Ini 5 Situasi Yang Memerlukan Rakyat Malaysia Tukar Pasport Dengan Segera
Yang selalu travel tu ambil maklum!
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Jabatan Imigresen mengingatkan rakyat Malaysia supaya tidak menunggu sehingga saat akhir untuk memperbaharui atau menggantikan pasport, dengan mengetengahkan lima situasi di mana pasport baharu perlu dibuat
Menerusi perkongsian di laman Facebook rasminya pada 25 Jun, jabatan itu menekankan bahawa pasport hendaklah sentiasa disimpan dalam keadaan baik dan memenuhi keperluan perjalanan antarabangsa bagi mengelakkan masalah semasa melancong ke luar negara.
"Pastikan pasport anda sentiasa sah dan dalam keadaan sempurna bagi mengelakkan sebarang kesulitan ketika urusan perjalanan ke luar negara," kata jabatan itu.
Berikut adalah lima situasi memerlukan rakyat Malaysia untuk menukar pasport dengan kadar segera.

1. Pasport anda mempunyai baki tempoh sah laku kurang daripada enam bulan
Jabatan Imigresen berkata kebanyakan negara mengenakan syarat sah laku pasport minimum enam bulan untuk pelawat asing.
Melancong dengan pasport yang hampir tamat tempoh boleh mengakibatkan kemasukan ditolak atau menghadapi isu semasa perjalanan.
2. Muka surat pada pasport hampir penuh
Pasport juga harus diperbaharui apabila terdapat sangat sedikit halaman kosong yang tinggal.
Imigresen memaklumkan halaman pasport yang hampir penuh boleh menimbulkan masalah semasa perjalanan antarabangsa, terutamanya apabila pihak berkuasa imigresen memerlukan ruang untuk setem masuk, keluar atau visa.
3. Pasport yang rosak
Tidak semua kerosakan pasport adalah bersifat kosmetik. Menurut Imigresen, pasport boleh dianggap tidak boleh digunakan jika ia:
- Koyak
- Rosak akibat air
- Cip rosak
- Butiran halaman biodata hilang atau kabur
- Kulit pasport hilang atau tertanggal
- Terjejas oleh sebarang kerosakan fizikal yang lain
4. Kehilangan pasport
Imigresen juga mengingatkan rakyat Malaysia untuk menggantikan pasport mereka jika ia telah hilang atau tercicir.
Pelancong yang kehilangan pasport harus melaporkan perkara tersebut dan memulakan proses penggantian secepat mungkin.
5. Maklumat peribadi telah diubah
Pasport baharu juga diperlukan apabila terdapat perubahan rasmi pada butiran peribadi pemegang pasport.
Ini memastikan maklumat dalam dokumen perjalanan kekal tepat dan selaras dengan rekod rasmi.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



Cover image via