IKEA Malaysia & Xbox Berkolaborasi Keluarkan Koleksi Perabot Istimewa Terbaharu
Perabot ini sesuai untuk semua orang, bukan sekadar untuk pemain permainan video.
Cover image via IKEAFollow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
IKEA Malaysia bekerjasama dengan Xbox untuk melancarkan YXSTABY, sebuah koleksi baharu yang terdiri daripada lapan item perabot dan aksesori permainan
Koleksi ini tersedia mulai 12 November di IKEA Damansara, Cheras, Tebrau, Batu Kawan, serta secara dalam talian di IKEA.my dan akan turut tiba di IKEA Kuching pada 27 November 2026.
Berteraskan tema IKEA, 'A place for everything and everyone', kolaborasi ini menangani masalah lazim di rumah seperti wayar yang berselirat, alat kawalan yang bersepah dan headsets yang besar, sering menyebabkan ruang kediaman kelihatan tidak kemas.

Dapatan terkini daripada IKEA Home Organisation Index 2026 mendedahkan bahawa kira-kira seorang daripada setiap lima rakyat Malaysia menghadapi kesukaran untuk menyimpan peranti elektronik dan kabel dengan kemas
Manakala seorang daripada setiap tiga orang menyatakan bahawa rutin keluarga yang berbeza-beza menyukarkan usaha memastikan ruang yang dikongsi bersama kekal rapi.
"Kami berpendapat bahawa keadaan berselerak hanyalah berpunca daripada barang-barang yang tidak mempunyai tempat simpanan khusus. Oleh itu, koleksi ini menyediakan ruang untuk menyimpan alat kawalan, kabel, dan set kepala, melalui perabot yang tampak serasi di ruang tamu," kata Pengarah Runcit IKEA Malaysia, Takeshi Murai.
Beliau menambah bahawa kerjasama ini bertujuan untuk mengimbangi aspek penyimpanan praktikal dengan estetika yang menyeronokkan, supaya para pemain permainan video dan ahli keluarga lain dapat menikmati ruang yang sama dengan selesa.
Para pereka daripada kedua-dua jenama bekerjasama dengan pakar permainan video serta melawat isi rumah biasa untuk menghasilkan reka bentuk yang mencerminkan kesederhanaan gaya Scandinavia.
Koleksi ini menampilkan garisan yang kemas dan bentuk yang lembut dalam rona hitam, putih dan kuning air yang tidak terlalu menyerlah, diserlahkan lagi dengan warna hijau ikonik Xbox menandakan lokasi poket serta ruang simpanan tersembunyi.

Dengan harga bermula daripada RM59 hingga RM499, rangkaian produk ini memenuhi keperluan untuk sesi permainan yang kompetitif mahupun untuk bersantai
Bagi menyokong gaya permainan yang fleksibel, IKEA telah menghasilkan meja TV permainan pertamanya yang dilengkapi roda (RM399) membolehkannya digerakkan dengan mudah merentasi bilik dan dikunci dengan kukuh di tempatnya semasa sesi permainan berlangsung, serta meja sisi beroda (RM499) yang dilengkapi pintu gelongsor dan port pengecasan terbina dalam.

Bagi persediaan di lokasi tetap, sebuah dirian monitor (RM99) berfungsi meninggikan dua skrin di samping menyediakan tempat khusus untuk telefon dan set kepala, manakala kotak sokongan komputer riba mudah alih (RM99) pula membolehkan kabel disimpan di dalamnya dan boleh diubah menjadi dirian untuk bekerja dari rumah.
Apabila tiba masa untuk berehat, pemain boleh bersantai di atas kerusi santai permainan (RM399) yang dilengkapi poket untuk controller di bahagian bawah tempat duduk serta jaminan selama 10 tahun, atau duduk di atas bangku berbentuk kayu analog (thumbstick) yang boleh condong (RM169), direka berdasarkan fail reka bentuk 3D controller Xbox yang asal.

Item yang melengkapkan rangkaian ini ialah kusyen berbentuk D-pad (RM59) serta kotak pameran bercermin yang boleh dipasang pada dinding (RM99), direka khusus untuk mempamerkan controller kesayangan dan barangan koleksi.

Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!


