Ingin Berjaya Dalam Hidup? 4 "Soalan Bocor" Ini Pasti Dapat Bantu Anda
"Ingatlah, dengan mengingati Allah, hati akan menjadi tenang." (Al-Quran: Ar-Ra'd 13: 28).
Bila musim peperiksaan seperti SPM atau 'final exams' dah nak dekat, masing-masing sibuk mencari soalan bocor. Perasan tak?
Siapa yang tak suka soalan bocor. Semua orang pun suka kan?
Ada yang bersungguh-sungguh nak dapatkan soalan-soalan bocor dari cikgu atau kawan-kawan sebagai persiapan untuk menduduki peperiksaan.
Bila dah dapat, tipulah kalau tak rasa 'happy'. Soalan bocor ini dah dianggap seperti nyawa ketika dalam peperiksaan. Bayangkan jika kita ada satu nyawa ekstra dalam hidup kita. Seronok kan? Begitu jugalah dengan soalan bocor.
Kepada yang tak ambil peduli langsung, mesti akan rasa menyesal tak sudah. Tidak ada apa yang boleh dilakukan lagi kerana nasi sudah menjadi bubur.
Tetapi, tak semua soalan bocor kita rasa 'excited' untuk tahu, malah ada diantara kita yang langsung tak ambil peduli.
Soalan bocor ini ialah soalan yang akan ditanya di alam kubur nanti oleh para malaikat. Tidakkah kita sedar bahawa kita sudahpun tahu apa yang akan disoal kelak?
Menurut hadis, ada empat soalan di dalam kubur yang telah “dibocorkan” oleh Rasulullah s.a.w melalui ungkapan baginda yang bermaksud:
"Tidak akan berganjak kedua-dua kaki setiap hamba (ke syurga atau neraka) pada hari akhirat nanti sehinggalah ditanya tentang umurnya, ke mana dihabiskan, tentang ilmunya, apakah yang diamalkan, tentang hartanya, bagaimana cara memperolehi dan membelanjakannya, dan tentang kesihatan tubuh badannya, apa yang telah dilakukan dalam kehidupan." (Tirmizi: no 2417)
Soalan #1: Umur
Soalan yang pertama yang akan ditanyakan di dalam kubur adalah umur. Apabila ditanya, setiap orang akan menjawab dengan jawapan yang berbeza berdasarkan bagaimana seseorang itu telah menjalani kehidupannya.
Ada yang umurnya pendek tetapi hidupnya dipenuhkan dengan amal ibadah dan ubuddiyyah iaitu penghambaan kepada Allah s.w.t. Ada yang umurnya panjang tetapi menghabiskan hayatnya dengan memenuhi hawa nafsu semata-mata. Golongan yang paling bergembira pastinya orang yang usianya panjang dan telah menjalani kehidupannya dengan ketaatan kepada Allah s.w.t. dan amal ibadah.
Soalan #2: Ilmu
Soalan yang kedua inilah yang paling ditakuti oleh setiap orang terutama sekali golongan yang berilmu. Soalan yang akan ditanya adalah apa yang telah diamalkan daripada ilmu yang dimiliki. Ilmu akan menjadi sesuatu yang bermafaat apabila seseorang itu berkongsi ilmu yang dia ada dengan orang lain.
Peringatan tentang ilmu dalam firman Allah: “Amat besarlah kemurkaan Allah apabila kamu mengatakan sesuatu yang tidak kamu amalkan” (Surah Saf: ayat 3).
Bagi Para ulama' al-suu' (ulama' yang jahat) yang sentiasa menggunakan ilmu agama dengan memutarbelitkan hukum hakam agama demi mengejar kepentingan dunia seperti harta dan kuasa, dan orang itu mempunyai ilmu tetapi tidak berkongsi dengan orang lain, ilmu yang dimilik itu tidak akan membantunya di alam akhirat nanti.
Begitu juga dengan insan yang ingin mengambil jalan mudah dengan tidak mencari ilmu pengetahuan sebab takut akan dibebani dengan soalan kubur ini kerana hakikatnya, golongan ini berada dalam jahiliyyah.
Soalan #3: Harta
Soalan yang ketiga tentang harta mempunyai dua anak soalan iaitu:
a) Bagaimana dia memperolehi harta benda tersebut dan
b) Bagaimana dia membelanjakan hartanya.
Dunia hari ini telah melahirkan golongan manusia yang tidak mempedulikan hukum halal dan haram dalam mendapatkan harta selagi mereka dapat mengumpul harta. Golongan seperti ini mementingkan keuntungan dengan mengorbankan segalanya untuk wang dan seolah-olah mengabadikan hidupnya untuk harta.
Ramai yang lupa bahawa segala kerja yang dilakukan adalah untuk Allah s.w.t. Apabila ramai yang lupa, mereka mula melakukan segala dosa-dosa seperti melakukan rasuah, pecah amanah, menipu dalam perniagaan, lari dari hutang, mencuri, merompak dan sebagainya.
Bayangkan betapa ngerinya keadaan golongan seperti ini apabila disoal di dalam kubur.
Ada golongan manusia yang begitu cermat tentang bagaimana dia memperolehi hartanya seperti melakukan kerja yang halal tetapi ramai yang lalai ketika mereka membelanjakan hartanya seperti untuk barang yang tidak membawa faedah dan juga untuk ke tempat yang tempat yang melalaikan.
Soalan #4: Kesihatan tubuh badan
Soalan terakhir berdasarkan hadis ini adalah berkenaan tubuh badan dan kesihatan yang dianugerahkan oleh Allah s.w.t.
Ramai yang tidak menghargai kesihatan ketika mereka sihat. Semasa mereka sihat, mereka jarang untuk memuji Allah s.w.t. Tetapi apabila jatuh sakit, secara tiba-tiba mereka menjadi orang yang sentiasa menyebut nama Allah s.w.t dan berazam untuk melalukan ketaatan setelah sembuh.
Pada masa yang sama, sakit merupakan satu anugerah yang sebenarnya sangat baik kerana ia adalah ujian daripada Allah s.w.t. sebagai peringatan tentang kasih sayangNya terhadap hambaNya.
Itulah empat soalan di dalam kubur yang telah di"bocorkan". Surah Yaasin juga ada menceritakan suasana di akhirat.
Di dalam surah Yaasin, Allah s.w.t. menceritakan suasana di akhirat, firmanNya yang bermaksud:
“Pada hari ini Kami tutup mulut-mulut mereka, dan** tangan-tangan mereka akan bercakap** (mengakui segala amalan yang dilakukan di dunia) serta kaki-kaki menjadi saksi di atas apa yang telah mereka lakukan” (Yaasin: ayat 65).
Ketika itu, mulut yang sangat petah berkata-kata tidak mampu memberi alasan dan melepaskan diri lagi sebagaimana di dunia dahulu.
Mulut terkunci rapat dan tugas menjawab dipindahkan kepada seluruh anggota badan lain lalu mengakui satu persatu amal baik dan buruk ketika di dunia dahulu tanpa tertinggal sedikitpun, sehingga akhirnya menempatkan mereka ke destinasi terakhir sama ada di syurga mahupun neraka.
Alangkah bagusnya jika kita turut berusaha bersungguh-sungguh dalam menjawab soalan-soalan bocor ini. Ambil iktibar, semaikan dalam hati dan perbaiki kelemahan diri agar dapat menjadi hamba yang terbaik di sisi Allah.