Ibu Tunggal Ini Bangga Walaupun Bekerja Sebagai 'Security Guard' Demi Besarkan 3 Anaknya
Siti Munira Mat Daud berkata, orang ramai tidak perlu malu bekerja sebagai pengawal keselamatan.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Ibu tunggal, Siti Munira Mat Daud berbangga dengan tugasnya sebagai pengawal keselamatan di sebuah sekolah kerana ia membolehkan dia untuk membesarkan tiga anaknya dan berdikari
Menurut Harian Metro, sejak suami tersayang meninggal dunia setahun lalu, ibu muda ini menggalas tanggungjawab sebagai ketua keluarga dan membesarkan tiga anak sendirian.
Wanita berusia 34 tahun ini berkata, dia juga berbangga dengan kerjaya itu yang membantunya meneruskan hidup berdikari tanpa suami, meskipun ada segelintir menganggap ia sebagai pekerjaan kelas bawahan dan tidak sesuai untuknya yang masih muda.
Tambahnya lagi, dia berkerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah sekolah rendah di sini, sejak tujuh tahun lalu selepas tidak melepasi kelayakan sebagai anggota polis sebelum ini selain mengakui dia meminati kerjaya pasukan keselamatan.
"Dahulu saya selalu hantar anak ke sekolah dan lihat pengawal keselamatan bertugas dan terlintas untuk mencuba kerjaya itu. Dengan izin arwah suami (Sarizan Ahmad Kamel) ketika itu saya kemudiannya bekerja sebagai pengawal keselamatan.
"Saya berbangga menyarung seragam ini biarpun hasrat sebenar menjadi polis tetapi kedua-dua kerjaya ini sama saja menjaga keselamatan awam cuma bezanya saya hanya di sekolah saja," katanya ketika ditemui oleh wartawan Harian Metro.
Katanya lagi, dia sentiasa berazam melaksanakan tugas dengan sebaik mungkin biarpun hanya sebagai pengawal keselamatan di sekolah saja kerana baginya tanggungjawabnya juga besar bagi memastikan keselamatan guru dan murid setiap hari.
Siti Munira menggesa golongan muda supaya tidak malu bekerja sebagai pengawal keselamatan, kerana beberapa rakannya yang mempunyai kelayakan tinggi bergelut untuk mendapatkan pekerjaan dalam bidang masing-masing
“Kini, ramai generasi muda memilih bidang pekerjaan ini dan menjadi pengawal keselamatan kerana pekerjaan itu menuntut disiplin dan ketegasan yang tinggi. Bagi saya, kepuasan bekerja adalah kerana memastikan semua pelajar, guru, kakitangan, dan ibu bapa telah pulang dengan selamat," katanya.
Mengulas mengenai akaun TikToknya yang mempunyai lebih 288,000 pengikut, Siti Munira berkata dia tidak pernah menjangkakan videonya menarik perhatian begitu ramai di media sosial.
Dia memberi jaminan bahawa dia tidak pernah mendedahkan butiran tempat kerjanya walaupun menerima banyak pertanyaan di media sosial. Ibu tunggal itu juga menutup sebarang perkembangan romantis, kerana dia mahu kekal bujang.
“Apabila mereka mendapat tahu saya seorang ibu tunggal, ada di antara mereka yang mahu (berhubungan serius dengan saya), tetapi saya menolak dengan sopan kerana saya seorang ibu dan fokus saya adalah kepada tiga anak selepas kematian suami,” katanya sambil menambah arwah suaminya meninggal dunia akibat sakit jantung dan komplikasi darah tinggi.
Dia juga menepis kenyataan negatif di media sosial yang mendakwa dia sentiasa 'bermain' TikTok semasa bertugas, malah menegaskan bahawa dia mengelak daripada menggunakan telefonnya semasa waktu kerja.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!