Inisiatif Prihatin, Lelaki Sedia 2,000 Kerusi Roda & 430 Katil Hospital Pinjaman Secara Percuma
Terima kasih orang baik.
Cover image via BERNAMAFollow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Pengalaman melihat seorang pesakit kanser muda terpaksa berbaring di lantai kerana tidak mempunyai katil yang sesuai sekitar sedekad lalu menjadi titik perubahan buat Wong Kwok Kheong
Menurut laporan BERNAMA, Wong, 59, yang sudah kira-kira 20 tahun terlibat dalam kerja kebajikan, kemudian mengasaskan Persatuan Kebajikan I-Kasih pada 2016 bagi menyediakan perkhidmatan pinjaman peralatan perubatan secara percuma kepada golongan memerlukan.
"Tolong orang jangan kira bangsa. Orang Islam kita tolong, Hindu kita tolong, Cina kita tolong. Asalkan dia perlukan bantuan, kita bantu," katanya.
Kini, I-Kasih mempunyai kira-kira 430 katil hospital dan lebih 2,000 kerusi roda selain pelbagai peralatan seperti kerusi tandas, tongkat, alat bantuan berjalan, tilam udara antidekubitus dan peralatan rehabilitasi.

Menariknya, semua peralatan berkenaan boleh dipinjam secara percuma tanpa had tempoh, selagi masih diperlukan pesakit
"Kalau dia perlu dua atau tiga tahun, pakailah. Kalau sampai 10 tahun pun tidak mengapa. Apabila sudah tidak diperlukan, pulangkan kepada kita supaya boleh diberikan kepada orang lain pula," katanya lagi.
Peralatan yang dipulangkan pula akan dibersihkan, dinyahkuman, diperiksa dan dibaiki sebelum diberikan kepada penerima lain.
Menurut Wong, kemudahan itu sekurang-kurangnya dapat membantu keluarga menjimatkan ratusan hingga ribuan ringgit untuk digunakan bagi keperluan lain.

"Kalau seseorang perlu keluarkan RM300 untuk beli kerusi roda, bulan itu dia sudah kurang RM300 untuk perbelanjaan lain. Dia masih perlu bayar sewa rumah, beli makanan dan tanggung anak. Jadi kalau kita boleh pinjamkan secara percuma, duit itu boleh digunakan untuk perkara lain," katanya.
Antara yang menerima manfaat ialah Elizyana Abu Bakar, 48, dari Skudai, yang mengalami strok kira-kira sebulan lalu.
Suaminya, Jefry Mohd Noor, 54, berkata bantuan kerusi roda, alat bantuan berjalan dan tongkat daripada I-Kasih amat bermakna buat keluarga mereka yang berdepan masalah kewangan.
"Bantuan ini memang sangat memudahkan kami. Kalau hendak beli peralatan di luar memang mahal, ada yang polen mencecah ribuan ringgit, kalau sewa pun memerlukan kos," katanya.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!


