tun Seri Lanang, Kota Tinggi, Johor.
Waktu beroperasi: 8 pagi - 8 malam.
4. Nasi Ayam, RM1.90, Gua Musang, Kelantan
Kalau nak diikutkan, harga nasi ayam yang dijual di luar sana rata-rata berharga RM5-RM6. Kalau tak ada RM5 jangan bermimpi nak makan nasi ayam sepinggan. Tapi mimpi anda tu mampu menjadi kenyataan sekiranya anda berkunjung ke sebuah gerai di Gua Musang, Kelantan.
Sepinggan nasi ayam yang dijual di sini hanyalah berharga RM1.90 dan pastinya akan membuatkan anda berasa kenyang. Kalau anda rasa ia murah kerana portion-nya yang sedikit, anda salah. Ini kerana portion nasi ayam yang dijual di sini sama seperti nasi ayam yang berharga RM5-RM6.
Lokasi: Dataran Kesedar, Gua Musang, Kelantan.
Waktu beroperasi: 10 pagi - 12 malam.
5. Eat & Repeat, Shah Alam, Selangor
Kalau anda jenis yang suka makan sikit-sikit atau sedang berdiet tu apa kata try kafe Eat & Repeat yang terletak di Shah Alam ini. Terkenal dengan nama jolokan ‘Boat Noodle Malaysia’, kafe ini lebih menarik kerana menghidangkan citarasa Malaysia dari pelbagai pilihan nasi dan mee!
Dengan hanya RM1.90 anda dapat menikmati pelbagai jenis nasi dan mee yang dihidangkan di dalam mangkuk.
Dessert yang sering menjadi pilihan pelanggan di sini ialah pulut mangga dan sagu gula melaka. Rasanya yang enak dan berlemak itu menjadikannya antara menu yang terlaris di sini. Tengoklah gambar makanan-makanan di bawah. Sedap gila!
Lokasi: Pusat Komersial Seksyen 7, Shah Alam, Selangor.
Waktu beroperasi: 11am - 11pm (Isnin-Sabtu) / 11am - 10pm (Ahad).
6. Nasi Lemok Samah, Kuala Terengganu
Berita baik buat penggemar nasi lemak, kini dengan hanya berbekalkan 50 sen anda sudah boleh menikmati nasi lemak yang sedap dan menyelerakan. Bagaimanapun, sekiranya anda ingin menikmati nasi lemak ini, anda perlulah ke Kuala Terengganu.
Menurut pemilik kedai makan Dapo Barokah, Azahari Yusof, dia mendapat idea untuk menjual nasi lemak pada harga 50 sen ini apabila mendengar rungutan rakan-rakan termasuk orang luar bahawa makanan di negeri itu mahal berbanding di tempat lain.
Nasi Lemak Samah sambal ikan bilis adalah hasil daripada air tangan isterinya, Elmawati Eri. Nasi lemak ini dijual dengan cara dibungkus dengan kertas. Selain itu, kedai makan ini juga mempunyai menu lain seperti nasi lemak telur, nasi lemak ikan dan nasi goreng ikan. Sesiapa pergi ke Kulala Terengganu, wajib cuba!
7. Kedai Makan RM2, Changloon, Kedah
Agak sama seperti gerai makan murah yang lain, gerai ini menyediakan pelbagai jenis makanan yang sedap seperti laksa, bihun sup, mee goreng, bihun goreng dan nasi goreng.
Selain itu, anda juga boleh membuat tempahan sekiranya berminat. Menurut orang ramai, makanan yang paling mendapat perhatian di sini ialah laksanya. Kuahnya yang pekat dan sedikit pedas berjaya mencuri hati pelanggan.
Lokasi: Kampung Changhai, Tepi Kilang Papan, Jalan Sintok UUM, Changloon Kedah.
Waktu beroperasi: 10am - 10pm.