Hilton Burau Bay Langkawi Kini Secara Rasmi Dibuka, Tarikan Baharu Hospitaliti Pulau Lagenda

Terletak di atas tapak seluas hampir 22 ekar di sepanjang pantai persendirian sepanjang 650 meter di Teluk Burau, Mukim Padang Matsirat.

Enlarge text

Follow kami di WhatsApp ChannelsTelegramInstagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah, Sultan Negeri Kedah Darul Aman, berkenan berangkat merasmikan majlis pelancaran Hilton Burau Bay Langkawi Resort yang berlangsung gemilang di Dewan Utama Orkid baru-baru ini

Keberangkatan Baginda turut diiringi Duli Yang Teramat Mulia Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin, Tuanku Raja Muda Kedah; Duli Yang Teramat Mulia Che Puan Muda Zaheeda binti Mohamad Ariff, Tuanku Raja Puan Muda Kedah; Duli Yang Amat Mulia Tunku Shazuddin Ariff Ibni Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin, Tunku Mahkota Kedah; Duli Yang Amat Mulia Che Puan Nur Julie Ariff, Tunku Puan Mahkota Kedah; serta paduka cucunda, Yang Teramat Mulia Tunku Zara Bahiyah binti Tengku Sarafudin Badlishah dan Yang Teramat Mulia Tunku Sulaiman Badlishah bin Tengku Sarafudin Badlishah.

Turut hadir menyaksikan majlis sejarah ini ialah Menteri Besar Kedah, YAB Dato' Seri Muhammad Sanusi Md Nor berserta isteri, YABhg. Tok Puan Hajah Jusmalailani binti Jusoh, wakil Tradewinds Corporation Berhad, YBhg. Tuan Syed Danial bin Tan Sri Syed Mokhtar Syah Albukhary, barisan pegawai kerajaan negeri, serta tetamu korporat.

Majlis perasmian rasmi ini menandakan pelancaran komersial sepenuhnya resort 251 bilik di bawah jenama unggulan Hilton Hotels & Resorts yang dibangunkan serta dimiliki oleh Tradewinds Corporation Berhad, susulan fasa pra-pembukaan yang bermula pada Jun 2026. Pelancaran ini menjadi pencapaian penting dalam mengukuhkan kedudukan Langkawi sebagai destinasi peranginan dan mesyuarat, insentif, konvensyen, serta pameran (MICE) antarabangsa terkemuka sempena kempen Visit Malaysia 2026.

Kehadiran Baginda Tuanku Sultan Kedah menyusuli titah sempena Istiadat Sambutan Hari Keputeraan Baginda ke-84 di Istana Anak Bukit pada 5 Julai lalu, di mana Baginda bertitah, "Kekuatan sebenar Langkawi terletak pada khazanah alam semula jadi dan warisannya yang unik," seraya menyeru agar pulau ini dibangunkan mengikut jati diri dan keperibadiannya sendiri, dan bukan meniru destinasi seperti Phuket atau Bali.

SAYS.com
Image via Hilton Burau Bay Langkawi Resort
SAYS.com
Image via Hilton Burau Bay Langkawi Resort

Penanda aras baharu hospitaliti di Langkawi

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Tradewinds Corporation Berhad, Encik Izmir Abdul Karim berkata, "Hilton Burau Bay Langkawi Resort merupakan penambahan terbaharu kepada portfolio hospitaliti Tradewinds yang telah lama bertapak di Langkawi, menyertai empat resort sedia ada kami di pulau ini. Resort ini menepati seruan Tuanku, dibina untuk mencerminkan keperibadian pulau ini dan bukan meniru destinasi lain. Pembukaannya mencerminkan keyakinan kami yang berterusan terhadap Langkawi serta komitmen jangka panjang kami dalam menyokong pertumbuhan industri pelancongannya."

Beliau turut menambah, "Komitmen kami tidak terhenti setakat membangunkan hotel. Melalui pelaburan kami, kami berhasrat untuk mewujudkan peluang pekerjaan yang bermakna bagi masyarakat setempat, menyokong perniagaan tempatan serta ekosistem pelancongan yang lebih luas, dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi Langkawi dan Kedah, sambil menghormati warisan Geopark Global UNESCO pulau ini. Adalah satu penghormatan yang tidak terhingga bagi Tradewinds Corporation Berhad kerana beroleh kehadiran Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Kedah untuk memuliakan majlis perasmian Hilton Burau Bay Langkawi Resort. Kehadiran Tuanku merupakan satu keberkatan yang mencerminkan kebanggaan dan tanggungjawab yang kami pikul dalam melabur di Langkawi, permata Kedah."

Sementara itu, Naib Presiden Kawasan merangkap Ketua Asia Tenggara Hilton, Alexandra Murray berkata, "Pembukaan Hilton Burau Bay Langkawi Resort mencerminkan komitmen Hilton dalam membawa pengalaman jenama unggulan kami ke destinasi peranginan Malaysia yang paling disegani. Dengan resort ini, kami menawarkan penanda aras baharu yang canggih bagi hospitaliti perkhidmatan penuh di Langkawi."

SAYS.com
Image via Hilton Burau Bay Langkawi Resort
SAYS.com
Image via Hilton Burau Bay Langkawi Resort
SAYS.com
Image via Hilton Burau Bay Langkawi Resort

Terletak di atas tapak seluas hampir 22 ekar di sepanjang pantai persendirian sepanjang 650 meter di Teluk Burau, Mukim Padang Matsirat, resort ini dikelilingi hutan hujan tropika berusia ratusan tahun serta berlatarbelakangkan pemandangan indah Laut Andaman dan Gunung Mat Cincang. Resort ini terletak sekitar 20 minit dari Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi serta berdekatan dengan tarikan utama seperti Langkawi Cable Car, SkyBridge, dan Oriental Village.

Resort ini menawarkan 251 bilik dan suite tetamu dengan teres atau balkoni persendirian, termasuk 16 bilik bersambung untuk penginapan pelbagai generasi. Pilihan santapan merangkumi empat konsep utama iaitu Gingerfire yang menyajikan masakan Asia dan antarabangsa, Haliya Lounge yang menawarkan kopi artisan dan botani tempatan, Mingzhu yang mengetengahkan tradisi kulinari etnik Yunnan, serta Trattoria Mare iaitu restoran tepi laut bergaya Itali.

Bagi fasiliti rekreasi, resort ini dilengkapi Eforea Spa, tiga kolam renang (kolam keluarga, kanak-kanak, dan zon dewasa) bersama lima kolam meditasi batu, gelanggang rekreasi tenis, pickleball, dan bola keranjang, Pusat Alam Semula Jadi bersama pemandu, serta Kelab Kanak-Kanak. Resort ini turut menyediakan ruang acara dalam dan luar bangunan seluas lebih 5,400 kaki persegi, diterajui Dewan Utama Orchid tanpa tiang yang mampu menampung sehingga 210 tetamu, bilik fungsi Orchid dan Jasmine, Padang Besar (Grand Lawn), serta kawasan pantai persendirian.

Hilton Burau Bay Langkawi Resort merupakan hotel terbaharu hasil kerjasama Tradewinds Corporation Berhad dan Hilton, selepas Hilton Petaling Jaya, Hilton Kuching, serta Hilton Shah Alam Glenmarie, menjelang pembukaan Waldorf Astoria Kuala Lumpur akan datang.

Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!

Image via SAYS Seismik

You may be interested in: