Indonesia Bakal Bina Dua Loji Nuklear Terapung, Terletak 3,000KM Dari Kuala Lumpur
Persetujuan itu dimeterai bagi membekalkan tenaga elektrik yang dijana menerusi dua unit janakuasa nuklear terapung ke bahagian utara Pulau Halmahera, Indonesia.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Indonesia bakal membangunkan dua loji janakuasa nuklear terapung di wilayah Maluku Utara, kira-kira 3,000 kilometer (km) dari Kuala Lumpur dan 1,400km dari Kota Kinabalu, dalam tempoh lima tahun akan datang
Projek berkenaan merupakan hasil kerjasama antara syarikat tenaga milik kerajaan Rusia, Rosatom, dengan syarikat milik kerajaan Indonesia, PT Pembangkit Listrik Nuklir.
Menurut laporan Sinar Harian, persetujuan itu dimeterai bagi membekalkan tenaga elektrik yang dijana menerusi dua unit janakuasa nuklear terapung ke bahagian utara Pulau Halmahera, Indonesia.
Rosatom memaklumkan bahawa kedua-dua unit berkenaan, dikenali sebagai FPU-100, bakal mempunyai kapasiti penjanaan elektrik gabungan sebanyak 200 megawatt (MW).

Teknologi itu akan menggunakan sistem reaktor siri RITM yang sebelum ini digunakan pada kapal pemecah ais berkuasa nuklear milik Rusia
Sistem berkenaan dikatakan mampu membekalkan tenaga elektrik rendah karbon dengan mengambil kira pengalaman operasi teknologi tersebut selama bertahun-tahun.
Ketua Pengarah Rosatom, Alexey Likhachev, berkata pihaknya bersedia menawarkan teknologi nuklear yang terbukti berkesan bagi menyokong keperluan tenaga Indonesia.
Perjanjian itu turut dianggap sebagai perjanjian eksport pertama seumpamanya di dunia yang melibatkan pembekalan elektrik daripada unit janakuasa nuklear terapung.
Indonesia sasar neutraliti karbon menjelang 2060

Langkah membangunkan tenaga nuklear itu selari dengan usaha Indonesia memperkukuh keselamatan tenaga negara untuk jangka panjang.
Pada 2025, Indonesia memasukkan tenaga nuklear dalam Pelan Tenaga Nasional sebagai antara pilihan bagi memenuhi keperluan elektrik dan mencapai sasaran neutraliti karbon menjelang 2060.
Bagi negara kepulauan seperti Indonesia, penggunaan loji terapung berpotensi menjadi salah satu pendekatan untuk membekalkan tenaga elektrik kepada kawasan tertentu tanpa bergantung sepenuhnya pada pembinaan loji konvensional di darat.
Dalam perkembangan berkaitan, Malaysia turut menghidupkan semula perancangan penggunaan tenaga nuklear melalui Fasa 1 pendekatan Milestones oleh Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA).
Usaha itu bertujuan menilai tahap kesediaan dan kebolehlaksanaan penggunaan tenaga nuklear dalam sistem grid elektrik negara.
Bagaimanapun, projek loji nuklear terapung di Indonesia itu dijangka mengambil masa beberapa tahun sebelum mula membekalkan elektrik kepada pengguna.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



Cover image via