"Jangan Jadi Penunggang Agama!" - Dr Amalina Bakri Bongkar Kesan Buruk Minum Jus Al Sunnah
Kenyataan rasmi mengenai isu ini juga telah dikeluarkan oleh Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia sendiri iaitu Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.
Baru-baru ini telah viral di media sosial tentang kematian seorang wanita berumur 28 tahun selepas dikatakan telah meminum sejenis jus berwarna purple setiap hari selama 6 bulan
Mengikut laporan, mangsa yang dikenali sebagai Titinlismawati telah merana sakit kaki akibat diserang penyakit gout. Namun, setelah dia meminum air jus tersebut, sakitnya mulai hilang dan boleh dikatakan sangat efektif.
Pada 20 September yang lalu, Titinlismawati telah mengadu kepada ahli keluarganya bahawa dia mengalami sakit-sakit belakang dan terus berjumpa doktor pada hari berikutnya.
Doktor juga mengatakan ianya cuma sakit perut biasa. Namun, keadaan menjadi lebih teruk apabila dia dikatakan telah mengalami kesukaran bernafas setelah mengambil ubat yang diberikan oleh doktor.
Setelah berada di wad kecemasan selama 30 minit, Titinlismawati tidak dapat diselamatkan kerana pihak hospital mengatakan bahawa jantungnya semakin lemah.
Kematiannya dikatakan mungkin mempunyai kaitan dengan jus yang diminum setiap hari. Ahli keluarganya turut memberikan jus tersebut kepada pihak polis untuk siasatan lanjut.
Produk tersebut dijual di Geylang namun sebenarnya dibuat di Malaysia. Jus buah ini juga telah diharamkan penjualannya sejak tahun 2017.
Begitu juga di Brunei, produk minuman ini telah diharamkan penjualan pada 8 Jun 2017 kerana ianya mengandungi Dexamethasone, kortikosteroid kuat yang boleh menyebabkan peningkatan tahap glukosa darah yang membawa kepada penyakit seperti:
1. Diabetes
2. Tekanan darah tinggi
3. Katarak
4. Gangguan otot dan tulang
Selain itu, semua peniaga termasuk peniaga online untuk produk terlarang seperti ini diarahkan untuk menghentikan penjualan secara serta-merta
Menurut kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia sendiri, semua produk Jus Al Sunnah, Jus Al Sunnah Gold dan Jus Penawar keluaran Sri Naga Marketing Sdn Bhd adalah dilarang.
Ini kerana KKM telah mengesahkan bahawa syarikat tersebut tidak wujud di mana perkara seperti ini telah melanggar Seksyen 16, Akta Makanan 1983. Selain itu, hasil analisis mengesahkan ada di antara produk tersebut mengandungi Dezamethasone dan Prednisolone iaitu bahan steroid yang terlarang di bawah Akta Makanan 1983.
Bahan bahaya yang ada terkandung dalam minuman-minuman di atas adalah Dexamethasone dan Prednisolone iaitu steroid yang poten dan ia digunakan untuk rawatan masalah pembengkakkan dan radang yang serius.
Penggunaan Dexamethasone dan Prednisolone secara berpanjangan tanpa pengawasan ahli profesional kesihatan boleh mengakibatkan kesan sampingan serius yang boleh membahayakan kesihatan seperti:
- Kelemahan otot.
- Kerapuhan tulang.
- Peningkatan gula dalam darah.
- Tekanan darah tinggi.
- Katarak.
- Peningkatan risiko jangkitan dan sindrom cushing.
Bukan setakat itu sahaja, pesakit yang menghidap kencing manis juga adalah berisiko tinggi kerana ianya boleh menyebabkan paras gula dalam darah tidak terkawal dan boleh mengakibatkan komplikasi yang serius.
Namun begitu, untuk individu yang telah mengambil produk ini dalam jangka masa yang lama, digesa untuk TIDAK memberhentikan penggunaannya secara mendadak
Ianya kerana hal ini boleh menyebabkan masalah seperti kekeliruan dan penurunan tekanan darah yang boleh membahayakan kesihatan anda (akibat withdrawal syndrome).
Untuk individu yang sedang menggunakan produk-produk ini pula disarankan untuk SEGERA mendapatkan nasihat serta rawatan dari ahli profesional kesihatan.
Kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia mengenai isu ini juga telah mendapat perhatian orang ramai termasuk Dr Amalina Bakri di laman Twitter:
Dr Amalina Bakri yang juga begitu prihatin dengan kesihatan orang ramai telah menasihati setiap individu untuk lebih berhati-hati ketika membeli apa-apa produk seperti ini.
Dia juga mengatakan bahawa syarikat yang mengeluarkan produk seperti ini adalah 'Penunggang Agama'. Ini kerana mereka telah menggunakan nama agama untuk berniaga.
Oleh itu, sebagai pengguna yang bijak, anda disarankan untuk memeriksa dengan lebih terperinci tentang kandungan yang ada di dalam setiap produk harian yang digunakan. Jangan mudah terpedaya!
Jika anda mempunyai sebarang keraguan atau soalan, boleh layari sendiri laman web Kementerian Kesihatan Malaysia. Klik sini.