JAM Ganding Scha-Awal Tembus Pasaran Melayu, Sasar Peluang Penstriman Langsung Di ASEAN
Studio JAM seluas 6,500 kaki persegi yang baharu dibuka itu dilengkapi dengan 13 bilik produksi serba lengkap.
Cover image via @wewantjam.my (Instagram)Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Syarikat e-dagang penstriman langsung (live commerce) terkemuka Malaysia, JAM, kini mempercepatkan strategi pertumbuhannya menerusi pelancaran rasmi segmen pasaran bahasa Melayu terbaharu, JAM Bahasa, berserta pembukaan studio produksi penstriman langsung eksklusifnya
Pengasas Bersama dan Pengarah Urusan JAM, Cherine Fong berkata, pelancaran JAM Bahasa merupakan salah satu langkah pertumbuhan paling penting syarikat pada tahun ini bagi menyasarkan demografi pengguna berbahasa Melayu. Perkembangan ini menandakan langkah besar pertama syarikat di luar pasaran penonton berbahasa Cina, sekali gus memanfaatkan potensi besar pasaran Melayu yang merupakan komuniti pengguna terbesar di Malaysia.
Bagi menerajui perniagaan baharu ini, JAM telah menjalinkan kerjasama strategik dengan pasangan selebriti terkenal tanah air, Scha Alyahya dan Awal Ashaari, yang menyertai syarikat sebagai pengasas bersama (co-founders) dan bukan sekadar duta jenama.
Menurut Cherine, pelantikan ini menyelaraskan kepentingan kedua-dua belah pihak demi pertumbuhan perniagaan jangka panjang, selain membuktikan keyakinan syarikat terhadap model perniagaan mereka yang boleh dicontohi dan diulangi (replicable).
"Komuniti Melayu merupakan kuasa beli terbesar di Malaysia, menawarkan peluang pasaran yang amat luas, namun segmen e-dagang live secara premium masih belum diteroka sepenuhnya. Apa yang membakar semangat kami adalah model perniagaan ini sebenarnya bersifat universal.
"Kami akan mengguna pakai formula kejayaan yang telah terbukti dalam segmen KOL (influencer) berbahasa Cina, memperkasakannya dengan elemen tempatan (lokalisasi), dan membawakannya ke pasaran Melayu. Jika strategi ini berjaya diaplikasikan daripada satu komuniti ke komuniti yang lain dalam negara yang sama, ia menjadi bukti kukuh bahawa model perniagaan kami mempunyai kebolehskalaan (scalability) yang tinggi," kongsi Cherine.

Pengasas Bersama dan Pengarah Urusan JAM, Cherine Fong
Image via @wewantjam.my (Instagram)Ditubuhkan pada April 2024, JAM mencatatkan lonjakan perniagaan sebanyak tiga kali ganda pada tahun kedua operasinya
Ini mencerminkan permintaan yang kian meningkat daripada jenama dan pencipta kandungan terhadap perkhidmatan e-dagang penstriman langsung yang profesional.
Bermula dengan menguruskan sebilangan kecil KOL di Instagram, JAM kini berkembang menjadi Rangkaian Multi-Saluran (MCN) menyeluruh yang meliputi platform TikTok, Shopee, Lazada, dan Instagram. Pada masa ini, JAM menguruskan sekitar 10 orang KOL dan disokong oleh 20 kakitangan sepenuh masa bagi menyediakan pengurusan bakat, produksi penstriman langsung, serta penyelesaian e-dagang hujung-ke-hujung (end-to-end ecommerce solutions) di bawah satu model perniagaan bersepadu.
Pada tahun pertama operasinya (April 2024 hingga Mac 2025), JAM berjaya meraih Nilai Barangan Kasar (GMV) sebanyak RM3.5 juta. Angka ini terus berkembang pesat didorong oleh kekerapan sesi penstriman langsung, kualiti produksi yang lebih tinggi, serta kadar penukaran jualan yang semakin meningkat.
Jelas Cherine, pertumbuhan syarikat dipacu oleh pengoptimuman operasi penstriman langsung serta kejayaan perluasan perniagaan penstriman langsung berbentuk afiliasi dan kedai.
"Kami telah memperbesarkan barisan pempengaruh dan KOL kami, yang bermaksud jumlah slot live bulanan kini semakin meningkat, dan paling penting, kualiti setiap sesi live menjadi semakin matang. Setiap penstriman langsung memberikan data baharu dari segi kawalan rentak, strategi pemilihan produk, hinggalah teknik penukaran jualan di mana kami gunakan maklum balas ini untuk menambah baik operasi.
"Jadi ia bukan sekadar kuantiti yang banyak, tetapi kualiti yang jauh lebih baik. Pada masa yang sama, kami menjalankan projek rintis untuk perkhidmatan penstriman afiliasi dan kedai pada separuh kedua tahun lalu. Keputusan yang memberangsangkan ini memberi keyakinan kepada kami bahawa ini adalah masa yang tepat untuk membangunkannya secara sistematik. Oleh itu, fokus tahun kedua adalah untuk memperkukuhkan perniagaan sedia ada dan mengesahkan hala tuju fasa seterusnya," tambah Cherine.

Berbeza dengan agensi pempengaruh tradisional, JAM memfokuskan sepenuhnya kepada e-dagang penstriman langsung dengan mengendalikan saluran live berjenama, di samping menawarkan penyelesaian e-dagang penuh untuk jenama pengguna.
"Tiang perniagaan terbesar kami buat masa ini ialah segmen live KOL yang mempunyai struktur pendapatan pelbagai merangkumi yuran slot, komisen jualan, serta ganjaran insentif platform. Ini secara langsung menghubungkan prestasi kami dengan hasil jualan sebenar yang boleh diukur oleh rakan jenama kami.
"Struktur pendapatan ini dirancang dengan teliti bagi memastikan hala tuju kami selaras dengan jenama dan platform. Kami hanya mendapat manfaat sebenar apabila sesi live itu berjaya menghasilkan jualan. Tiang perniagaan kedua kami pula adalah perkhidmatan penstriman afiliasi dan kedai, di mana jenama menyerahkan operasi e-dagang live sepenuhnya kepada kami. Tidak kira segmen mana, logik asasnya tetap sama, kami tidak mengenakan bayaran semata-mata untuk hadir, sebaliknya kami menawarkan perkhidmatan berdasarkan prestasi dan hasil kerja," katanya.
Buat masa ini, syarikat menghasilkan lebih 300 jam kandungan penstriman langsung setiap bulan di pelbagai saluran di bawah Lazada.
Pengasas bersama, Scha Alyahya menyatakan bahawa e-dagang penstriman langsung kini menjadi saluran runcit yang semakin penting di Malaysia.
"Pengguna hari ini mahukan cadangan produk yang tulen dan pengalaman membeli-belah yang interaktif. E-dagang live merapatkan jurang komunikasi terus ini secara langsung. Pada pandangan peribadi saya, pasaran bahasa Melayu masih mempunyai ruang pertumbuhan yang amat luas," kata Scha.
Beliau menambah, kerjasama ini bertujuan membina perniagaan yang mampan dan berkekalan, dan bukannya sekadar tawaran duta produk semata-mata.
"Sebagai pengasas bersama, saya terlibat dalam mencorakkan hala tuju perniagaan syarikat. Ini adalah usaha untuk membina sebuah platform yang dipercayai dan mampu memberi nilai buat pengguna serta jenama tempatan," jelasnya.
Membina model premium dan pelaburan infrastruktur
Ramai pencipta kandungan terkemuka keberatan untuk melakukan sesi live yang terlalu berorientasikan jualan keras di akaun media sosial peribadi mereka, manakala pemilik jenama pula terbeban dengan kos yang tinggi apabila bekerjasama secara terus dengan pempengaruh gred A.
Bagi menyelesaikan isu ini, JAM menyediakan platform perniagaan kongsi yang membolehkan pencipta kandungan terlibat dalam penstriman langsung tanpa perlu mengkomersialkan akaun peribadi mereka secara langsung. Pada masa yang sama, ia menawarkan capaian penonton kepada jenama pada struktur kos yang lebih menjimatkan.
Menurut Cherine, strategi ini mendapat sambutan baik daripada pencipta kandungan serta pengiklan, sekali gus memacu perkembangan pesat syarikat sepanjang dua tahun lalu.
JAM menonjol dalam industri hasil fokus mutlaknya terhadap e-dagang live serta kepakaran operasi pasukan pengasas dalam dunia perniagaan dan kandungan digital. Pasukan pengasas ini turut dibintangi oleh usahawan dan pencipta kandungan terkenal, Jane Lau (Jane Chuck) dan Hanpin Ma.
"E-dagang penstriman langsung adalah teras perniagaan kami, bukan sekadar produk sampingan. Pasukan pengasas kami terdiri daripada KOL gred A yang telah membina jenama peribadi mereka sendiri," kata Cherine.
"Jane dan Hanpin sangat memahami apa yang berkesan di hadapan kamera kerana mereka sendiri melaluinya. Bagi jenama yang ingin membina keupayaan live sendiri, mereka boleh mencubanya, tetapi mereka memerlukan studio, hos terlatih, pasukan produksi, sumber platform, serta tempoh percubaan (trial-and-error) selama dua tahun. Semua ini sudah sedia ada di JAM. Kami membantu jenama melangkau fasa proses pembelajaran ini untuk terus menuai hasil."

Bagi memenuhi permintaan pelanggan yang kian meningkat, JAM baru-baru ini telah membuka sebuah studio produksi penstriman langsung eksklusif seluas 6,500 kaki persegi yang dilengkapi dengan 13 bilik produksi serba lengkap.
Fasiliti ini membolehkan pemilik jenama menyerahkan keseluruhan operasi live mereka termasuk perancangan kandungan, penulisan skrip, latihan hos, produksi di set, serta pengurusan jualan masa nyata. Ini memperkukuhkan lagi keupayaan JAM dalam memenuhi permintaan yang semakin berkembang merentasi setiap cabang perniagaannya.
Jane Lau menyatakan bahawa kerjasama strategik ini mencerminkan keyakinan tinggi terhadap kebolehulangan model e-dagang live JAM yang telah teruji, di samping komitmen untuk merebut peluang keemasan dalam pasaran pengguna terbesar di Malaysia.
Beliau menjangkakan industri e-dagang penstriman langsung di Malaysia akan menjadi lebih khusus dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang, menyaksikan jurang pemisah yang jelas antara pengendali trafik tinggi kos rendah dengan pengendali yang dipacu oleh penukaran jualan premium.
"Kami komited untuk membina model ke arah segmen premium. Dari segi risiko, risiko terbesar ialah hilangnya kepercayaan. Jika penstriman langsung bertukar menjadi jualan keras semata-mata tanpa pengisian kandungan yang berkualiti, penonton akan lari dan seluruh industri akan terjejas. Sebab itu sejak hari pertama lagi, kami sangat menitikberatkan kualiti produksi serta kesesuaian tulen antara pencipta kandungan dengan produk. Syarikat yang melihat e-dagang live sebagai sebuah seni dan kepakaran yang serius adalah syarikat yang akan terus bertahan dalam tempoh lima tahun akan datang," kata Jane Lau.

Beliau menambah bahawa syarikat telah menerima keyakinan pasaran yang kukuh sejak penubuhannya, disokong oleh pelaburan yang menjadi asas kepada pertumbuhan berterusan mereka.
Mengenai pembiayaan masa hadapan, JAM akan kekal berhati-hati dan mencari pelabur strategik yang berkongsi visi jangka panjang mereka untuk membina platform e-dagang penstriman langsung serantau yang premium, berbanding hanya mengejar suntikan modal semata-mata.
Melangkah ke hadapan, JAM merancang untuk melebarkan sayapnya ke pasaran Asia Tenggara (termasuk Thailand) pada suku pertama 2027, sekali gus mencorakkan fasa seterusnya dalam industri e-dagang sosial serantau yang berkembang pesat.
Jane Lau percaya e-dagang penstriman langsung premium akan terus mendapat tempat di hati pasaran memandangkan banyak jenama kini meningkatkan pelaburan dalam saluran live yang diuruskan secara profesional bagi melonjakkan interaksi pelanggan serta jualan dalam talian.
"Kami yakin mampu melangkah ke peringkat serantau kerana kami telah membuktikan keupayaan lokalisasi kami iaitu menyesuaikan model yang dibina untuk satu komuniti kepada komuniti yang lain. Bagi kami, ini bukan lagi sekadar teori, tetapi realiti yang telah dibuktikan. Kelebihan teras kami adalah universal: produksi premium, formula yang teruji, serta disiplin pelaksanaan untuk menyesuaikannya mengikut bakat dan audiens tempatan, bukannya sekadar 'salin dan tampal' bulat-bulat," akhirinya.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!


