Hospital Klang Tampil Beri Respons Selepas Tular Video Burung Nikmati Makanan Pesakit Di Wad
Beberapa netizen mendakwa pernah menyaksikan situasi serupa ketika melawat ahli keluarga di hospital.
Cover image via ThreadsFollow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di Klang telah memberi maklum balas susulan video tular di media sosial memaparkan burung hinggap di meja sisi katil pesakit dan memakan sisa makanan dari dulang
Dalam video yang dikongsi di Threads pada Isnin, 8 Jun, pengguna tersebut memaklumkan bahawa rakaman itu telahpun tersebar luas di platform WhatsApp.
"Ini Hospital Besar Klang. Wad terlalu sesak dengan 16 katil sedangkan sepatutnya hanya ada lapan, dan selain itu, burung merpati makan makanan pesakit dan meninggalkan najis di merata tempat. Apa yang sedang berlaku?" tulisnya.
Menurutnya lagi, isu tersebut turut sudah tersebar hingga ke Thailand apabila media dari negara itu meminta menggunakan video yang tersebar untuk disiarkan di platform mereka.
"Walau bagaimanapun, saya tidak mahu membuka pekung di dada, dan memberitahu mereka pemilik video tu bukan saya dan saya takde hak nak beri izin keatas penggunaan video ni," katanya.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada hari yang sama, HTAR mengakui akan isu tersebut dan berkata pihak mereka sedang mengambil langkah untuk menanganinya
Menurut hospital itu, burung merpati dan burung gagak telah menjadikan pokok-pokok di sekitar kawasan hospital sebagai habitat mereka, meningkatkan kemungkinan burung memasuki bangunan secara tidak sengaja.
"Bagi menangani perkara tersebut, HTAR telah melaksanakan langkah kawalan secara berkala, termasuk pemangkasan pokok oleh syarikat konsesi serta pemantauan berterusan di kawasan wad dan bangunan hospital.
"Selain itu, HTAR turut mendapatkan kerjasama Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi memperkukuh usaha mengawal gangguan burung di kawasan hospital," menurut kenyataan itu.
Pihak hospital turut memaklumkan memandang serius perkara ini dan komited untuk memastikan persekitaran hospital sentiasa selamat, bersih dan kondusif demi kesejahteraan pesakit, pelawat serta warga kerja hospital.
"Semua langkah yang bersesuaian akan terus dilaksanakan dari semasa ke semasa bagi mengurangkan risiko kejadian seumpama ini berulang," jelasnya.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!


