Inovasi Tempatan & Bioteknologi Pacu Pengeluaran Makanan Berdaya Tahan Di Malaysia
Bioeconomy Corporation sokong Pure Mylk dan Lai Hin Trading perkukuh sekuriti makanan.
Cover image via Bioeconomy CorporationFollow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Isu keselamatan makanan atau food security hari ini bukan lagi sekadar persoalan sama ada makanan mencukupi di pasaran
Dalam dunia yang berdepan perubahan iklim, gangguan rantaian bekalan, peningkatan kos bahan mentah dan kebergantungan kepada import, keselamatan makanan turut bergantung kepada bagaimana makanan dihasilkan, diproses, disimpan dan diedarkan kepada pengguna.
Bagi Malaysia, cabaran ini menuntut pendekatan yang lebih menyeluruh. Selain memperkukuh sektor pertanian dan penternakan, negara juga perlu membina keupayaan dalam teknologi pemprosesan, penyelidikan dan pembangunan, pengeluaran berskala komersial serta sistem bekalan makanan yang lebih cekap.
Dalam ekosistem ini, Malaysian Bioeconomy Development Corporation atau Bioeconomy Corporation memainkan peranan penting dalam menyokong pembangunan syarikat bioekonomi tempatan. Pure Mylk sebagai syarikat berstatus BioNexus dan Lai Hin Trading Sdn. Bhd. sebagai syarikat di bawah program Bio-based Accelerator (BBA) merupakan antara contoh syarikat tempatan yang membangunkan inovasi makanan selaras dengan aspirasi Dasar Bioteknologi Negara 2.0 di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), khususnya dalam aspek bioinovasi, kemampanan dan keselamatan makanan.
Pure Mylk memberi tumpuan kepada teknologi pemprosesan minuman berasaskan tumbuhan, manakala Lai Hin Trading Sdn. Bhd. pula menggunakan penyelidikan dan inovasi dalam pengeluaran produk berasaskan telur itik. Kedua-duanya bergerak dalam bidang berbeza, namun usaha mereka memperlihatkan satu perkara penting, iaitu makanan tempatan boleh dipertingkatkan nilainya melalui teknologi, inovasi dan pengurusan pengeluaran yang lebih baik.


Minuman berasaskan tumbuhan pilihan mampan
Berpusat di Pulau Indah, Selangor, Pure Mylk adalah syarikat pembuatan strategik minuman berasaskan tumbuhan perintis di Malaysia, dengan aspirasi membantu pelbagai jenama membawa produk inovatif berasaskan bioteknologi dan sains makanan ke pasaran dengan lebih pantas, bijak dan mampan.
Melalui pendekatan itu, Pure Mylk membantu menukar bahan pertanian kepada produk makanan dan minuman yang selamat, bernutrisi, berskala komersial serta bersedia untuk pasaran. Peranannya turut merangkumi penyelidikan dan pembangunan, formulasi produk, ujian rintis, pemprosesan aseptik, pembungkusan dan pengeluaran berskala besar.
Pure Mylk menghasilkan minuman berasaskan tumbuhan seperti susu oat, beras, badam, kelapa, pistachio dan walnut. Namun, kekuatan syarikat itu bukan hanya pada produk akhir, sebaliknya pada teknologi yang digunakan bagi memastikan produk dihasilkan dengan kualiti konsisten, selamat dan sesuai untuk pengedaran berskala besar.
Antara teknologi utama yang digunakan ialah pemprosesan enzimatik dan sistem aseptik VTIS Direct Steam Injection UHT. Secara mudah, teknologi ini membantu menghasilkan minuman dengan tekstur lebih halus, lebih stabil dan boleh disimpan lebih lama. Ia juga membolehkan produk dibungkus dengan selamat dan disimpan pada suhu bilik tanpa terlalu bergantung kepada peti sejuk.


Ketua Pegawai Eksekutif Pure Mylk, Marcus Khoo (Gambar kecil)
Image via Bioeconomy CorporationDalam konteks keselamatan makanan, keupayaan seperti ini penting kerana produk bernutrisi hanya benar-benar memberi manfaat apabila ia boleh diedarkan dengan baik, disimpan dengan mudah dan sampai kepada pengguna dalam keadaan selamat.
"Sekuriti makanan bukan hanya tentang menghasilkan makanan yang mencukupi. Ia juga tentang bagaimana nutrisi boleh diproses, dipelihara, diedarkan, disimpan dan diakses secara mampu milik pada skala yang lebih besar.
"Melalui teknologi pemprosesan makanan dan keupayaan pembuatan tempatan, Malaysia boleh membina sistem makanan yang lebih berdaya tahan, kurang bergantung kepada rantaian bekalan luar dan lebih bersedia menghadapi cabaran masa depan," kata Ketua Pegawai Eksekutif Pure Mylk, Marcus Khoo.
Marcus berkata, Pure Mylk mahu menyumbang kepada ekosistem teknologi makanan dengan memperkukuh keupayaan pembuatan tempatan, pengetahuan teknikal, kesediaan eksport halal dan infrastruktur inovasi.
"Negara yang menguasai sistem makanan masa depan bukan sahaja negara yang menanam hasil pertanian, tetapi juga negara yang menguasai teknologi pemprosesan, sains nutrisi dan keupayaan pembuatan berskala besar. Pure Mylk mahu menjadi sebahagian daripada masa depan itu," katanya.
Keupayaan teknologi dan pembuatan Pure Mylk turut membuka ruang kepada syarikat itu untuk terlibat dalam projek serta kerjasama dengan rakan pasaran termasuk United Kingdom, Arab Saudi dan Jepun.
Pure Mylk juga melihat peluang untuk menaik taraf bahan pertanian bernilai rendah kepada produk makanan bernilai tinggi. Sebagai contoh, beras perang hancur yang lazimnya dianggap sebagai bahan sampingan dalam rantaian pertanian boleh diproses menjadi minuman beras perang yang stabil, bernutrisi dan sesuai untuk pasaran lebih luas.
Bagi menyokong pembangunan produk baharu, Pure Mylk turut membangunkan The Mylky Way Innovation Centre yang menyatukan R&D, ujian rintis, sokongan kawalan kualiti, mikrobiologi, penilaian sensori dan kolaborasi teknikal. Pusat ini membantu usahawan, pemilik jenama, penyelidik dan pemain industri menguji serta memperbaiki produk sebelum dibawa ke pengeluaran komersial.
Berhubung sokongan Bioeconomy Corporation, Marcus berkata, pengiktirafan sebagai syarikat berstatus BioNexus membantu memperkukuh kedudukan Pure Mylk sebagai pemain teknologi makanan yang berteraskan inovasi.
"Pengiktirafan ini bukan sahaja meningkatkan kredibiliti Pure Mylk dalam menjalin kerjasama dengan pihak industri, pelabur, universiti, agensi kerajaan dan rakan antarabangsa, malah sokongan ekosistem yang disediakan Bioeconomy Corporation turut membantu syarikat menyelaraskan hala tuju pertumbuhan dan inovasi dengan keutamaan negara, khususnya dalam aspek keselamatan makanan, kelestarian, pengkomersialan bioteknologi serta pembangunan pembuatan termaju," katanya.
Telur itik berinovasi lonjak nilai nutrisi
Sementara itu, di Bandar Baharu, Kedah, Lai Hin Trading Sdn. Bhd. memperlihatkan bagaimana produk makanan harian seperti telur itik juga boleh diperkukuh melalui teknologi, penyelidikan dan pengurusan pengeluaran yang lebih tersusun.
Syarikat yang sudah beroperasi sejak tahun 1998 itu terlibat dalam pembiakan, pengeluaran dan pembekalan produk berasaskan telur itik. Produk utama syarikat termasuk telur itik segar, telur masin, kuning telur, telur abad serta telur yang diperkaya dengan nutrisi tambahan seperti telur omega dan telur selenium.
Dalam kehidupan harian, telur merupakan antara sumber protein yang mudah didapati dan dekat dengan masyarakat. Namun, bagi memastikan bekalan makanan yang lebih baik, pengeluaran telur bukan sahaja perlu mencukupi, tetapi juga perlu selamat, berkualiti dan konsisten.
Atas sebab itu, Lai Hin Trading memberi perhatian kepada pengurusan ternakan yang lebih sistematik, termasuk aspek kesihatan, pemakanan dan persekitaran itik. Pendekatan ini membantu meningkatkan produktiviti ladang serta memastikan pengeluaran telur dapat dilakukan dengan lebih terancang.
Fokus penyelidikan dan pembangunan syarikat turut bermula daripada perkara asas, iaitu makanan itik. Formulasi makanan yang sesuai pada setiap peringkat tumbesaran, bermula daripada anak itik sehingga peringkat matang, penting bagi menyokong kesihatan ternakan, meningkatkan kadar peneluran dan memastikan telur yang dihasilkan lebih berkualiti.
Dalam aspek pemprosesan, Lai Hin Trading menggunakan mesin automatik MEX3000 bagi membantu proses pembersihan, pengeringan, pembasmian kuman menggunakan sinaran ultraviolet atau UV serta pengasingan telur yang retak atau pecah. Penggunaan teknologi ini membantu memastikan telur diproses dalam keadaan lebih bersih dan konsisten.
Syarikat itu juga menggunakan mesin inkubator moden bagi menghasilkan anak itik sendiri. Keupayaan ini membantu mengurangkan kebergantungan kepada pembekal luar, selain membolehkan syarikat mengurus bekalan ternakan dengan lebih fleksibel mengikut permintaan pasaran.
Bagi produk seperti telur omega dan telur selenium, inovasi nutrisi memberi nilai tambah kepada makanan harian yang sudah biasa dengan pengguna. Telur tidak lagi hanya dilihat sebagai sumber protein asas, tetapi boleh dipertingkatkan nilainya untuk memenuhi keperluan pengguna moden yang semakin memberi perhatian kepada pemakanan seimbang dan gaya hidup sihat.
"Telur itik bukan lagi hanya dilihat sebagai produk asas makanan. Melalui R&D dan inovasi, kita boleh meningkatkan nilai nutrisi, kualiti serta kepelbagaian produk supaya ia lebih relevan dengan keperluan pengguna moden.
"Bagi Lai Hin Trading, teknologi dan pendekatan bioinovasi penting untuk memastikan pengeluaran lebih konsisten, selamat dan mampu menyokong agenda sekuriti makanan negara dalam jangka panjang," kata Pengarah Lai Hin Trading Sdn. Bhd., Datin Chong Lee Lee.

Pengarah Lai Hin Trading Sdn. Bhd., Datin Chong Lee Lee
Image via Bioeconomy Corporation
Dari sudut keselamatan makanan, Lai Hin Trading turut memberi perhatian terhadap pematuhan standard industri dan kebolehkesanan produk termasuk sijil halal.
"Melalui kawalan yang lebih sistematik, proses pengeluaran dapat dipantau bermula daripada penerimaan telur sebagai bahan mentah sehingga menjadi produk akhir. Langkah ini penting untuk meningkatkan keyakinan pengguna terhadap produk tempatan dan menyokong rantaian bekalan makanan yang lebih selamat," jelas Chong Lee Lee.
Selain itu, Lai Hin Trading turut merancang pendekatan lebih lestari melalui inisiatif waste-to-feed, iaitu memanfaatkan kulit telur itik sebagai sumber kalsium dalam formulasi makanan ternakan. Pendekatan ini membuka ruang kepada penggunaan sumber secara lebih bijak, mengurangkan pembaziran dan menyokong amalan industri makanan yang lebih mampan.
Produk keluaran Lai Hin Trading boleh didapati di pasar raya besar seluruh negara dan dipercayai oleh pelanggan sehingga peringkat antarabangsa.
Sementara itu, Chong Lee Lee berkata, sokongan Bioeconomy Corporation melalui program Bio-based Accelerator (BBA) turut membantu Lai Hin Trading Sdn. Bhd. memperluaskan keupayaan inovasi, pembangunan pasaran dan keyakinan pengguna terhadap produk bio berasaskan tempatan.
"Program ini memberi sokongan dari aspek bimbingan, jaringan industri, pendedahan pasaran serta pemerkasaan imej syarikat sebagai pengeluar yang bukan sahaja beroperasi secara tradisional, malah berupaya menambah nilai produk melalui pendekatan teknologi dan inovasi berasaskan bio.
"Dengan sokongan tersebut, Lai Hin Trading dapat meningkatkan daya saing produk, memperkukuh kepercayaan pengguna serta membuka peluang untuk memasarkan produk ke pasaran yang lebih luas," katanya.
Usaha Pure Mylk dan Lai Hin Trading menunjukkan bahawa keselamatan makanan perlu disokong melalui pelbagai pendekatan. Ia bukan hanya bergantung kepada pengeluaran bahan mentah, tetapi turut melibatkan teknologi pemprosesan, R&D, inovasi nutrisi, pengurangan pembaziran, pengukuhan pembuatan tempatan dan keupayaan membawa produk berkualiti ke pasaran.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!


