Isu Bendera Terbalik, Premis Diarahkan Tutup Serta-Merta Oleh Pihak Berkuasa Tempatan
Pemilik premis diberi amaran tegas dan diarahkan menurunkan dan membetulkan kedudukan kedua-dua bendera berkenaan dengan serta-merta.
Cover image via MBIP (Facebook)Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Sebuah premis di Taman Perindustrian SILC, Iskandar Puteri, Johor diarahkan menghentikan operasi selepas didapati tidak mempunyai lesen perniagaan yang sah
Tindakan itu diambil oleh Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) susulan premis berkenaan tular kerana mempamerkan Jalur Gemilang dan bendera negeri Johor dalam kedudukan terbalik.
Menerusi hantara di Facebook, MBIP berkata, pihaknya bertindak selepas menerima aduan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Iskandar, Datuk Pandak Ahmad.
Pemilik premis diberi amaran tegas serta diarahkan menurunkan dan membetulkan kedudukan kedua-dua bendera berkenaan dengan serta-merta.


Bagaimanapun, pemeriksaan lanjut mendapati premis tersebut turut beroperasi tanpa lesen perniagaan MBIP yang sah
Susulan itu, Notis Henti Niaga dikeluarkan dan premis berkenaan diarahkan ditutup. Pemilik premis juga dikenakan kompaun kerana mempamerkan papan iklan tanpa lesen MBIP.
Dalam pemeriksaan sama, seramai 14 pekerja ditemukan berada di premis berkenaan, terdiri daripada dua warga tempatan dan 12 warga asing.
Kesemua warga asing tersebut kemudian ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri untuk siasatan lanjut berkaitan status permit pekerjaan mereka.

Menurut MBIP, pihaknya memandang serius sebarang pelanggaran undang-undang dan peraturan di bawah bidang kuasanya, termasuk berkaitan pelesenan premis serta tatacara pemasangan dan penghormatan terhadap bendera.
"Jalur Gemilang dan Bendera Negeri Johor merupakan lambang kedaulatan, identiti dan maruah yang wajib dihormati," katanya.
MBIP turut menegaskan bahawa tiada kompromi akan diberikan kepada mana-mana pihak yang gagal mematuhi peraturan, selain pemantauan dan tindakan susulan akan terus dijalankan dari semasa ke semasa.
Lihat hantaran di bawah:
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!


